Rasa malu dan bersalah
Ini berlaku kerana persepsi masyarakat yang sering menyalahkan mangsa, walaupun anda tidak melakukan sebarang kesalahan, anda tetap merasa bersalah. Walaupun anda menyedari bahawa ia bukan kesalahan anda, anda mungkin berasakan bahawa ia bermula dari kesilapan anda.
Apabila anda diserang secara seksual, anda telah terpaksa melakukan perkara yang anda tidak mahu dan tidak akan lakukan. Anda mungkin berasa diri anda kotor dan menjijikan. Anda mungkin berasa anda telah memberi peluang kepada penyerang untuk melakukan serangan dan gangguan seksual kepada anda, dan anda membiarkan ianya terjadi.
Perasaan ini telah membuatkan anda memilih untuk berdiam diri. Anda tidak akan melaporkan kepada polis, jadi ia membolehkan penyerang meneruskan aktiviti jenayah yang dilakukan tanpa sebarang hukuman.
Kemarahan
Hakikatnya anda adalah mangsa dan anda diserang. Kemarahan merupakan satu tindak balas normal terhadap apa yang anda lalui.
Anda mungkin merasa marah dengan penyerang, dengan diri anda yang membiarkan perkara ini berlaku, atau kepada individu yang ingin membantu anda. Ada masanya, kemarahan yang dilalui boleh membawa kepada tindakan jenayah seperti membunuh penyerang.
Hilang kawalan
Anda pasti tidak pernah terfikir serangan ini boleh berlaku kepada anda. Tetapi ia telah berlaku. Dan anda kehilangan keyakinan diri. Anda pasti terfikir bahawa anda tidak berguna, tidak berkuasa dan tidak dapat mengawal hidup anda kerana membiarkan serangan berlaku.