backup og meta

Lelaki Pun Boleh Jadi Pembawa HPV, Tapi Ramai Tak Sedar

Ramai masih menganggap HPV hanya berkait dengan wanita, sedangkan lelaki juga boleh dijangkiti dan menyebarkan virus ini tanpa disedari. Tanda HPV pada lelaki pula sering tidak jelas kerana kebanyakannya tidak bergejala. Dalam sesi temu bual ini, Prof. Dr. Mohamad Nasir Shafiee menjelaskan tentang jangkitan HPV, pencegahan, saringan terkini serta peranan lelaki dan pasangan dalam mengurangkan risiko jangkitan.

Lelaki Pun Boleh Jadi Pembawa HPV, Tapi Ramai Tak Sedar

Untuk memahami isu ini dengan lebih jelas, berikut adalah penjelasan beliau tentang risiko dan keadaan HPV ini.

Untuk mendapatkan lebih lanjut tentang Kesihatan Seksual, klik di sini.

Jika si suami mengambil vaksin HPV, adakah ia turut membantu melindungi isteri?

tanda hpv pada lelaki
Prof. Dr. Mohamad Nasir Shafiee, Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi serta Pakar Perunding Ginekologi Onkologi.

Prof. Dr. Mohamad Nasir Shafiee: Dalam istilah perubatan, sebenarnya tiada istilah khusus yang dipanggil imuniti berpasangan. Namun apa yang kita faham ialah kesan tidak langsung daripada vaksinasi itu sendiri.

Apabila seorang lelaki mengambil vaksin HPV, vaksin tersebut akan membantu mengurangkan risiko jangkitan virus HPV berpanjangan. 

Pada masa yang sama, tempoh virus itu berada dalam tubuh lelaki juga akan menjadi lebih singkat. Dengan keadaan ini, risiko penularan virus HPV daripada lelaki kepada pasangannya akan berkurang.

Secara tidak langsung, isteri akan mendapat perlindungan daripada risiko jangkitan. Namun ini tidak bermaksud vaksin yang diambil oleh suami memberi perlindungan secara terus kepada isteri. 

Oleh sebab itu, isteri masih disarankan untuk mendapatkan vaksin HPV sendiri bagi mengurangkan risiko jangkitan dengan lebih berkesan.

Apakah cara paling berkesan untuk membantu wanita mencegah kanser serviks sejak awal?

Prof. Dr. Mohamad Nasir Shafiee: Jika kita melihat dari sudut pencegahan kanser serviks, saringan memainkan peranan yang sangat penting. Di Malaysia, ujian Pap smear telah diperkenalkan sejak tahun 1969 untuk mengesan perubahan sel pada pangkal rahim sebelum ia menjadi kanser.

Ujian ini bukan untuk mengesan kanser yang telah berlaku, tetapi untuk mengenal pasti perubahan sel pada peringkat awal sebelum kanser terjadi. 

Dari semasa ke semasa, kaedah saringan ini telah melalui proses penambahbaikan bagi meningkatkan kadar pengesanan sel abnormal serta kehadiran virus HPV di pangkal rahim.

Selain itu, vaksinasi HPV juga penting. Di Malaysia, vaksin HPV mula diperkenalkan sekitar tahun 2010 dan diberikan kepada pelajar perempuan berusia 13 tahun. 

Vaksin ini terbukti dapat mengurangkan jangkitan HPV dengan ketara, seterusnya mengurangkan kanser serviks. Majoriti kes kanser serviks berpunca daripada jangkitan virus HPV.

Pada umur berapakah wanita disarankan untuk memulakan ujian Pap smear?

tanda hpv pada lelaki
Anda boleh melakukan ujian Pap smear di klinik atau hospital berdekatan.

Prof. Dr. Mohamad Nasir Shafiee: Ujian Pap smear disarankan kepada wanita yang telah berkahwin atau pernah melakukan hubungan kelamin. Ia tidak digalakkan untuk wanita yang belum pernah melakukan hubungan kelamin.

Kebanyakan garis panduan antarabangsa mencadangkan saringan bermula pada usia 25 tahun dan ke atas sehingga 65 tahun.. 

Pada usia sekitar 20 hingga 25 tahun, jangkitan HPV memang tinggi dalam kalangan wanita, tetapi kebanyakannya akan hilang dengan sendiri.

Menariknya, apabila wanita meningkat usia sekitar 35 hingga 40 tahun, kadar prevalen jangkitan HPV menunjukkan sedikit penurunan. 

Namun keadaan ini berbeza dalam kalangan lelaki, kerana jangkitan HPV dalam tubuh lelaki boleh kekal lebih lama, dan prevalennya tetap tinggi sehingga berumur 60 tahun ke atas.

Mengapa ujian HPV termasuk kaedah self-sampling semakin dipilih?

Prof. Dr. Mohamad Nasir Shafiee: Dari segi cara pengambilan sampel, Pap smear dan ujian HPV sebenarnya hampir sama. Perbezaannya ialah pada kaedah atau cara pemeriksaan. 

Pap smear melihat perubahan sel di bawah mikroskop, manakala ujian HPV mengesan kehadiran virus.

Ramai wanita tidak selesa dengan pemeriksaan konvensional kerana rasa malu atau tidak selesa. 

Oleh itu, kaedah self-sampling menjadi pilihan kerana wanita boleh mengambil sampel sendiri dalam ruang yang lebih privasi.

Melalui self-sampling, wanita akan mengambil sampel sendiri dan menyerahkannya untuk dianalisis. 

Kajian menunjukkan bahawa ketepatan kaedah ini adalah setara dengan sampel yang diambil oleh doktor atau jururawat, dan ia memberi lebih kawalan serta keselesaan kepada wanita.

Kenapa vaksin HPV wajar dimasukkan dalam senarai semak pra-perkahwinan?

Prof. Dr. Mohamad Nasir Shafiee: Apabila kita bercakap tentang perkahwinan, kita sebenarnya bercakap tentang usaha melindungi keluarga dan masa depan. 

Jika kita tahu jangkitan HPV boleh menyebabkan kanser dan pada masa yang sama boleh dicegah melalui vaksinasi, maka wajar langkah ini diambil lebih awal.

Vaksin HPV paling berkesan jika diambil sebelum seseorang terdedah kepada jangkitan, iaitu sebelum hubungan kelamin bermula. 

tanda hpv pada lelaki
Ini kaedah bagaimana vaksin HPV membantu mencegah kanser serviks.

Oleh itu, mengambil vaksin sebelum berkahwin dapat membantu mengurangkan risiko jangkitan dan seterusnya mengurangkan risiko kanser pada masa hadapan.

Walaupun vaksin tidak menjamin perlindungan mutlak, bukti menunjukkan ia dapat mengurangkan jangkitan dan kesan jangkitan berpanjangan.

Tanda HPV pada lelaki: apakah tanda yang orang lelaki sering terlepas pandang?

Prof. Dr. Mohamad Nasir Shafiee: Dalam kalangan lelaki atau wanita, jangkitan HPV boleh menyebabkan ketuat atau pertumbuhan kecil seperti ketuat di kawasan kemaluan. Namun dalam banyak kes, jangkitan ini tidak menunjukkan sebarang simptom pada awalnya.

Apabila jangkitan berlarutan, ia boleh menyebabkan masalah yang lebih serius seperti kanser zakar, kanser dubur dan kanser di bahagian tekak. Untuk kanser di bahagian tekak, antara simptom yang boleh berlaku ialah sakit tekak yang berpanjangan.

Disebabkan tanda HPV pada lelaki sering tidak jelas atau tiada langsung, ramai lelaki tidak menyedari bahawa mereka telah dijangkiti.

Mengapa lelaki lebih berisiko mengalami jangkitan HPV yang berpanjangan?

Imunisasi
Vaksin HPV juga digalakkan untuk orang lelaki.

Prof. Dr. Mohamad Nasir Shafiee: Dalam kalangan lelaki, tindak balas sistem imun terhadap jangkitan HPV adalah lebih rendah berbanding wanita. 

Faktor anatomi juga memainkan peranan, di mana tindak balas imun setempat tidak begitu kuat bagi menghasilkan imuniti yang berpanjangan.

Akibatnya, jangkitan HPV dalam kalangan lelaki cenderung untuk berulang dan mengambil masa yang lebih lama untuk disingkirkan. 

Inilah sebab mengapa lelaki juga perlu diberi perhatian dalam pencegahan HPV.

Adakah HPV boleh berjangkit dan adakah HPV boleh sembuh?

Prof. Dr. Mohamad Nasir Shafiee: HPV boleh berjangkit melalui hubungan intim walaupun seseorang tidak menunjukkan sebarang simptom. Inilah yang menyebabkan jangkitan ini mudah tersebar tanpa disedari.

Bagi persoalan adakah HPV boleh sembuh, kebanyakan jangkitan HPV akan hilang dengan sendiri apabila sistem imun badan berjaya mengawal virus tersebut. 

Namun jika jangkitan menjadi berpanjangan, ia boleh membawa kepada komplikasi tertentu.

Apakah rawatan HPV lelaki yang biasanya dilakukan?

Prof. Dr. Mohamad Nasir Shafiee: Rawatan HPV lelaki atau wanita biasanya tertumpu kepada pengurusan simptom, seperti merawat ketuat jika ada, serta pemeriksaan lanjut untuk menolak penyakit lain.

Tiada rawatan khusus untuk menghapuskan virus HPV secara terus, tetapi rawatan bertujuan mengurangkan kesan jangkitan dan mencegah komplikasi yang lebih serius.

Kesimpulan

HPV bukan isu wanita semata-mata. Lelaki juga boleh dijangkiti, menjadi pembawa dan mengalami kesan jangkitan tanpa sedar kerana tanda HPV pada lelaki sering tidak ketara. 

Mesej utama daripada Prof Dr. Mohamad Nasir Shafiee ialah pencegahan perlu dilakukan bersama dengan pasangan. 

Perlu diingat bahawa vaksinasi dan saringan memainkan peranan penting dan jangkitan HPV tidak seharusnya dijadikan stigma.


Bio Doktor: Prof. Dr. Mohamad Nasir Shafiee merupakan seorang Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi serta Pakar Perunding Ginekologi Onkologi di Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau terlibat secara aktif dalam rawatan dan pengurusan kes kanser ginekologi, khususnya berkaitan pencegahan dan pengesanan awal kanser serviks. Selain peranan klinikal, beliau juga terlibat dalam pendidikan perubatan dan penyelidikan berkaitan kesihatan wanita, termasuk usaha meningkatkan kesedaran mengenai vaksinasi dan saringan HPV dalam kalangan masyarakat.

[embed-health-tool-ovulation]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Temu bual bersama Prof Dr. Mohamad Nasir Shafiee, Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi serta Pakar Perunding Ginekologi Onkologi di Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 9 Disember 2025.
  2. HPV (Human Papillomavirus). https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/11901-hpv-human-papilloma-virus. Diakses Disember 15, 2025. 
  3. HPV Infection. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/hpv-infection/symptoms-causes/syc-20351596. Diakses Disember 15, 2025.
  4. One In Three Men Worldwide Are Infected With Genital Human Papillomavirus. https://www.who.int/news/item/01-09-2023-one-in-three-men-worldwide-are-infected-with-genital-human-papillomavirus. Diakses Disember 15, 2025.
  5. HPV Facts for Males. https://www.askabouthpv.org/hpv-facts/hpv-facts-for-males. Diakses Disember 15, 2025.

Versi Terbaru

16/01/2026

Ditulis oleh Muhammad Wa'iz

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Diperbaharui oleh: Ahmad Farid


Artikel Berkaitan

Ibu Bapa Perlu Lindungi Anak Sejak Usia Kecil, Ini Fungsi Sebenar Vaksin HPV!

HPV Bukan Perkara Main-main: Ramai Wanita 27-35 Tak Sedar Bahayanya


Disemak secara perubatan oleh

Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada tadi

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan