Cucuk vaksin merupakan cara mudah, selamat dan terbukti berkesan dalam mencegah serta melindungi tubuh daripada pelbagai penyakit berbahaya.
Prosedur perubatan ini akan melatih sistem imun untuk membentuk antibodi, sama seperti apabila tubuh terdedah kepada jangkitan penyakit.
Vaksin secara umumnya dihasilkan daripada kuman – bakteria atau virus – yang telah lemah atau mati, serta tidak akan menyebabkan penyakit itu berkembang dalam tubuh manusia.
Walaupun terdapat banyak bukti menunjukkan vaksin adalah berkesan dan selamat, namun boleh dikatakan masih terdapat individu yang tidak nampak kepentingan untuk mendapatkan suntikan imunisasi.
Sempena dengan Minggu Imunisasi Sedunia (WIW), Hello Health telah menjalankan tinjauan untuk melihat persepsi dan pengetahuan individu awam mengenai vaksinasi dewasa.
Tinjauan ini melibatkan 2,051 pembaca Hello Health dari 8 buah negara iaitu Malaysia, Indonesia, Filipina, Thailand, Vietnam, Kemboja, Taiwan dan India.
Jom kita ketahui lebih lanjut mengenai pendapat awam berkaitan program vaksinasi Malaysia.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan, sila dapatkannya di sini.
Mengenai vaksinasi
Apakah persepsi masyarakat mengenai cucuk vaksin?
Semasa ditanya apakah yang terlintas di fikiran apabila mendengar perkataan “Vaksin’, sebahagian besar daripada responden memahami secara positif fungsi dan tujuan untuk mendapatkan suntikan vaksin.
Ini di mana mereka bersetuju matlamat vaksinasi Malaysia adalah untuk menguatkan sistem imun tubuh. Ia juga membantu memberikan perlindungan kepada diri daripada penyakit berbahaya, serta menghentikan penularan jangkitan.
Bahkan, semenjak dunia dilanda COVID-19, kebanyakan responden teruja untuk mendapatkan suntikan vaksinasi.
Ini kerana mereka percaya tindakan tersebut akan dapat membantu mengurangkan keterukan simptom jangkitan wabak tersebut.
Bagi penduduk Thailand, mereka beranggapan vaksin mampu membina imuniti dan mencegah daripada terkena pelbagai jangkitan penyakit.
Pun begitu, masih ada yang risau memikirkan kesan sampingan selepas suntikan, khususnya vaksin COVID-19.
Masyarakat Indonesia, masih ada yang takut kepada jarum suntikan. Namun demi kepentingan kesihatan diri dan bagi mengurangkan penularan jangkitan, mereka tetap memilih untuk cucuk vaksin.
Sesetengah responden di Taiwan pula percaya bahawa kesan sampingan vaksin yang diperbesar-besarkan telah mencetuskan ketakutan untuk menerima vaksin.
Untuk masyarakat Kemboja, mereka mengetahui bahawa vaksin baik untuk kesihatan. Namun, rata-ratanya masih bimbang akan kesan sampingan dan masalah kesihatan yang boleh berlaku selepas suntikan.
Sementara itu, terdapat rakyat Vietnam yang merungut mengenai harga vaksin yang agak tinggi di sana. Namun mereka percaya, vaksin penting dalam mencegah penyakit berbahaya.
Tujuan vaksin
Apakah sebab utama mendapatkan vaksinasi Malaysia?
Dalam tinjauan Hello Health ini juga ingin mengetahui apakah alasan di sebalik keputusan seseorang untuk menyertai atau tidak program vaksinasi.
Berdasarkan responden daripada kelapan-lapan buah negara, sekitar 56-84% memilih untuk mendapatkan vaksin bagi melindungi diri dan individu di sekeliling mereka daripada penyakit berbahaya.
Jika tidak cucuk vaksin, seseorang itu akan lebih berisiko untuk mendapat jangkitan berbahaya atau komplikasi yang boleh mengancam nyawa daripada penyakit seperti campak, polio dan hepatitis.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan bahawa vaksin pada bayi dan kanak-kanak sahaja sudah boleh menyelamatkan lebih 4 juta nyawa setiap tahun.
Selain alasan tersebut, 4 daripada 5 individu di negara ini percaya bahawa suntikan vaksin dapat menguatkan sistem imun tubuh.
Manakala 3 daripada 4 individu yakin dengan mendapat vaksin, ia boleh menghentikan penularan jangkitan berbahaya.
Punca menolak cucuk vaksin
Responden juga ditanya mengenai alasan mereka untuk tidak mendapatkan vaksinasi.
Secara umumnya, 44-75% responden daripada semua negara terlibat menyatakan keengganan mereka untuk mendapatkan vaksin adalah kerana bimbangkan kesan sampingan yang mungkin terjadi.
Sebenarnya, jika difikirkan vaksin adalah sama seperti ubat yang lain.
Ia boleh menyebabkan kesan sampingan ringan seperti demam, sakit atau kemerahan di tempat suntikan dan biasanya akan hilang dalam masa beberapa hari.
Bahkan kesan sampingan yang teruk dan berpanjangan amat jarang untuk berlaku. Doktor biasanya akan membantu memantau keadaan pesakit selepas vaksinasi.
Manakala 1 daripada 4 individu di Malaysia menolak untuk cucuk vaksin kerana beranggapan bahawa risiko adalah lebih besar berbanding manfaat yang akan diperolehi.
Selain responden negara ini sebanyak 17%, terdapat juga maklum balas dari negara lain seperti Vietnam (30%), Filipina (21%) dan India yang menyatakan punca tidak cucuk vaksin adalah kerana harganya yang mahal.
Perkara ini tidak dapat dinafikan kerana terdapat sesetengah vaksin, khususnya buat individu dewasa tidak diberikan subsidi oleh kerajaan.
Keadaan ini sekali gus mengakibatkan ada yang keberatan untuk mengambil vaksin, lebih-lebih lagi jika harganya agak mahal.
Vaksinasi Malaysia
Selain Program Imunisasi Kebangsaan lengkap yang disediakan untuk bayi dan kanak-kanak, individu dewasa juga perlu mendapatkan beberapa jenis suntikan vaksin secara berkala, seperti:
- Influenza
- Pneumokokus
- Hepatitis A
- Hepatitis B
- Difteria, pertusis dan tetanus (DPT)
- Campak, beguk dan rubella (MMR)
- Haemophilus influenzae jenis B (HiB)
- Varicella (cacar air)
- Meningokokus
Di Malaysia sahaja, hanya 1 daripada 3 individu (31%) mengetahui mengenai saranan cucuk vaksin dewasa ini.
Angka ini adalah tidak jauh beza dengan negara Asia Tenggara lain seperti Indonesia (29%), Vietnam (37%) dan Filipina (45%).
Dan dianggarkan 5% daripada masyarakat negara ini yang masih belum mengetahui mengenai suntikan vaksin bagi dewasa.
Baca juga: