Negara kita pernah digemparkan dengan berita kematian seorang lelaki yang telah mengalami luka terbakar dan melecur teruk pada hampir keseluruhan tubuh badan.
Peristiwa yang cukup menyayat hati itu telah mendapat perhatian ramai warga netizen yang telah berkongsi rasa sedih dan hiba atas kejadian tahun lalu ini.
Selain kata takziah dan rasa simpati, ramai juga yang mungkin terfikir dan tertanya bagaimana kecederaan akibat daripada kebakaran anggota badan boleh membawa kepada kematian?
Adakah sebarang kaitan antara dua perkara tersebut dan jika ada, apa pula tahap kecederaan gara-gara kebakaran yang diperlukan untuk ia mula mengancam nyawa?
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan, anda juga boleh klik di sini.
Banyak punca luka terbakar dan melecur?
Kecederaan akibat haba ke atas tisu badan dapat berlaku melalui beberapa sumber.
Lazimnya, ini boleh berlaku akibat sumber haba luaran (external heat source) seperti api, air dan minyak panas.
Selain daripada sumber haba luaran, kita juga boleh mengalami luka terbakar dan melecur akibat:
- Kebakaran radiasi (radiation burn).
- Kebakaran kimia (chemical burn).
- Kebakaran elektrikal (electrical burn).
- Kebakaran geseran (friction burn).
Perbezaan kecederaan tahap lecur kebakaran!
Selepas seseorang itu mengalami luka terbakar dan melecur daripada mana-mana punca di atas, tugas doktor adalah untuk mengenalpasti tahap lecur kebakaran yang dialami.
Perbezaan tahap ini bergantung kepada kedalaman tisu badan yang terjejas.
Tahap lecur kebakaran yang berbeza mempunyai komplikasi dan jenis rawatan yang berbeza.
Kebiasaannya, ia akan terbahagi kepada 4 tahap seperti berikut:
- Tahap 1 – Hanya membabitkan bahagian atas kulit (epidermis) tanpa muncul lepuh. Kulit anda akan menjadi merah, kering dan sakit. Contoh lazim untuk kategori ini adalah selar matahari akibat pendedahan terhadap matahari terlalu kerap dan lama
- Tahap 2 – Melibatkan epidermis dan juga bahagian atas dermis. Pada tahap ini juga akan menyebabkan kulit muncul lepuh
- Tahap 3 – Melibatkan kerosakan penuh epidermis dan dermis. Kulit akan mula kelihatan seperti berwarna hitam atau putih
- Tahap 4 – Seperti tahap 3 tetapi ia membabitkan tisu dalaman juga seperti otot atau tulang. Pada tahap ini, rasa sakit tidak lagi berlaku kerana bahagian hujung saraf di dalam kulit telah mati
Bagaimana kebakaran boleh bawa kematian?
Di peringkat setempat, setelah kawasan badan tertentu mengalami luka terbakar dan melecur, terdapat 3 zon yang akan terbentuk di kawasan tersebut:
- Zon Penggumpalan (Coagulation zone) – Ini adalah zon kerosakan maksimum di mana kematian tisu tidak dapat dijana semula akibat daripada penggumpalan protein
- Zon Stasis (Zone of stasis) – Zon ini mempunyai perfusi tisu yang rendah namun masih berpotensi untuk diselamatkan. Matlamat rawatan adalah untuk menyelamatkan tisu di zon ini
- Zon Merah (Zone of hyperaemia) – Zon ini mempunyai peningkatan dalam perfusi tisu dan akan pulih melainkan tekanan darah turun terlalu lama atau sepsis telah mula berlaku
#1. Perubahan fisiologi tubuh badan
Dalam kebakaran yang meliputi kawasan tubuh badan yang luas, ia akan menyebabkan pelbagai kesan sistemik akibat daripada perubahan fisiologi tubuh badan.
Setelah luka lecur kebakaran berlaku, beberapa molekul perantara keradangan dan juga sitokin akan dirembeskan.
Molekul ini akan bergerak ke seluruh badan dan mengaktifkan laluan metabolisme tertentu di beberapa sistem badan.
- Kulit Melecur Terkena Air Panas Di Rumah? Usah Panik, Rawat Guna 10 Cara Ini
- Bahayanya Minuman Panas! Jika Tertumpah, Kulit Anak Anda Boleh Melecur
- Sindrom Kulit Lecur Stafilokokus, Menyerupai Kulit Terbakar
Perubahan sistem kardiovaskular
Dalam sistem kardiovaskular, ia akan mengakibatkan peningkatan kebolehtelapan kapilari-kapilari, menyebabkan protein terkeluar daripada salur darah, masuk ke dalam komponen ruang-antara (interstitium).
Salur darah periferi pula akan mengecut, kesemua perubahan lalu akan menyebabkan tekanan darah merudum dengan mendadak.
Bahayanya tekanan darah yang jatuh ini adalah ia akan menyebabkan bekalan darah ke organ-organ penting menjadi terhad sekali gus merosakkan organ tersebut.
Perubahan tahap metabolik
Dari segi perubahan metabolik pula, molekul ini akan meningkatkan tahap metabolisme tubuh badan sehingga 3 kali ganda berbanding paras rehat yang biasa.
Perfusi rendah dicampur pula dengan metabolisme yang meningkat mendadak akan memburukkan lagi keadaan tubuh badan.
Tekanan darah rendah berpanjangan adalah satu keadaan yang berbahaya kerana kerosakan organ penting akibat kurang bekalan darah, boleh mengakibatkan kematian.
#2. Pernafasan terjejas dengan teruk
Selain itu juga, pernafasan akan mula terjejas dengan teruk lantas mendorong kepada mortaliti.
Molekul perantara keradangan boleh mengakibatkan saluran bronkus mengecut lantas memicu sindrom pernafasan distres yang akut.
Tanpa rawatan dalam bentuk bantuan alat pernafasan, kecederaan akibat kebakaran terhadap saluran pernafasan boleh menyebabkan kematian.