backup og meta

Fakta Menarik Tentang Tubuh Badan Manusia

Disemak secara perubatan oleh Dr. Amy Kor · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 13/07/2020

    Fakta Menarik Tentang Tubuh Badan Manusia

    Tubuh manusia ialah satu produk ciptaan yang sangat unik dan berteknologi tinggi. Mari ikuti fakta menarik mengenai tubuh badan anda yang mungkin anda tidak pernah tahu sebelum ini.

    1. Manusia normal mempunyai sebanyak 206 tulang

    Dari tulang paling besar iaitu tulang paha (femur) sehingga paling kecil di dalam telinga (stapes). Semasa anda baru lahir, jumlah tulang anda lebih banyak iaitu 270. Semakin membesar, jumlah tulang semakin berkurang sehingga menjadi 206.

    2. Wanita melepaskan 300 hingga 400 telur seumur hidup

    Semasa di dalam rahim, janin perempuan mengandungi 6 hingga 7 juta telur. Setelah lahir pula angka ini berkurang menjadi sekitar 1 juta dan pada waktu haid pertama, hanya 300,000 telur berbaki. Dari telur yang berbaki ini, 300 hingga 400 telur akan dilepaskan seumur hidup.

    Selepas tiada lagi telur di dalam kilang telur (ovari), kitaran haid akan terhenti dan wanita tersebut mengalami menopaus.

    3. Tubuh anda mengandungi sehingga 1.5 galon atau 5.5 liter darah

    Darah merangkumi 7% hingga 8% dari keseluruhan berat badan anda. Secara purata, tubuh manusia mengandungi 1.2 hingga 1.5 galon (4.5 hingga 5.5 liter) darah. Jika anda menderma darah, hanya sekitar 470 mililiter darah akan diambil dari tubuh anda. Fungsi utama darah ialah untuk membawa oksigen ke seluruh sel tubuh, membuang karbon dioksida dan sisa buangan, serta mengawal suhu badan.

    4. Otak manusia mengandungi 100 bilion neuron

    Organ manusia paling misteri ialah otak. Saintis dan pengkaji masih belum merungkai banyak fungsi otak. Organ ini merupakan organ paling penting dalam tubuh badan manusia dan ia menjadikan manusia berbeza dengan hidupan lain yang tidak mempunyai fungsi kognitif seperti manusia. Unit asas bagi otak ialah neuron yang terkandung sebanyak 100 bilion di dalam sebuah otak. Neuron ini berfungsi menghubungkan maklumat di dalam otak serta menerima dan menghantar maklumat dari bahagian tubuh yang lain.

    5. Luas permukaan usus kecil anda seperti sebuah gelanggang tenis

    Fungsi utama usus kecil adalah untuk menyerap nutrien dari makanan yang diambil. Untuk menjalankan fungsi tersebut, ia memerlukan permukaan yang luas agar lebih banyak nutrien dapat diserap. Jika keseluruhan usus kecil dibuka dan dibentangkan, ia berkeluasan sekitar 250 meter persegi atau seperti sebuah gelanggang tenis. Keluasan ini dimampatkan menjadi usus berbentuk silinder sepanjang 6 meter dengan permukaan dalam yang dilipat.  Oleh itu, permukaan yang luas dapat dimuatkan dalam ruang yang kecil.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Amy Kor

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 13/07/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan