10 Cara Untuk Lelaki Mengatasi Ereksi Lemah

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Setiap kali berbicara mengenai ereksi lemah, tidak ramai lelaki yang sanggup untuk mengakuinya. Ini kerana mereka beranggapan bahawa maruah mereka akan tercalar jika sering tewas kepada pasangan di kamar tidur. Persoalannya, apakah yang menyebabkan ereksi lemah dan apakah cara untuk mengatasinya?

Punca ereksi lemah

Menurut kajian yang dilakukan oleh University of Adelaide terhadap 810 lelaki berusia 35 hingga 80 tahun selama 5 tahun, 31% daripada jumlah ini mengalami masalah ereksi.

Menurut Profesor Gary Wittert yang merupakan Ketua Jabatan Perubatan di universiti yang sama, ereksi yang lemah bukan sahaja akan menjejaskan kehidupan seksual seseorang malahan ia juga mungkin mempunyai kaitan dengan pelbagai kondisi kesihatan yang lain. 

Beliau turut menjelaskan bahawa faktor risiko terjadinya perkara ini adalah lebih berkaitan dengan isu fizikal berbanding isu psikologi seperti usia, obesiti, merokok, pengambilan alkohol secara berlebihan atau gangguan waktu tidur seperti apnea tidur obstruktif.

Berita baiknya, kajian tersebut turut menjelaskan bahawa 29% daripada jumlah lelaki dengan ereksi lemah ini mampu mengatasi masalah tersebut secara semula jadi. Persoalannya, apakah cara untuk mengatasi ereksi lemah?

10 Cara Semula Jadi untuk Mengatasi Ereksi Lemah

#1. Berhenti merokok

Buat perokok di luar sana, anda perlu tahu bahawa tabiat buruk ini boleh merosakkan saluran darah lantas menjejaskan aliran darah ke kemaluan. Lebih menakutkan, mehisa rokok juga boleh menyebabkan saluran darah mengecut lalu menghalang terus darah daripada melaluinya. Ini kemudiannya akan menyebabkan mati pucuk.

#2. Kurangkan pengambilan alkohol

Mungkin bagi kebanyakan individu, pengambilan alkohol secara sederhana adalah tidak memudaratkan. Namun begitu, pengambilan alkohol secara berlebihan sebenarnya akan menyebabkan kerosakan organ hati, sistem saraf serta beberapa kondisi lain yang akan mengganggu hormon seks lelaki.

#3. Ambil tahu tentang hormon testosteron anda

Untuk pengetahuan anda, kadar hormon testosteron lelaki akan mula menurun dengan mendadak apabila mencecah usia kira-kira 50 tahun. Selepas anda berusia sekitar 40 tahun, hormon testosteron akan mula merudum sebanyak 1.3 % pada setiap tahun. 

Antara petanda anda mengalami kekurangan hormon testosteron adalah kurang libido, kurang stamina, ketidakstabilan emosi atau sukar membuat keputusan. Oleh itu, pastikan anda kerap berjumpa doktor dan ambil tahu mengenainya.

#4. Kawal stres

Stres sebenarnya akan membuatkan tubuh anda merembeskan hormon adrenalin, yang akan menyebabkan saluran darah mengecut. Ia seterusnya akan mengakibatkan ereksi menjadi lemah. Jadi, sila kawal stres anda untuk kebaikan kehidupan seks anda dan pasangan.

#5. Jangan cuba posisi seks yang berbahaya

Percaya atau tidak, ereksi lemah juga mungkin disebabkan oleh kecederaan semasa melakukan seks. Oleh itu, sentiasa ingatkan diri anda untuk melakukan seks secara selamat dan jangan cuba posisi seks yang berbahaya. Untuk lebih kepastian, dapatkan nasihat daripada doktor tentang posisi seks mana yang boleh dan tidak boleh anda dan pasangan lakukan. 

#6. Elak pengambilan steroid anabolik

Kebanyakan atlet dan ahli bina badan selalu menggunakan ubatan ini untuk mendapatkan tubuh badan yang menarik. Namun begitu, ia sebenarnya mampu menjejaskan kemampuan tubuh badan untuk menghasilkan hormon testosteron serta mengecilkan saiz testis.

#7. Kawal pemakanan anda

Tidak ramai yang tahu bahawa diet pemakanan adalah sangat penting untuk kesihatan individu secara umumnya termasuklah kebolehan untuk ereksi yang kuat. Diet yang kurang mengandungi buah-buahan dan sayur-sayuran serta pengambilan makanan yang berlemak, atau bergoreng akan menjejaskan saluran darah dalam keseluruhan tubuh badan. Ini sudah tentu akan merosakkan kemampuan ereksi anda.

#8. Kawal pengambilan kolesterol anda

Kolesterol yang tinggi dalam tubuh badan berupaya merosakkan saluran darah, termasuklah saluran yang terdapat pada kemaluan. Jadi, pastikan anda kawal pengambilan kolesterol untuk mengekalkan tekanan darah anda selain memastikan ereksi anda kekal berada pada prestasi yang terbaik.

#9. Kekalkan berat badan yang sihat

Individu yang mempunyai berat badan berlebihan atau obesiti sangat berisiko menghidap penyakit berbahaya seperti diabetes jenis 2, yang akan menjejaskan sistem saraf tubuh badan. Jika penyakit ini menyerang saraf kemaluan, kemampuan ereksi anda akan terjejas. Oleh itu, sentiasa kekalkan berat badan yang sihat.

#10. Lakukan senaman dengan kerap

Senaman seperti aerobik, berenang atau berjoging mampu membantu anda mengatasi masalah ereksi lemah. Akan tetapi, pastikan anda elak daripada melakukan senaman yang memberi tekanan berat terhadap perineum (kawasan skrotum dan anus) seperti aktiviti berbasikal. Ini kerana saluran darah dan saraf di kawasan ini mudah terjejas akibat tekanan berat.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Erectile Dysfunction Can Be Reversed Without Medication. https://www.sciencedaily.com/releases/2014/03/140328102907.htm. Accessed on August 29, 2019.

Protect Your Erection: 11 Tips. https://www.webmd.com/erectile-dysfunction/features/protect-your-erection-11-tips#1. Accessed on August 29, 2019.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Baca juga:

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut