Bolehkah penyakit hepatitis dirawat?

Buat masa sekarang, tidak ada sebarang rawatan untuk jangkitan hepatitis A.
Oleh sebab itu, pesakit yang mengalami jangkitan ini perlu banyak berehat, minum air dan mendapatkan nutrisi yang mencukupi.
Anda boleh mendapatkan vaksinasi untuk hepatitis A. Malah, vaksinasi amat digalakkan untuk semua kanak-kanak yang berusia 12-32 bulan.
Selain vaksinasi, penjagaan kebersihan diri juga penting untuk mencegah hepatitis A. Pastikan anda sentiasa membasuh tangan selepas ke tandas dan basuh makanan sebelum masak.
Sama seperti hepatitis A, rawatan untuk hepatitis B juga lebih kurang sama. Walau bagaimanapun, dalam beberapa kes, doktor mungkin akan memberikan ubat antiviral untuk mencegah kegagalan hati.
Ubat-ubatan ini amat efektif namun tidak dapat menyembuhkan hepatitis B yang kronik. Oleh sebab itu, pesakit perlu bergantung kepada ubat-ubatan sepanjang hayat.
Jangkitan hepatitis B boleh dielakkan dengan cara menjauhkan diri daripada aktiviti tidak sihat seperti seks yang tidak selamat dan pengambilan dadah. Vaksinasi juga boleh didapati untuk mengelakkan jangkitan hepatitis B.
Hepatitis C pula merupakan satu-satunya jangkitan kronik yang boleh dirawat, semuanya disebabkan kemajuan dalam bidang perubatan. Pada tahun 1990, kadar kesembuhan untuk hepatitis hanyalah di sekitar 7%.
Kini, hampir 95% penghidap hepatitis C boleh sembuh. Rawatan mungkin mengambil masa 12 hingga 24 minggu. Ubat-ubatannya pula tidak mempunyai kesan sampingan yang teruk.
Walau bagaimanapun, tidak ada vaksin yang boleh diambil untuk penyakit hepatitis C. Sama seperti penyakit hepatitis B, hepatitis C boleh dielakkan jika anda tidak melakukan aktiviti yang berisiko seperti penyalahgunaan dadah.
Kesimpulan

Kami berharap, pembaca dapat memahami apa itu hepatitis dan jenis-jenisnya secara lebih mendalam melalui perkongsian kali ini. Penyakit hepatitis merupakan sesuatu yang serius dan berbahaya.
Antara simptom yang mungkin pesakit alami ialah demam, keletihan, hilang selera makan, loya, muntah-muntah, sakit perut, urin yang berwarna gelap, tinja berwarna kelabu, sakit sendi dan juga jaundis.
Lebih teruk lagi, hepatitis yang kronik tidak mempunyai sebarang simptom dan hanya boleh dikenal pasti setelah pesakit mengalami jangkitan yang serius.
Oleh sebab itu, pastikan anda jaga kebersihan diri dan ambil vaksin untuk mencegah hepatitis. Fahami juga risiko hepatitis di tempat kerja anda supaya sebarang jangkitan dapat dielakkan.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen