Bolehkah pengambilan suplemen membantu dalam mengatasi senggugut ketika berlakunya pendarahan haid? Ikuti perkongsian artikel ini untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.
Mengatasi senggugut
Kekejangan haid boleh menyebabkan rasa menyucuk dan kesakitan di bawah perut selama 1 hingga 2 hari. Keadaan itu juga boleh menyebabkan anda mengalami sakit belakang dan ada kalanya disertai rasa mual dan muntah.
Bagi sesetengah wanita, masalah senggugut yang dialami boleh menyukarkan diri menjalani kehidupan harian seperti biasa.
Berita baiknya, mengamalkan multivitamin tertentu dapat membantu mengurangkan ketidakselesaan akibat senggugut.
Jenis kesakitan senggugut semasa haid
Sebelum anda mengetahui jenis suplemen yang dapat mengatasi rasa sakit senggugut ini, ayuh kita fahami keadaan senggugut yang boleh anda alami.
Senggugut Primer
Merupakan kekejangan haid biasa dan bukannya disebabkan penyakit lain. Ia biasa bermula 1 atau 2 hari sebelum pendarahan haid bermula.
Kesakitan yang dirasai boleh berada pada tahap ringan hingga berat pada bahagian bawah perut, punggung atau paha, disertai dengan gejala lain seperti mual, muntah, keletihan dan juga cirit-birit.
Kesakitan senggugut ini biasanya akan semakin berkurangan apabila anda meningkat usia dan mungkin hilang sepenuhnya selepas melahirkan bayi.
Senggugut Sekunder
Merupakan kesakitan haid yang disebabkan oleh gangguan atau jangkitan pada organ pembiakan wanita seperti fibroid, jangkitan, sista atau endometriosis.
Keadaan senggugut ini sering disertai dengan pendarahan berat, haid tidak teratur, kesukaran mengandung, masalah keputihan atau kesakitan semasa seks.
Pengambilan suplemen & multivitamin
Sekiranya anda mengalami senggugut sekunder, rawatan perubatan mungkin diperlukan bagi mengurangkan dan mengatasi gejala yang dialami. Manakala pengambilan suplemen dan multivitamin dapat membantu mengatasi senggugut primer.
Antara kandungan yang harus ada dalam multivitamin pilihan anda adalah:
Magnesium bantu mengatasi senggugut
Mineral penting yang membantu mengeluarkan tenaga daripada makanan, menghasilkan protein baharu, mengekalkan tulang sihat dan menjaga kesihatan otot dan saraf.
Magnesium juga berfungsi untuk pemulihan selepas bersenam, kekejangan otot serta kekejangan haid.
Zat besi
Pendarahan haid cenderung menyebabkan penurunan kadar zat besi badan. Tahap zat besi rendah boleh menyebabkan masalah seperti keletihan, pening dan sakit kepala yang memburukkan lagi gejala haid.
Dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum memulakan pengambilan suplemen zat besi.
Zink
Pengambilan suplemen zink dipercayai dapat membantu meredakan kekejangan haid yang teruk bagi membolehkan wanita meneruskan rutin harian seperti biasa.
Vitamin B boleh mengatasi senggugut
Suplemen vitamin B dapat membantu mengurangkan kesakitan period. Vitamin B1 – tiamin, dan vitamin B2 – niasin, terbukti dapat membantu meredakan kekejangan.
Vitamin B6 pula penting untuk pelbagai fungsi tubuh. Jadi, mengamalkan pengambilan vitamin ini dapat membantu meredakan simptom PMS, termasuklah melegakan kesakitan haid.
Sebaiknya sebelum memulakan pengambilan sebarang vitamin B, berbincanglah dengan doktor untuk mengetahui dos yang bersesuaian.
Baca juga: