backup og meta

Pengambilan dos tinggi asid folik tidak dapat mencegah pre-eklampsia

Fakta Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel


Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 29/11/2019

    Pengambilan dos tinggi asid folik tidak dapat mencegah pre-eklampsia

    Asid folik diketahui menjadi vitamin penting yang perlu diambil oleh wanita sebelum dan semasa hamil. Jika anda merancang untuk hamil, vitamin pertama yang disyorkan oleh doktor ialah asid folik.

    Ada pendapat yang mengatakan asid folik adalah vitamin untuk merawat kesuburan, namun sebenarnya asid folik mesti diambil oleh wanita yang berhasrat untuk hamil bagi mengelakkan masalah kecacatan sistem saraf tunjang (tiub neural). Malah, vitamin penting ini juga menyokong mengekalkan kesuburan pada wanita dan mempersiapkan tubuh untuk kehamilan.

    Walau bagaimanapun, terdapat kajian terbaharu yang mengaitkan asid folik dengan pre-eklampsia, iaitu komplikasi kehamilan yang biasa dialami oleh ibu hamil. Bagi mengetahui kaitan antara asid folik dengan pre-eklampsia, teruskan membaca artikel ini.

    Asid folik, kesuburan dan kehamilan

    Sebagai salah satu jenis vitamin B9, asid folik diperlukan untuk membina sel-sel baru dalam tubuh, membina DNA baru dan membaiki DNA yang telah rosak.

    Wanita memerlukan asid folik di dalam sistem badan mereka sebelum kehamilan berlaku kerana suplemen ini merupakan salah satu komponen utama yang penting untuk mendapatkan bayi yang sihat.

    Kecacatan tiub neural akan berlaku pada 28 hari pertama selepas konsepsi, iaitu tempoh di mana kebanyakan wanita belum tahu lagi bahawa mereka sedang hamil. Memandangkan separuh daripada kehamilan yang berlaku adalah tidak dirancang, jadi, setiap wanita yang telah berkahwin disarankan untuk mengambil 400 mcg asid folik sehari, bermula sebelum konsepsi mereka sehinggalah 12 minggu pertama semasa kehamilan.

    Bagi wanita yang pernah hamil dan pernah melalui pengalaman kecacatan tiub neural pada bayinya, mereka perlu berjumpa dan bercakap dengan doktor untuk mengetahui sama ada kemungkinan mereka memerlukan dos asid folik yang berbeza.

    Justeru itu, asid folik bukan sahaja menjadi vitamin penting yang membantu anda untuk hamil, bahkan juga membantu memastikan kehamilan yang sihat. Pastikan anda mendapat dos yang mencukupi. Jika anda rasa waswas, berjumpalah dengan doktor anda untuk mendapatkan nasihat!

    Komplikasi kehamilan pre-eklampsia

    Pre-eklampsia adalah komplikasi serius yang dialami oleh kira-kira 5 peratus di kalangan wanita hamil. Ibu hamil disahkan mengalami pre-eklampsia jika tekanan darah tinggi dan protein pada air kencing, ginjal atau hati abnormal selepas 20 minggu kehamilan.

    Jika pre-eklampsia tidak dirawat, ia boleh menyebabkan komplikasi serius kepada ibu seperti kegagalan fungsi hati atau buah pinggang dan risiko masalah jantung. Ibu juga berkemungkinan untuk mendapat sawan. Pre-eklampsia juga boleh menyebabkan plasenta tidak mendapat darah yang mencukupi, sekali gus menyebabkan bayi yang lahir kurang berat badan.

    Bagi mengelakkan pre-eklampsia, wanita hamil perlu mengurangkan pengambilan makanan bergaram, mengelakkan minuman yang mengandungi kafein dan mendapatkan posisi tidur yang betul seperti berbaring mengiring ke kiri bagi membolehkan aliran darah yang optimum. Ibu hamil perlu minum air kosong sekurang-kurangnya 8 gelas sehari, mendapatkan rehat yang mencukupi dan mengambil ubat atau suplemen tambahan yang disyorkan oleh doktor.

    Bolehkah asid folik mencegah pre-eklampsia?

    Meskipun asid folik diketahui sebagai vitamin super untuk wanita yang ingin hamil dan yang sedang hamil, namun terdapat kajian terbaru yang mengaitkan pengambilan asid folik dan komplikasi kehamilan, pre-eklampsia. Kajian terbaru mendapati bahawa pengambilan asid folik dengan dos yang tinggi tidak boleh melindungi wanita hamil yang berisiko tinggi daripada mendapat komplikasi pre-eklampsia.

    Dalam kajian tersebut, penyelidik mendapati bahawa suplemen asid folik berdos tinggi yang diambil selepas trimester pertama kehamilan, tidak berupaya mencegah pre-eklampsia dalam kalangan wanita yang berisiko tinggi. Walau bagaimanapun, pengambilan suplemen asid folik berdos rendah sebelum dan semasa awal kehamilan masih boleh mencegah masalah kecacatan kelahiran, seperti spina bifida, malahan ia amat disarankan untuk semua wanita.

    Pre-eklampsia ialah komplikasi kehamilan yang bukan sahaja membahayakan ibu malahan juga bayi dalam kandungan. Kajian pemerhatian sebelum ini menunjukkan bahawa terdapat kesan perlindungan berpotensi yang menunjukkan kaitan antara asid folik dan pre-eklampsia, namun penemuannya tidak konsisten, dan tiada panduan jelas yang menunjukkan penggunaan asid folik berdos tinggi boleh mencegah wanita hamil yang berisiko tinggi mendapat pre-eklampsia.

    Oleh itu, sepasukan penyelidik antarabangsa menjalankan ujian rawak – Ujian Klinikal Asid Folik (FACT) – untuk menilai kesan pengambilan suplemen asid folik berdos tinggi selepas trimester pertama pada risiko mendapat pre-eklampsia dalam kalangan wanita hamil yang sudah berisiko tinggi mendapat komplikasi ini. Ujian dijalankan kepada 2,301 wanita yang sedang hamil antara 8 dan 16 minggu pada permulaan kajian, dan mengalami sekurang-kurangnya satu faktor risiko pre-eklampsia (seperti tekanan darah tinggi sedia ada, diabetes pra-kehamilan, hamil kembar dua, mengalami pre-eklampsia pada kehamilan sebelum ini, ataupun indeks jisim tubuh 35 atau lebih). Wanita-wanita ini menerima secara rawak sama ada dos tinggi asid folik, 4 mg ataupun pil gula (placebo) dengan tambahan sehingga 1.1 mg asid folik sepanjang kehamilan mereka.

    Menurut Mark C. Walker, MD, dari Ottawa Hospital Research Institute in Canada, dalam penemuan kajian tersebut, sebanyak 14.8% wanita dalam kumpulan yang mengambil asid folik mendapat pre-eklampsia sementara pre-eklampsia dalam kalangan kumpulan placebo ialah 13.5%. Tiada bukti perbezaan antara kumpulan untuk mana-mana hasil sebaliknya lain. Oleh itu, penyelidik menyimpulkan bahawa pengambilan dos tinggi suplemen asid folik selepas trimester pertama tiada manfaat untuk mencegah pre-eklampsia.  

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Fakta Disemak oleh

    Hello Doktor Medical Panel


    Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 29/11/2019

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan