backup og meta

10 Penyakit Yang Boleh Dicegah Dengan Vaksin, Bukan COVID-19 Sahaja Tau!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 21/06/2022

    10 Penyakit Yang Boleh Dicegah Dengan Vaksin, Bukan COVID-19 Sahaja Tau!

    Ingin tahu apakah vaksin Malaysia yang wajib diambil di negara kita? Buat masa ini, ada 10 vaksin wajib yang perlu diambil untuk mengelakkan penyakit tertentu. 

    Tidak dinafikan, isu vaksinasi telah lama menjadi bualan ramai pihak dan ia kekal hangat hingga sekarang. 

    Ada ibu bapa yang masih lagi degil dan tidak memahami konsep vaksin wajib yang ‘memayungi’ populasi awam sehinggakan individu yang tidak divaksin turut mendapat perlindungan.

    Tetapi, mengapa kita perlu mengambil vaksin? Ini sebabnya!

    Vaksin boleh mengurangkan risiko beberapa jenis penyakit. Ia dapat meningkatkan daya tahan badan dan mengurangkan risiko dijangkiti penyakit tertentu. 

    Ada banyak vaksin yang boleh mencegah penyakit, namun dalam artikel ini kami nyatakan 10 jenis penyakit yang boleh dielakkan melalui pengambilan vaksin wajib.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.

    10 penyakit yang boleh dicegah melalui vaksin Malaysia wajib

    vaksin malaysia

    1. Vaksin Difteria

    Difteria adalah sejenis jangkitan bakteria yang menjejaskan membran mukus pada bahagian hidung dan tekak. Ia biasanya menyebabkan sakit tekak, demam, kelenjar yang membengkak dan lemah badan.

    Penyakit ini sangat jarang berlaku di negara-negara membangun disebabkan oleh penggunaan vaksin secara menyeluruh.

    Di Malaysia, pernah terjadi kematian yang disebabkan oleh penyakit ini di mana seorang kanak-kanak lelaki berusia 2 tahun meninggal dunia disebabkan oleh jangkitan difteria. Kanak-kanak malang tersebut dilaporkan tidak mendapat sebarang vaksin sejak dilahirkan.

    Vaksin difteria termasuk dalan vaksin lima serangkai DTaP-IPV//Hib (difteria, pertusis, tetanus, polio dan Haemophilus influenzae type b) yang akan diberikan kepada bayi berusia 2, 3, 5 dan 18 bulan. Ini merupakan satu vaksin Malaysia yang khas dan dimasukkan di dalam program imunisasi negara kita. 

    2. Tetanus

    Tetanus adalah sejenis penyakit serius yang disebabkan oleh toksin bakteria Clostridium tetani yang menjejaskan sistem saraf manusia.

    Ia menyebabkan kontraksi otot yang menyakitkan terutama di bahagian rahang dan otot leher, serta menyebabkan kesukaran bernafas dan berpotensi mengancam nyawa.

    Tetanus juga merupakan sejenis penyakit yang sangat jarang berlaku di negara-negara membangun disebabkan pemberian vaksin wajib.

    CDC menggalakkan pemberian vaksin ini kepada bayi, kanak-kanak, remaja dan juga orang dewasa. Sama seperti vaksin difteria, vaksin tetanus termasuk di dalam vaksin 5 serangkai.

    Vaksin Malaysia wajib ini turut diberikan kepada bayi berusia 2, 3 dan 5 bulan. Dos tambahan pula diberikan ketika bayi berusia 18 bulan, 7 dan 15 tahun. 

    3. Vaksin pertussis atau batuk kokol

    vaksin malaysia

    Pertussis atau sering dikenali dengan nama batuk kokol adalah penyakit berbahaya yang menyebabkan batuk teruk yang menjejaskan pernafasan seseorang individu.

    Batuk kokol juga boleh menyebabkan pneumonia, bronkitis, serangan tiba-tiba (seizure), kerosakan otak bahkan kematian.

    Menurut laporan CDC, sejak pengenalan vaksin batuk kokol, kes ini telah menurun dengan drastik daripada 100,000 kes setiap tahun pada tahun 1940, kepada hanya 10,000 kes pada tahun 1965.

    Vaksin batuk kokol atau pertussis termasuk dalam vaksin Malaysia lima serangkai yang akan diberikan kepada bayi berusia 2, 3, 5 dan 18 bulan. 

    Kini, jarang sekali ada kematian yang berlaku disebabkan batuk kokol. Sebab itulah, pengambilan vaksin wajib amat penting untuk melindungi bayi daripada penyakit ini. 

    4. Vaksin polio

    Polio adalah sejenis penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus yang mana ia boleh menyebabkan kecederaan saraf yang membawa kepada kelumpuhan dan kesukaran bernafas.

    Sekiranya pesakit gagal bernafas, penyakit ini boleh menyebabkan kematian. 

    Pada awal abad ke-20, wabak penyakit ini telah menyerang masyarakat di Eropah dan Amerika Syarikat, menyebabkan kematian ribuan nyawa selain menjangkiti ratusan ribu yang lain.

    Namun, dengan adanya vaksin Malaysia yang wajib diambil, jumlah penghidap penyakit ini berkurangan dan dapat dicegah.

    Menurut KKM, kes polio terakhir di Malaysia dicatatkan pada tahun 1992. Sejak Oktober 2000, Malaysia telah diisytiharkan bebas daripada penyakit ini. 

    Walau bagaimanapun, 1 kes telah dicatatkan pada 6 Disember 2019 setelah 27 tahun Malaysia bebas daripada polio. 

    Cara terbaik untuk melindungi diri daripada polio adalah dengan mendapatkan vaksin wajib. Di Malaysia, vaksin polio akan disertakan di dalam vaksin 5 serangkai. 

    5. Campak (Measles)

    Measles, yang turut dikenali sebagai demam campak, dan merupakan sejenis penyakit jangkitan virus yang menyebabkan demam dan ruam merah pada tubuh.

    Selalunya masalah ini terjadi sewaktu masih kecil. Untuk pengetahuan anda, virus campak ini boleh bertahan di udara selama dua jam apabila seseorang yang dijangkiti itu batuk atau bersin. Ia juga sangat mudah berjangkit.

    Untuk mencegah demam campak, vaksin MMR yang merupakan vaksin kombinasi 3 dalam 1 akan diberikan kepada bayi untuk mencegah penyakit campak (measles), beguk (mumps) dan rubella. 

    95% daripada kanak-kanak yang menerima 2 dos vaksin MMR mendapat perlindungan daripada virus ini. Dalam program vaksin Malaysia, dos pertama diberi apabila anak berusia 9 bulan dan dos kedua diberi apabila anak berumur 12 bulan.

    Baca juga:

    6. Beguk (mumps)

    Beguk adalah penyakit jangkitan virus yang menjejaskan kelenjar penghasilan air liur yang berada berdekatan telinga anda. Beguk boleh menyebabkan pembengkakan pada satu atau kedua-dua belah kelenjar.

    Ia pernah menjadi antara penyebab utama ramai individu dimasukkan ke hospital semasa berlakunya Perang Dunia Pertama.

    Sebelum vaksin beguk diperkenalkan, ia merupakan antara penyakit zaman kanak-kanak yang paling kerap berlaku.

    Beguk boleh dicegah dengan vaksin Malaysia wajib. Ia merupakan sebahagian daripada vaksin MMR dan akan diberikan ketika anak berusia 9 dan 12 bulan.

    7. Rubella

    Selain dipanggil dengan nama rubella, ia turut dikenali sebagai demam campak Jerman memandangkan Jerman merupakan lokasi pertama penyakit ini dikenal pasti.

    Rubella adalah sejenis penyakit disebabkan virus yang boleh berjangkit. Walaupun mempunyai ciri atau simptom yang sama seperti demam campak, rubella dan demam campak adalah dua jenis penyakit berbeza.

    Ini kerana rubella disebabkan oleh jenis virus lain yang tidak sama dengan virus penyebab demam campak.

    Rubella juga amat berbahaya kepada bayi dalam kandungan. Ibu boleh keguguran dan bayi pula boleh alami kecacatan seperti katarak, buta, pekak, kecacatan otak dan jantung berlubang. 

    Sebab itulah, anak perlu mengambil vaksin MMR ketika berusia 9 dan 12 bulan. Untuk mencegah penyakit ini, semua kanak-kanak perlulah menerima vaksin Malaysia wajib yang sama pada tempoh yang ditetapkan. 

    8. Hepatitis B

    Penyakit ini disebabkan oleh virus hepatitis B (HBV) yang menjangkiti bahagian hati manusia.

    Penyakit ini boleh menjadi sangat kronik disebabkan ia boleh bertahan sehingga lebih daripada 6 bulan.

    Hepatitis B yang kronik boleh menyebabkan kegagalan fungsi hati, kanser hati dan sirosis, iaitu keadaan yang menyebabkan parut kekal pada hati.

    Ia boleh dielakkan melalui penggunaan vaksin Malaysia wajib, tetapi tidak boleh disembuhkan apabila ia telah menjangkiti anda. Ubat-ubatan pula hanya digunakan untuk mengelakkan penyebaran virus ini pada individu lain.

    Penyakit ini boleh dicegah dengan pemberian vaksin Hepatitis B. Di negara kita, vaksin HBV adalah salah satu vaksin Malaysia wajib dan akan diberikan pada bayi sejurus selepas lahir, ketika berusia 1 bulan dan 6 bulan. 

    9. Influenza

    demam

    Influenza adalah penyakit yang menyerang sistem pernafasan manusia iaitu hidung, tekak dan paru-paru.

    Ia turut dipanggil sebagai flu dan untuk kebanyakan individu, ia akan sembuh dengan sendirinya.

    Walau bagaimanapun, influenza ini boleh menjadi sangat berbahaya sehingga boleh mengorbankan nyawa seperti Spanish Flu yang mengorbankan sekitar 20 hingga 50 juta manusia pada tahun 1918.

    Mengikut saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), vaksin influenza perlu diambil setiap tahun untuk memastikan kita sentiasa dilindungi daripada sebarang virus influenza yang sedang menular pada setiap musim.

    10. Vaksin Pneumokokal

    Penyakit Pneumokokal ini disebabkan oleh jangkitan bakteria Streptococcus pneumoniae atau juga disebut sebagai pneumococcus.

    Ia boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan seperti jangkitan telinga dan meningitis. Apabila bakteria tersebut memasuki bahagian paru-paru, ia boleh menjadi pneumonia atau radang paru-paru.

    Ada 2 jenis vaksin pneumokokal yang boleh didapati di pasaran iaitu vaksin polisakarida pneumokokal dan vaksin konjugat pneumokokal. Vaksin yang berbeza juga mempunyai bilangan dos yang berbeza. 

    Pengambilan imunisasi adalah sangat digalakkan. Namun, berbincang terlebih dahulu dengan doktor untuk memastikan vaksin yang diterima sesuai dengan umur. 

    Cuba periksa, vaksin Malaysia mana yang anda belum ambil?

    vaksin malaysia

    Kini anda telah mengetahui bahawa kebanyakan penularan penyakit-penyakit ini hampir terhapus di negara kita dan juga di negara-negara lain. Tahukah mengapa?

    Ini kerana penggunaan dan kewajipan vaksin di Malaysia secara meluas yang telah dilaksanakan oleh kerajaan bagi memastikan kesejahteraan kesihatan semua penduduk.

    Anda mungkin tidak mengetahui berkenaan Spanish Flu kerana ia telah menjadi satu sejarah. Oleh itu, jangan mulakan sejarah buruk yang baharu disebabkan oleh sikap penting diri dan kecuaian anda dalam memberikan vaksin kepada anak-anak anda.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 21/06/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan