backup og meta

Penghidap Sakit Lupus TAK Boleh Makan Bawang Putih? Apa Lagi Pantang Lain?

Penghidap Sakit Lupus TAK Boleh Makan Bawang Putih? Apa Lagi Pantang Lain?

Lupus atau systemic lupus erythematosus (SLE) ialah satu penyakit autoimun yang semakin dikenali di Malaysia. Seperti penyakit lain, terdapat pantang larang juga dari segi diet untuk lupus.

Artikel ini akan menyenaraikan jenis makanan yang elok dan juga tidak elok bagi pesakit lupus.

Apa itu penyakit autoimun lupus?

Lupus ialah penyakit autoimun, di mana badan anda akan menghasilkan antibodi yang mampu menyerang sel-sel badan anda sendiri. Ia boleh menyebabkan keradangan organ.

Organ yang selalu terlibat ialah otak, buah pinggang, jantung, paru-paru, sendi, dan juga kulit.

Lazimnya, lupus didiagnosis dalam kalangan wanita lingkungan umur reproduktif.

Sehingga kini, tidak terdapat kajian yang mengkhaskan diet untuk lupus.

Namun seperti penyakit yang lain, pesakit lupus perlulah mengamalkan pemakanan seimbang, melebihkan buah-buahan dan sayur-sayuran.

Walaupun begitu, terdapat makanan yang baik untuk mengawal simptom lupus anda, juga beberapa makanan yang harus dielakkan sama sekali.

Diet untuk lupus yang terbaik!

Diet untuk lupus #1: makanan tinggi kalsium

diet untuk lupus

Salah satu rawatan jangka masa panjang untuk lupus ialah pengambilan steroid.

Pengambilan steroid berpanjangan boleh menyebabkan tulang anda lemah dan berisiko untuk mendapat osteoporosis terutama sekali wanita yang sudah menopaus.

Oleh itu, diet yang tinggi dengan kalsium secara tidak langsung mampu menguatkan tulang anda.

Contoh makanan yang tinggi dengan kalsium ialah:

  • Keju
  • Yogurt
  • Tauhu
  • Susu rendah lemak
  • Kekacang
  • Sayuran hijau seperti bayam dan brokoli

Diet untuk lupus #2: makanan tinggi vitamin D

Vitamin D penting untuk tubuh anda merangsang penyerapan kalsium dari usus dan membantu pembentukan tulang.

Untuk mengelakkan daripada berlakunya tulang lemah yang boleh menjurus kepada patah tulang, ambillah makanan yang tinggi dengan vitamin D seperti:

  • Ikan salmon
  • Ikan sardin
  • Minyak ikan kod
  • Telur kuning
  • Cendawan
  • Susu soya

Diet untuk lupus #3: makanan tinggi omega-3

Daging merah mempunyai kadar lemak yang tinggi dan boleh menyebabkan sakit jantung.

Tukarlah hidangan daging anda kepada ikan yang tinggi dengan omega-3 seperti :

  • Ikan salmon
  • Ikan tuna
  • Ikan tenggiri
  • Ikan sardin

Omega-3 merupakan kumpulan asid lemak tak tepu yang boleh mengelakkan daripada penyakit jantung dan strok.

Pantang larang pemakanan lupus

diet untuk lupus

#1 Bawang putih

Saintis mendedahkan bawang putih mempunyai komposisi kimia seperti allicin, ajoene dan thiosulfinates.

Gabungan ini mampu mengakibatkan sistem imun tubuh semakin sensitif dan mengaktifkan simptom lupus yang tidak diinginkan.

Cubalah elakkan daripada memasak dengan bawang putih dan peka dengan jenis makanan yang dihidang di luar.

#2 Alfalfa

Alfalfa mengandungi asid amino L-canavanine yang tinggi. Komponen ini mampu menyebabkan keradangan dalam kalangan pesakit lupus kerana ia mengaktifkan sistem imun badan.

Oleh itu, pesakit lupus dan pesakit autoimun yang lain seharusnya mengelakkan diri daripada makan alfalfa.

#3 Kurangkan makanan berlemak tinggi

Pesakit lupus harus mengehadkan pengambilan makanan yang tinggi dengan lemak tepu dan lemak trans. 

Hal ini kerana salah satu kesan sampingan pengambilan steroid adalah meningkatkan selera makan anda, dan menyebabkan anda menambah berat badan.

Maka, ia penting untuk anda peka terhadap pemakanan anda.

#4 Elak pengambilan sayuran nightshade

diet untuk lupus

Kajian menunjukkan kumpulan sayuran nightshade mengandungi komposisi alkaloid yang tinggi. Sesetengah individu akan lebih sensitif terhadap alkaloid dan boleh menyebabkan keradangan.

Oleh sebab pesakit lupus mudah untuk mendapat keradangan, adalah lebih elok untuk mereka mengelakkan kumpulan sayuran ini.

Contoh sayuran nightshade ialah:

  • Tomato
  • Ubi kentang
  • Terung
  • Kapsikum
  • Rempah seperti paprika dan lada cayenne

#5 Alkohol

Pengambilan alkohol dalam jumlah sederhana tidak akan memudaratkan anda. 

Namun, ingatlah bahawa alkohol boleh berinteraksi dengan beberapa jenis ubat, dan mengakibatkan keadaan yang lebih serius.

Ubat tahan sakit dalam kategori Non-Steroidal Anti Inflammatory Drug (NSAID) seperti aspirin, ibuprofen dan celecoxib jika digabungkan dengan alkohol mampu meningkatkan risiko pendarahan dalam perut atau ulser peptik.

Konklusi

Setiap pesakit lupus mempunyai keadaan yang berbeza-beza. Pemakanan lupus yang disenaraikan di atas mungkin berkesan untuk anda tetapi tidak kepada pesakit lain.

Oleh itu, simpanlah journal pemakanan supaya anda lebih peka terhadap jenis makanan yang boleh diambil dan harus dielakkan.

Berbincanglah dengan pegawai perubatan dan dietetik anda untuk mendapatkan struktur pemakanan yang lebih baik untuk anda.

[embed-health-tool-bmr]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Vitamin D: direct effects of vitamin D metabolites on bone: lessons from genetically modified mice, https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3944130/, Accessed Aug 23 2020.
  2. Systemic Lupus Erythematosus & Wanita yang Mengandung, http://www.myhealth.gov.my/systemic/, Accessed Aug 23 2020.
  3. 5 Things to Avoid if You Have Lupus, https://www.hopkinslupus.org/?s=things+to+avoid, Accessed Aug 23 2020.
  4. Diet and nutrition with lupus, https://www.lupus.org/resources/diet-and-nutrition-with-lupus#, Accessed Aug 23 2020.
  5. What’s the Deal With Nightshade Vegetables?, https://health.clevelandclinic.org/whats-the-deal-with-nightshade-vegetables/, Accessed Aug 23 2020.

 

 

Versi Terbaru

07/06/2022

Ditulis oleh Nana Muhammad

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim

Diperbaharui oleh: Muhammad Wa'iz


Artikel Berkaitan

Interaksi Kodein dan Alkohol

Nefritis Lupus


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Muhamad Firdaus Rahim

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nana Muhammad · Disemak pada 07/06/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan