Masih Dara Atau Tidak, Apa Yang Perlu Anda Ketahui?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

“Cuba kau teka, minah tu masih dara atau tak”, haaa…pernah tak terlibat dalam perbualan seperti itu? Atau mungkin anda yang memulakan topik begitu?

Teori masih dara

Sebenarnya isu sama ada seseorang wanita itu masih dara atau tidak sering menjadi topik perbualan, bukan sahaja dalam kalangan individu lelaki, malahan antara golongan wanita itu sendiri. Kiranya macam membawanglah juga sebenarnya ini. 

Pelbagai teori berkenaan keperawanan seseorang itu timbul seperti jika punggungnya jatuh maka individu itu sudah tidak perawan, jika jalannya mengengkang bermakna individu itu sudah melakukan seks, jika kepala lututnya hitam sudah tidak berdara lagi wanita tersebut dan bermacam-macam lagi versi teori yang boleh anda dengar. 

Tetapi adakah benar teori sebegitu dapat menentukan sama ada seseorang individu itu masih dara atau tidak? Atau ia sekadar kepercayaan dan mitos palsu yang harus diperbetulkan agar tiada lagi salah faham mengenainya?

Kepercayaan karut

Dalam satu status milik seorang pengguna akaun media sosial, Twitter,  yang bertanyakan mengenai kesahihan teori tersebut kepada Dr. Amalina Che Bakri, “Benarkah punggung jatuh bermakna sudah tidak ada dara?”

Menurut Dr Amalina Che Bakri, Pakar Pelatih Bedah di bahagian surgikal dan trauma di Imperial College Healthcare NHS Trust di bawah seliaan The Royal College of Surgeons of England, bentuk fizikal seseorang tidak boleh menentukan sama ada individu tersebut masih dara atau tidak.

Sama punggung jatuh, kepala lutut hitam, jalan mengengkang atau apa sekali pun dari segi luaran, untuk mengatakan individu itu tidak lagi dara adalah satu teori mengarut. Faktor fizikal  tidak boleh menjadi faktor pengukur mengenai keperawanan seseorang individu. 

Fakta mengenai selaput dara

Untuk mengurangkan salah faham dan lebih memahami mengenai isu masih dara atau tidak, apa kata kita berbicara sedikit mengenai selaput dara yang dikatakan penentu keperawanan seseorang individu wanita. 

Apa itu selaput dara?

Selaput dara atau dalam istilah Inggeris dikenali sebagai ‘Hymen’, merupakan satu lapisan nipis yang menyelaputi saluran pembukaan vagina atau faraj (vagina opening). Selaput dara merupakan lapisan sel yang mempunyai saiz dan bentuk yang berbeza bagi setiap individu wanita. 

Pecah dara sebelum bernikah tidak bermaksud individu wanita tersebut pernah melakukan hubungan seks.ini kerana selaput dara boleh terjejas sekiranya individu wanita tersebut melakukan aktiviti lasak seperti berlari, bersenam, melakukan sebarang regangan, berbasikal ataupun memanjat sesuatu. 

Tidak menutup semuanya

Umumnya, selaput dara bukanlah satu lapisan yang menutup keseluruhan penuh laluan faraj. Ini kerana sekiranya lapisan tersebut menutup secara penuh permukaan faraj, bagaimana untuk darah haid dan sebarang sisa cecair dari faraj untuk keluar, bukan?

Jadi lapisan selaput dara hanya menutup sebahagian saluran pembukaan vagina. Manakala sekiranya ia menutup secara penuh, seseorang individu itu mungkin mengalami penyakit yang dikenali sebagai  ‘Imperforated Hymen’, yang akan menyekat pengeluaran haid serta cairan vagina. 

Sebenarnya, bukan semua bayi perempuan dilahirkan dengan selaput dara. Jadi menggunakan lapisan ini sebagai penentu sama ada seseorang masih dara atau tidak sudah tentu tidak boleh diterima akal.

Mudah lentur

Ini khususnya untuk pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga, ya? Jika pada kali pertama ingin melakukan seks, sebaiknya lakukan secara perlahan-lahan. Ini kerana tekstur selaput dara adalah seperti getah mudah lentur. 

Seks kali pertama tidaklah begitu menyakitkan seperti yang disangka kerana selaput dara tidak akan terkoyak, tetapi ia sekadar meregang. Kepercayaan mengenai selaput dara akan hilang atau pecah selepas melakukan seks atau salah sama sekali. Ini kerana selaput dara itu cuma akan ‘teralih’ sedikit kerana teksturnya yang mudah lentur.

Tidak dinafikan, ketika melakukan seks buat pertama kalinya, anda mungkin dalam keadaan yang gementar. Keadaan ini sekali gus membuatkan lapisan tersebut meregang secara keterlaluan dan akhirnya menyebabkan berlaku sedikit pendarahan. 

Tetapi tidak seperti pendarahan yang berlaku, bukanlah seperti mitos atau kepercayaan kebanyakan individu. Ia cumalah sekadar pendarahan kecil dan tidaklah sehingga menyebabkan darah yang mengalir keluar itu membasahi cadar katil atau selimut anda. 

Selaput ini dikatakan akan kembali kepada tempat asalnya jika seseorang individu itu sudah lama tidak melakukan sebarang hubungan seksual ataupun aktiviti pergerakan yang lasak. 

Pembedahan 

Seperti dinyatakan pada awal tadi, jika seseorang individu itu mengalami penyakit yang dikenali sebagai  ‘Imperforated Hymen’. Di mana lapisan selaput dara menutup keseluruhan ruangan pembukaan faraj dan akan menyekat pengeluaran haid serta cairan faraj, maka keadaan ini perlu dan boleh dipulihkan melalui prosedur pembedahan. Jadi tiada apa yang perlu dirisaukan, okay?

Bukan penentu masih dara atau tidak 

Sama seperti bahagian badan anda yang lain, jari atau telinga, selaput dara anda hanyalah merupakan sebahagian daripada badan anda. Ia tidak boleh dijadikan sebagai faktor penentu untuk menentukan sama ada seseorang individu itu masih dara atau tidak. 

Seperti yang sudah dinyatakan, terdapat individu yang dilahirkan tanpa kehadiran selaput dara. Malahan jika anda merupakan individu yang dilahirkan dengan kehadiran lapisan hymen ini, ia cumalah sebahagian daripada lapisan tisu dalam badan anda. Sama ada masih dara atau tidak, anda sebagai tuan empunya badan lebih mengetahui mengenainya. 

Terdapat satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal Reproductive Health menyatakan kakitangan perubatan profesional tidak boleh bergantung semata-mata kepada pemeriksaan fizikal selaput dara untuk menilai sama ada seseorang individu itu telah aktif secara seksual atau tidak. Jadi sudah tentu, kajian ini boleh dianggap sebagai sokongan menyatakan selaput dara bukan penentu kepada keperawanan seseorang individu.

Kesimpulannya

Sememangnya seiring dengan pembangunan teknologi semasa, persoalan masih mempunyai dara atau tidak, bukanlah satu perkara yang penting. Malahan, jika ditanya kepada kebanyakan lelaki, rata-rata mereka sudah boleh menerima jika seseorang wanita itu sudah tidak mempunyai dara. Cliche sangat jawapan sebegini, bukan?

Namun, sebagai individu yang masih mempunyai pegangan agama, sama ada Islam, Hindu, Buddha atau apa sahaja anutan agama anda, sudah tentu anda masih perlu untuk menjaga maruah anda dengan sebaiknya.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut