Pedofilia: Lindungi Anak Anda Dari Pemangsa Kanak-kanak

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 24/06/2020 . 7 minit bacaan
Share now

Bagi kebanyakan individu, zaman kanak-kanak adalah zaman yang paling menyeronokkan. Pelbagai memori dan nostalgia ketika zaman ini yang boleh dicipta dan dikenang apabila tiba hari tua kelak. Namun begitu, mungkin ada kanak-kanak yang tidak dapat mengecapi keseronokan ini kerana terlibat dalam pelbagai masalah kehidupan seperti pernah menjadi mangsa pedofilia.

Pedofilia kini bukan lagi isu yang asing khususnya di negara kita dan juga di seantero dunia. Lihat sahaja akhbar dan berita, pasti akan ada isu mengenai pedofilia diutarakan. Isu ini berlaku di mana-mana tempat dan pada bila-bila sahaja tanpa pengetahuan kita. Bukan niat untuk menyemai rasa sangsi terhadap semua individu, namun kita semua perlu berjaga-jaga.

Apa itu pedofilia?

Pedofilia adalah satu jenis keinginan atau nafsu pelik individu yang melibatkan kanak-kanak. Golongan ini tidak kira lelaki atau wanita dewasa akan cenderung tertarik kepada kanak-kanak secara seksual. Meskipun sekadar melihat tanpa menyentuh kanak-kanak, individu yang tertarik kepada kanak-kanak masih dianggap sebagai seorang pedofilia.  

Apa kata pakar mengenai pedofilia?

Menurut Dr. Blanchard yang merupakan seorang pakar seksologi dari University of Toronto, pedofilia merupakan sejenis gangguan pedophilic iaitu tarikan seksual seseorang individu terhadap kanak-kanak. Beliau juga menyatakan bahawa golongan pedofilia ini cenderung mempunyai nafsu seksual terhadap kanak-kanak yang berusia bawah 13 tahun.

Gangguan pada psikologi ini kemudiannya akan menyebabkan mereka yang menghadapinya akan sering berasa bersalah, terasing, bimbang atau mempunyai kesukaran dalam mengejar matlamat peribadi mereka yang lain.

Menurut kajian yang dilakukan oleh Centers for Disease Control (CDC), 1 daripada 6 kanak-kanak lelaki dan 1 daripada 4 kanak-kanak perempuan pernah dicabul atau didera secara seksual sebelum mencapai usia 18 tahun.

Menurut kajian yang dilakukan oleh US Department of Justice (nsopw.org) pula, 10% daripada pemangsa pedofilia adalah individu yang mangsa tidak kenali. Ingin tahu apa yang lebih menakutkan? 23% daripada pemangsa pedofilia ini adalah juga seorang kanak-kanak!

Persatuan Psikiatari Amerika (APA) pula menyimpulkan bahawa sifat mempunyai nafsu terhadap kanak-kanak atau lebih dikenali sebagai pedofilia adalah sejenis penyakit mental.

Kajian ECPAT International pula mendedahkan bahawa Malaysia kini merupakan salah satu negara pilihan pelancong yang merupakan pemangsa pedofilia. Malangnya, pedofilia masa kini tidak mempunyai sebarang batasan atau sempadan. United Nation dan FBI menganggarkan seramai 750,000 pemangsa pedofilia berada dalam talian maya pada satu-satu masa. Ini menunjukkan bahawa globalisasi dan jangkauan jaringan internet tanpa sempadan membuatkan pemangsa berasa selamat di sebalik peralatan elektronik mereka.

pornografi

Fakta mengenai pedofilia di Malaysia

Sebagai seorang rakyat Malaysia, terdapat beberapa fakta mengenai jenayah seksual pedofilia yang anda perlu tahu menurut Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, iaitu:

Anda tidak boleh terlibat dalam pornografi kanak-kanak

Menurut akta, anda tidak boleh sama sekali terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam pornografi kanak-kanak. Ini tidak kira membuat, mengedar dan juga menontonnya!

Anda tidak boleh melakukan “grooming” dengan kanak-kanak

Selain itu, anda juga tidak boleh melakukan “grooming” dengan kanak-kanak. “Grooming” di sini bermaksud seorang individu dewasa yang cuba membina atau menjalin hubungan emosi dengan seorang kanak-kanak untuk mendapatkan kepercayaan mereka bagi tujuan penderaan dan eksploitasi seksual serta pemerdagangan.

Jika ada individu dewasa yang mengatakan ayat-ayat berbentuk pujukan dan ajakan dengan niat tidak baik kepada kanak-kanak dan kanak-kanak itu termakan umpannya, mereka akan disabit bersalah.

Sebagai contoh, seorang individu dewasa tersebut mungkin menggunakan dialog seperti berikut:

  • “Abang sedang mencari seorang model kanak-kanak. Apa kata adik tanggalkan pakaian dan cuba pakaian fesyen terbaru ini?’’
  • “Abang tinggal seorang diri di rumah malam ini. Apa kata adik datang dan tidur di sini? Banyak permainan yang kita boleh mainkan bersama-sama”.

Serangan seksual adalah berbentuk fizikal dan mental

Anda perlu tahu bahawa serangan seksual terhadap kanak-kanak bukan sahaja berbentuk fizikal malah ia turut melibatkan mental. Berikut merupakan antara perbuatan yang masih dianggap sebagai serangan seksual terhadap kanak-kanak:

  • Segala bentuk gangguan seperti bunyi-bunyian, gerak-geri atau sengaja mendedahkan bahagian tubuh badan untuk tujuan mengganggu kanak-kanak.
  • Mempamerkan tubuh badan (atau sebahagiannya) kepada individu lain.
  • Mengekori, memerhati atau menghubungi kanak-kanak.
  • Menunjukkan atau melibatkan kanak-kanak dalam perlakuan yang berbentuk seksual.

Hukuman yang lebih berat jika anda mengenali kanak-kanak itu

Sebenarnya, ini telah dilakukan oleh banyak negara lain seperti Amerika Syarikat dan Britain. Di sana, pesalah seksual pedofilia terutamanya yang dikenali oleh mangsa seperti ibu bapa, penjaga, jiran atau guru akan menerima hukuman yang lebih berat.

Untuk lebih jelas, pesalah seksual yang mangsa tidak dikenali akan dibicarakan mengikut satu seksyen sahaja manakala pesalah seksual yang mangsa pula akan dibicarakan mengikut dua seksyen. Ini kerana mereka bukan sahaja bersalah melakukan jenayah seksual, mereka juga bersalah kerana telah merosakkan kepercayaan.

Anda boleh dihukum jika tidak melaporkan kes pedofilia

Kini, anda perlu tahu bahawa anda akan dicop bersubahat jika tidak melaporkan kes pedofilia kepada pihak berkuasa seperti polis. Anda perlu tanam dalam hati bahawa aduan anda mungkin akan menyelamatkan masa depan kanak-kanak.

Kes pedofilia yang berlaku di Malaysia

Jika kita lihat pada tahun 2010 hingga 2016, hampir 22,000 kanak-kanak menjadi mangsa keganasan seksual dengan hampir 60% daripadanya adalah kes rogol. Kebanyakan mangsa pula adalah perempuan. Pun begitu, statistik sahaja tidak cukup untuk menggambarkan betapa besar masalah ini di Malaysia.

Menurut statitistik terbaharu yang telah dikeluarkan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Seksual Wanita dan Kanak-Kanak Bukit Aman, kes jenayah seksual berkaitan kanak-kanak telah meningkat sebanyak 20.3% bagi tempoh enam bulan terakhir 2018 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. Statistik ini juga mendapati bahawa terdapat 326 kes dicatatkan pada Julai hingga Disember 2018 berbanding 271 kes dicatatkan pada tempoh sama tahun sebelumnya.

Statistik ini juga mendedahkan daripada 639 kes jenayah seksual kanak-kanak, 73.4 peratus atau 469 kes didalangi oleh individu yang dikenali mangsa. Malah, selain rakan-rakan kenalan, apa yang mengejutkan kelompok kedua pedofilia itu terdiri daripada guru, jiran dan bapa saudara.

Antara kes-kes pedofilia di Malaysia:

Antara kes yang paling menggemparkan media dan juga menggegarkan dunia adalah kes yang berlaku pada tahun 2015, di mana seorang pelajar warganegara Malaysia tajaan JPA, ditangkap di Lapangan Terbang Melbourne, Australia kerana disyaki memiliki koleksi imej eksploitasi kanak-kanak. Pelajar yang bernama Fitri Azmeer Nordin ini kemudiannya disabit bersalah kerana terbukti memang memiliki gambar dan video pornografi kanak-kanak pada simpanannya.

Dalam pada itu, terdapat banyak lagi kes berkenaan jenayah seksual pedofilia yang pernah berlaku dalam negara kita, antaranya:

  • Petaling Jaya, Ogos 2017

Seorang bapa berusia 36 tahun merogol dan meliwat anak perempuannya yang berusia 15 tahun berulang kali sejak tahun 2015. Paling menjijikkan jenayah ini turut dilakukan ketika bulan Ramadan. Lelaki itu berhadapan dengan 594 pertuduhan di mahkamah.

  • Ayer Keroh, Ogos 2017

Seorang lelaki warga emas yang sudah berusia 72 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Ayer Keroh, Melaka di atas tuduhan meliwat cucu saudara perempuannya di antara akhir Julai hingga awal Ogos lalu.

  • Kuantan, Mac 2018

Seorang lelaki “alim’’ yang sering menghulurkan derma kepada sebuah pusat tahfiz sejak 2015 telah didapati melakukan penderaan seksual terhadap 21 pelajar institusi itu yang berusia 10 hingga 17 tahun. Enam daripadanya pula mengaku diliwat.

  • Kajang, November 2018

Seorang bayi malang yang berusia 11 bulan maut ketika mendapat rawatan di hospital akibat diliwat dan dirogol oleh suami pengasuhnya. Pemeriksaan lanjut mendapati bahawa terdapat kesan koyakan pada tisu dubur dan kemaluan mangsa.

  • Kuala Lumpur, Disember 2018

Seorang bapa kejam yang berusia 37 tahun didapati bersalah merogol anak kandung perempuannya sendiri yang berusia 10 tahun sejak tahun 2017 dalam kejadian yang berlaku di Taman Changkat Permata, Ampang.

Kes Nurin Jazlin

Bukan sahaja itu, ada lagi beberapa kes yang sangat mendapat perhatian media seperti kes kanak-kanak perempuan yang bernama Nurin Jazlin. Pada tahun 2007, seluruh Malaysia gempar dan sedih dengan berita penemuan seorang kanak-kanak perempuan yang ditemui maut dalam keadaan yang menyayat hati.

Hasil bedah siasat mendapati bahawa pembunuh yang tidak berhati perut itu telah memasukkan timun dan terung ke dalam kemaluan mangsa lalu menyebabkan rektum mangsa pecah sehingga dijangkiti bakteria. Jangkitan ini merupakan antara punca utama kematian tragis kanak-kanak yang tidak berdosa ini.

Apa yang boleh dilakukan?

Kanak-kanak merupakan individu masih lagi suci ibarat kain putih dan mereka tidak akan pernah mengesyaki atau bersangka buruk terhadap individu lain. Jadi, anda sebagai ibu bapa perlu membantu mereka untuk lebih berhati-hati daripada pemangsa kanak-kanak.

Paling penting, anda perlu ajar anak anda perkara-perkara berikut:

#1. Ajar anak mengenali tubuh badan seawal usia mereka

Pertama sekali, anda perlu ajar anak mengenali tubuh badan mereka. Ajar mereka nama sebenar bahagian tubuh badan dan bukannya nama yang terlalu umum seperti “bawah”, “atas”, “depan” atau “belakang”. Ini hanya akan menyusahkan anda sebagai ibu bapa untuk bertanya kepada anak anda jika sesuatu yang buruk berlaku kemudian hari.

#2. Ajar anak bahagian tubuh badan yang peribadi

Selain itu, anda perlu ajar anak bahawa terdapat bahagian tubuh badan mereka yang sangat peribadi terutamanya alat kemaluan mereka. Beritahu anak anda bahawa mereka tidak boleh mendedahkan tubuh badan mereka kepada individu lain selain anda, ibu bapa mereka.

#3. Ajar anak bahawa tiada siapa boleh merakam imej tubuh badan mereka

Anda juga perlu ajar anak anda bahawa bukan sahaja perbuatan melihat, perbuatan merakam imej tubuh badan mereka juga adalah sesuatu yang salah. Ini kerana pemangsa pedofilia yang berbahaya ini ada di mana-mana dan gambar anak anda berisiko tersebar sesama mereka.

#4. Ajar anak berkenaan sempadan sentuhan

Dalam pada itu, ajar anak anda untuk menetapkan sempadan sentuhan kulit ke kulit. Mereka perlu tahu bahawa tiada individu yang boleh menentuh, memegang atau meramas tubuh badan mereka. Ini sangat penting untuk mengelak pemangsa pedofilia memulakan langkahnya.

#5. Ajar anak untuk tidak berahsia dengan anda

Ya, kadangkala memang agak sukar untuk memperoleh jawapan daripada anak anda mengenai sesuatu. Namun begitu, ia masih perlu dilakukan. Ajar anak anda dari kecil bahawa berahsia kadangkala akan memberi padah kepada mereka. Ini kerana pemangsa pedofilia gemar memujuk, memaksa atau mengugut mangsa untuk tidak memberitahu sesiapa mengenai perlakuan keji dan jijik mereka itu.

#6. Ajar anak cara untuk lari dari situasi kecemasan

Akhir sekali, ajar anak anda untuk berkata “tidak” atau “jangan”. Ajar anak anda untuk tolak sebarang ajakan atau pelawaan individu yang tidak dikenali untuk melakukan sesuatu. Jika keadaan terlalu mendesak, ajar anak untuk menjerit sekuat hati dan cuba untuk lari dari situ. Ini menunjukkan bahawa seni pertahanan diri mungkin agak penting untuk menghadapi situasi sebegini.

Konklusi

Konklusinya, selain ibu bapa, pihak kerajaan dan semua pihak berwajib juga perlu bekerjasama menggembleng tenaga untuk menyelesaikan isu pedofilia yang semakin membimbangkan ini. Kemasukan pekerja atau pelajar asing ke dalam negara kita perlu dihadkan terutamanya yang mempunyai rekod jenayah. Jika boleh, tapis kesemua mereka ini berlandaskan pelbagai jenis ujian yang melibatkan mental dan fizikal. Masyarakat juga perlu lebih peka dan giat dalam mengesan dan melapor segala gejala sumbang dan bahaya yang melibatkan pedofilia. Dalam erti kata yang lain, semua pihak mempunyai peranan mereka yang tersendiri untuk memerangi pedofilia.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Adakah artikel ini membantu anda?
happy unhappy
Rujukan

Baca juga:

    Anda mungkin berminat dengan artikel berikut

    Betul Ke Alat Pencegah Kehamilan IUD Boleh Terkeluar Kalau Lakukan SEKS KASAR?

    "IUD boleh terkeluar kalau 'main' ganas sangat? Takutnya!" Sejauh mana kebenaran kenyataan berkaitan alat pencegah kehamilan ini? Jom baca!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Nisreen Nadiah
    Gaya Hidup Sihat, Kesihatan Seksual 11/01/2021 . 3 minit bacaan

    Hubungan Di Ranjang Terjejas, Ini 5 Penyakit Kronik Yang Boleh Buat Suami Mati Pucuk

    Mati pucuk sememangnya masalah yang lazim dialami oleh kaum lelaki. Namun oleh sebab ia dianggap memalukan, hanya segelintir yang berjumpa doktor.

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli
    Gaya Hidup Sihat, Kesihatan Lelaki 07/01/2021 . 3 minit bacaan

    WOW! Percaya Atau Tidak, Ada Satu Jenis Diet Yang Boleh Bantu Kita Lawan Depresi!

    Ya, mungkin ramai sudah tahu akan manfaat diet mediterranean. Namun tahukah anda ia juga bagus untuk bantu lawan depresi? Jom klik artikel ini!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Ahmad Farid
    Gaya Hidup Sihat, Pemakanan Sihat 07/01/2021 . 3 minit bacaan

    Selain Lemah Orgasme, Lelaki Kurang Hormon Seks Juga Selalu Murung! Check Tanda Ini Cepat

    Kekurangan androgen adalah ketika tubuh mempunyai tahap hormon seks lelaki yang lebih rendah berbanding yang diperlukan, terutamanya testosteron.

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Nisreen Nadiah
    Gaya Hidup Sihat, Kesihatan Lelaki 05/01/2021 . 3 minit bacaan

    Artikel lain untuk anda

    kesihatan mental

    PTSD Bukan Hanya Sebab Perang! Ini Cara Kenalpasti Anda Menghidap PTSD & Cara Atasinya

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Asyikin Md Isa
    Diterbitkan pada 15/01/2021 . 3 minit bacaan
    lelaki macho

    Nak Jadi Lelaki Macho? Fikir Elok-Elok! Ini 5 Sebab Kenapa Sikap Macho Boleh Undang Padah

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli
    Diterbitkan pada 13/01/2021 . 3 minit bacaan
    tahap stres

    Ini 7 Kesan Stres Terhadap Tahap Kesihatan Kaum Adam, Salah Satunya Lelaki Stres TAK TAMPAN

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli
    Diterbitkan pada 12/01/2021 . 3 minit bacaan
    kekuatan mental

    Nak Mental Kuat Ada Caranya! Ikut 5 Langkah Ini, Termasuk Mandi Air Sejuk Waktu Pagi!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Nisreen Nadiah
    Diterbitkan pada 12/01/2021 . 3 minit bacaan