Kredit Video: Now This News
Kadangkala fakta juga boleh diibaratkan seperti ‘peluru makan tuan’. Sebuah kajian mendapati, jika ibubapa yang meragui vaksinasi dibanjiri dengan pelbagai maklumat dan fakta mengenai keselamatan vaksin boleh menjadikan mereka lebih meragui mengenai vaksinasi.
Kajian tersebut mengesahkan bahawa sangat sukar untuk menghilangkan maklumat palsu daripada ingatan seseorang. Dan mungkin lebih sukar untuk mengubah minda jika mereka mempunyai keyakinan yang kuat mengenai hujah yang dipertikaikan.
Pandangan masyarakat tentang hujah-hujah yang dipertikaikan dalam sains dipolarisasikan oleh ‘kecenderungan kognitif’ dan ‘pemikiran bermotivasi’ yang berpunca daripada kepercayaan, bingkai rujukan pemikiran dan nilai peribadi mereka. Sekiranya mereka cenderung menyukai maklumat saintifik baru, mereka akan melihatnya lebih positif. Tetapi jika maklumat baru menghilangkan atau menyusutkan pandangan dan nilai sedia ada, sudah pasti mereka akan menolaknya.
Kemudian hadirnya ‘kesan negatif’. Menyaksikan kumpulan yang cenderung untuk berkongsi cerita dan imej tentang kemudaratan dan tragedi, berbanding kandungan neutral atau positif. Ini menjelaskan mengapa mesej mengenai khabar angin bahaya vaksin yang sering disertai dengan imej-imej kanak-kanak sakit yang penuh emosi, disebar tanpa sedetik keraguan menerusi media sosial berbanding mesej pro-vaksin yang dilihat sebagai membosankan dan seakan hilang sentuhan dalam masyarakat.
[BACA: Kebersamaan Masyarakat Antarabangsa Melawan Wabak Melalui CEPI dan Vaksin]
Perlunya Kajian, Pemikiran dan Naratif Baru
Bagi menangani isu komunikasi maklumat sains terutamanya komunikasi mengenai vaksinasi, dua penyelidikan sedang rancak berlangsung kini.
Kajian pertama memberi fokus kepada dua laman awam (public pages) di Facebook yang menggunakan audiens di Afrika Selatan sebagai kajian rintis dengan dua kumpulan berbeza iaitu menentang dan memihak kepada vaksinasi.
Objektifnya adalah untuk memahami sifat dan hujah serta imej yang dipaparkan oleh kumpulan anti dan pro-vaksinasi. Selain itu, kajian juga akan meneroka bukti yang disediakan untuk menyokong hujah-hujah tersebut.
Menerusi kajian ini diharapkan akan membuahkan pemahaman yang lebih baik mengenai hujah-hujah yang diutarakan oleh kumpulan anti-vaksinasi menerusi media sosial dan menemui titik keseimbangan untuk dialog yang lebih membina.
Kajian kedua akan mengkaji bagaimana maklumat saintifik mengenai vaksin dan isu-isu lain yang dipertikaikan mendapat perhatian kumpulan yang mempunyai agenda ideologi tertentu menerusi media sosial.
Kredit Video: House M.D.
Pemahaman yang lebih baik mengenai aliran maklumat saintifik dari sistem komunikasi sains formal kepada rangkaian komunikasi dalam talian akan memberi gambaran peri penting akan keperluan untuk melindungi maklumat saintifik dari penyalahgunaan strategik yang melumpuhkan sistem kepercayaan masyarakat global terhadap ilmu pengetahuan.
Sebelum kita naik berang dan menuduh golongan ‘anti-vaxxers’ sebagai sesat lagi menyesatkan, jumud tidak boleh diajar — kita terutamanya yang berada dalam sektor kesihatan awam yang mempromosikan maklumat saintifik — harus berhenti dan fikir sejenak. Naratif perlu berubah, perlu ada peralihan paradigma. Apa lagi yang harus kita lakukan demi memastikan komunikasi maklumat saintifik dan kesihatan lebih bersifat ‘seksi’, ‘spot on’ dan menyentuh tepat sanubari masyarakat kita yang mungkin sudah keliru mana yang fakta, mana yang ‘auta’.
Ini cabaran buat kita bersama.
~ Pengarang, Hello Doktor
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen