backup og meta

Wanita Dengan Penyakit Autoimun Lupus, Masih Ada Peluang Bergelar Ibu

Wanita Dengan Penyakit Autoimun Lupus, Masih Ada Peluang Bergelar Ibu

Antara keinginan wanita adalah untuk bergelar seorang ibu. Tetapi bagi mereka dengan penyakit lupus, masihkah wujud peluang untuk hamil?

Bagaimana pula dengan risiko keadaan autoimun ini mempengaruhi kehamilan dan adakah bayi yang dilahirkan akan sihat?

Pastinya pelbagai lagi persoalan bermain di minda individu yang menghidap penyakit autoimun ini, terutamanya buat mereka yang mengimpikan untuk mendapat zuriat

Bersempena dengan Hari Lupus Sedunia yang disambut setiap 10 Mei, jom fahami mengenai penyakit autoimun ini dan aspek kehamilan yang perlu diberikan perhatian.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan, sila dapatkannya di sini.

Keinginan wanita dengan penyakit lupus 

Sesungguhnya, keinginan wanita yang menghidap penyakit autoimun lupus untuk hamil dengan selamat, boleh tercapai.

Malahan dalam kebanyakan kes, proses kehamilan berjalan lancar dan bayi dilahirkan sihat. 

Walau bagaimanapun, wanita penghidap lupus yang hamil dianggap mempunyai kandungan berisiko tinggi.

Ini bermakna, wujud kecenderungan untuk mereka mengalami masalah ketika mengandung. Namun, ia tidak bermaksud pasti akan ada masalah.

Rancang kehamilan

Umumnya, jika penyakit lupus anda terkawal, kehamilan yang terjadi tidak mungkin akan menyebabkan flare – biasanya terjadi apabila gejala lupus bertambah teruk dan menyebabkan rasa sakit. 

keinginan wanita

Sudah tentu, untuk mendapatkan peluang hamil lebih cerah anda perlu mula merancang kehamilan sebaiknya.

  • Penyakit anda perlu terkawal atau segala simptom hilang dalam tempoh 6 bulan sebelum mengandung. Berbadan dua semasa penyakit lupus sedang aktif meningkatkan risiko keguguran, kelahiran mati (stillbirth) atau masalah kesihatan serius bagi ibu atau bayi
  • Kehamilan sangat berisiko bagi kumpulan wanita tertentu dengan lupus. Ini termasuk wanita dengan tekanan darah tinggi, penyakit paru-paru, kegagalan jantung, kegagalan buah pinggang kronik, penyakit buah pinggang atau pernah mengalami preeklampsia. Ia turut melibatkan individu wanita yang mengalami strok atau flare dalam tempoh 6 bulan terakhir

Baca juga:

Memahami komplikasi kehamilan 

Walaupun mempunyai peluang hamil tetapi wujud risiko untuk berlakunya komplikasi kehamilan tertentu berbanding wanita yang tidak menghidap penyakit lupus. 

Anda juga mungkin berdepan masalah lain semasa mengandung.

Muncul flare

Anda mungkin mengalami flare (semarak) ketika berbadan dua. Keadaan ini paling kerap berlaku pada trimester pertama atau kedua. Kebanyakannya semarak ringan. 

Namun, ada sesetengah flare yang memerlukan ubat segera atau mungkin menyebabkan bersalin awal atau kelahiran pramatang.

Preeklampsia

Dianggarkan 2 daripada 10 wanita dengan penyakit lupus mendapat preeklampsia, keadaan serius yang mesti diubati segera.

Risiko preeklampsia lebih tinggi pada wanita dengan lupus kerana mempunyai sejarah penyakit buah pinggang.

Jika mengalaminya, anda mungkin akan berdepan kenaikan berat badan secara tiba-tiba, pembengkakan tangan dan muka, penglihatan kabur, pening atau sakit perut.

Wujud juga komplikasi untuk melahirkan bayi pramatang.

[health_tool_article id=”78935″]

Masalah kesihatan lain

Peluang hamil yang ada turut meningkatkan risiko untuk mengalami masalah kesihatan lain, terutamanya jika anda mengambil kortikosteroid.

Antara masalah yang cenderung untuk terjadi termasuklah tekanan darah tinggi, diabetes dan masalah buah pinggang. 

Pemakanan yang baik semasa mengandung dapat membantu mencegah masalah kehamilan ini.

keinginan wanita

Perubahan normal atau tidak

Bolehkah untuk wanita lupus yang hamil mengetahui jika perubahan sepanjang tempoh mengandung adalah normal atau merupakan gejala flare?

Malangnya, anda mungkin tidak dapat membezakan antara perubahan yang berlaku disebabkan kehamilan atau tanda amaran flare lupus.

Cara terbaik adalah untuk memaklumkan kepada doktor bagi sebarang simptom baharu yang dialami dan mereka akan cuba menentukan sama ada ia disebabkan kehamilan atau penyakit lupus.

Keadaan kesihatan bayi

Seperkara yang perlu anda ketahui, kebanyakan bayi yang dilahirkan oleh ibu dengan lupus adalah sihat.

Tetapi dalam kes yang jarang berlaku, bayi mungkin dilahirkan dengan keadaan disebut lupus neonatal. 

Terdapat antibodi tertentu pada ibu yang menyebabkan wujudnya keadaan ini, iaitu antibodi anti-Ro dan anti-La.

Semasa dilahirkan, bayi dengan lupus neonatal mungkin akan mengalami ruam kulit, masalah hati atau tahap sel darah rendah.

Walaupun ruam yang terjadi nampak menakutkan, tetapi ia tidak menjejaskan kesihatan si kecil. 

Biasanya ruam ini akan hilang dalam tempoh 6 bulan dan tidak mendatangkan sebarang kesan berpanjangan pada bayi.

keinginan wanita
Sumber: Portal Rasmi MyHealth

Walau bagaimanapun, bayi turut berisiko untuk mengalami kecacatan jantung serius yang dikenali sebagai blok jantung kongenital. 

Akan tetapi, masalah ini kurang kerap berlaku berbanding dengan ruam.

Menyusukan bayi

Selain hamil, keinginan wanita yang bergelar ibu pastinya ingin menyusukan si manja, bukan?

Penyusuan susu ibu adalah mungkin untuk dilakukan oleh ibu dengan penyakit lupus. 

Bahkan semua ubat yang diambil semasa mengandung boleh diteruskan pengambilannya sewaktu menyusukan bayi.

Namun jika terdapat keraguan, berbincanglah dengan doktor untuk lebih kepastian. 

Peluang capai keinginan wanita untuk hamil

Ramai wanita dengan penyakit lupus mempunyai peluang hamil dengan jayanya. Namun, anda perlu mempunyai kehamilan yang dirancang agar bayi yang dilahirkan sihat. 

Selain berjumpa doktor secara berkala dan meneruskan rawatan seperti biasa, terdapat perkara lain yang boleh dilakukan untuk menjaga diri dan bayi dalam kandungan

Antaranya:

Sekiranya mengalami sebarang simptom yang tidak biasa, lakukan pemeriksaan doktor segera.

[embed-health-tool-bmi]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

All been accessed on May 1, 2021 from

http://www.myhealth.gov.my/systemic/ 

http://lupusmalaysia.org/bm/panduan-pesakit/slepanduan-untuk-pesakit 

https://www.hopkinslupus.org/lupus-info/lifestyle-additional-information/lupus-pregnancy/

https://www.stanfordchildrens.org/en/topic/default?id=systemic-lupus-erythematosus-sle-or-lupus-and-pregnancy-90-P02435

https://www.betterhealth.vic.gov.au/health/ConditionsAndTreatments/lupus-and-pregnancy

http://lupusmalaysia.org/en/patients-guide/pregnancy-in-sle

https://www.hss.edu/conditions_lupus-pregnancy-points-optimize-outcome.asp

https://www.lupus.org/resources/planning-a-pregnancy-when-you-have-lupus#

https://www.cdc.gov/lupus/basics/pregnancy.htm#

https://www.stanfordchildrens.org/en/topic/default?id=systemic-lupus-erythematosus-sle-or-lupus-and-pregnancy-90-P02435

Versi Terbaru

27/10/2021

Ditulis oleh Asyikin Md Isa

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Asyikin Md Isa


Artikel Berkaitan

17 Faktor Kehamilan Berisiko Tinggi, Semua Wanita Harus Ambil TAHU!

Tip Penjagaan Kulit Untuk Pesakit Lupus


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 27/10/2021

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan