Antara punca tekanan biasa bagi setiap wanita yang mengandung adalah:
- Anda mungkin berdepan ketidakselesaan semasa tempoh kehamilan seperti mabuk pagi, keletihan, sembelit, atau sakit belakang
- Perubahan hormon mengakibatkan perubahan emosi. Mood swings menjadikan tekanan lebih sukar diatasi
- Kerisauan tentang apa yang dijangkakan semasa proses kelahiran dan bagaimana untuk menjaga bayi
- Jika anda bekerja, kebimbangan untuk uruskan tugasan kerja dan persiapan untuk mengambil cuti bersalin
- Kerisauan tentang makanan dan minuman yang diambil mungkin memberi kesan kepada bayi
Perkara lain yang boleh menjejaskan emosi ibu mengandung termasuk:
- Menunggu keputusan pemeriksaan pranatal
- Pengalaman kehamilan lepas seperti keguguran atau kematian bayi
- Kehamilan mengejut yang tidak dirancang
- Berdepan perubahan fizikal semasa mengandung
- Komplikasi kehamilan
- Menjadi ibu bapa tunggal dan risau tentang bagaimana untuk menghadapinya
- Masalah dalam perhubungan dengan pasangan atau keluarga
- Masalah kewangan
- Kehilangan atau bertukar pekerjaan
- Kesedihan seperti kematian ahli keluarga
- Masalah kesihatan seperti kemurungan atau penyakit mental
Jika anda mengalami lebih daripada 1 yang disenaraikan di atas dalam masa yang sama, bermakna anda berdepan tekanan yang banyak.

Bagaimana tekanan menjejaskan kehamilan?
Hubung kait antara tekanan dan kehamilan masih tidak dapat difahami dengan jelas. Tetapi sesetengah tekanan melibatkan hormon memainkan peranan ke atas komplikasi ketika mengandung.
Tekanan yang kronik atau berpanjangan boleh menjejaskan sistem imun yang melindungi diri daripada jangkitan.
Ini sekali gus meningkatkan risiko jangkitan pada uterus dan ia boleh mengakibatkan kelahiran pramatang.
Masalah lain yang boleh dialami:
Tidak cukup tidur
Tidak selesa sepanjang tempoh kehamilan seperti kesukaran untuk tidur, sakit badan dan mabuk pagi yang dirasakan lebih teruk apabila tertekan.
Pemakanan
Emosi ibu mengandung yang terjejas berkemungkinan menyebabkan mereka mengalami masalah berkaitan selera makan. Ia sama ada kurang atau terlebih makan.
Kesannya anda akan mengalami masalah kurang berat badan atau terlebih. Risiko untuk penyakit diabetes gestasi dan kelahiran pramatang adalah tinggi.
Tekanan darah tinggi
Stres berlebihan ketika tempoh kehamilan cenderung menyebabkan anda mengalami tekanan darah tinggi.
Keadaan itu meletakkan anda kepada masalah pre-eklampsia, kelahiran pramatang dan bayi lahir dengan berat yang rendah.
Bukan itu sahaja kesan kepada si manja, bayi dalam kandungan juga boleh berdepan gangguan tumbesaran serta menjejaskan tempoh kehamilan anda.
Tekanan kronik secara tidak langsung mendedahkan bayi dengan risiko perkembangan fizikal dan mental termasuklah tingkah-lakunya ketika melangkah ke alam kanak-kanak.

Mengawal perubahan emosi ibu mengandung
Sangat penting untuk menjaga perkembangan mental dan emosi sepanjang tempoh kehamilan, dan bukan sekadar menjaga kesihatan fizikal semata-mata.
Apabila anda berasa gembira dan sihat, anda pasti dapat mengatasi dan mengawal tekanan yang dihadapi.
Sudah tentu ia akan mengurangkan risiko untuk mengalami sebarang kesan yang tidak diingini kepada diri atau bayi dalam kandungan.