home

What are your concerns?

close
Inaccurate
Hard to understand
Other

Ibu Bapa Perlu Tahu Bahawa Budaya Sharenting Adalah Bahaya!

Ibu Bapa Perlu Tahu Bahawa Budaya Sharenting Adalah Bahaya!

Buka sahaja media sosial, pasti akan ada banyak gambar atau video yang dimuatnaik oleh ibu bapa untuk menunjukkan pencapaian anak-anak mereka. Perbuatan ini dinamakan sebagai “sharenting”. Adakah mereka melakukan ini dengan niat untuk berlagak atau sekadar ingin berkongsi? Selain itu, apakah risikonya? Sila ikuti artikel ini dengan lebih lanjut.

Sebuah kajian bersama berkaitan “sharenting” telah dilakukan oleh Marie Grubbs Hoy yang merupakan profesor di College of Communication and Information dan Alexa K. Fox yang merupakan pembantu profesor di University of Akron. Hasil kajian ini menunjukkan bahawa masih ada ibu bapa yang mungkin belum menyedari akan bahaya perbuatan ini.

Kajian menggunakan platform media sosial

Hoy dan Fox menggunakan data daripada laman media sosial syarikat Carter’s Inc iaitu sebuah syarikat pakaian kanak-kanak. Kajian ini dilakukan bertujuan untuk mengetahui sejauhmanakah pasangan ibu bapa terutamanya yang masih baru sanggup berkongsi informasi peribadi anak-anak mereka jika ia melibatkan bisnes.

Untuk pengetahuan anda, ada syarikat yang akan menggunakan media sosial sebagai salah satu daripada teknik pemasaran mereka. Sebagai contoh, mereka mungkin akan membuat satu peraduan yang meminta ibu bapa untuk berkongsi cerita, gambar atau video berkenaan anak mereka kepada syarikat.

Data ini menyediakan peluang untuk pengkaji melihat bagaimana sesuatu jenama itu menggunakan media sosial untuk memperdaya ibu kepada kanak-kanak yang masih muda untuk berkongsi informasi peribadi anak mereka.

Data ini melibatkan 116 peserta wanita yang kesemuanya adalah ibu. Pada awalnya, syarikat ini telah siap menyatakan bahawa pihak syarikat akan mempunyai hak terhadap kesemua informasi yang diberikan dan boleh dikongsikan kepada sesiapa sahaja tanpa persetujuan.

Syarikat ini bertanya 10 soalan dan akan menawarkan kupon serta memberikan pautan di media sosial mereka. Jika ada ibu bapa yang berkongsi gambar anak mereka, pihak syarikat akan memancing mereka dengan meninggalkan komen seperti “kami ingin berjumpa dengan si kecil anda ini satu hari nanti”.

Hasil kajian ini menunjukkan bahawa 69 peratus daripada peserta kajian ini memberi komen bahawa mereka agak bimbang dengan keselamatan anak mereka. Manakala 47 peratus pula sewenang-wenangnya mendedahkan informasi peribadi anak mereka hanya selepas satu soalan sahaja.

Dalam erti kata yang lain, kurang daripada separuh peserta kajian ini terpedaya dengan kaedah pemasaran ini manakala majoriti daripada peserta sedar akan bahaya yang mungkin menimpa anak mereka sekiranya informasi peribadi mereka terdedah di atas talian.

Budaya yang bahaya!

Menurut Hoy dan Fox, keterujaan mereka dalam mempamerkan pencapaian anak di dalam media sosial adalah perbuatan yang salah. Ini lebih-lebih lagi jika mereka turut menulis informasi peribadi anak seperti nama, hari lahir, alamat tempat atau foto. Kini, kesilapan seperti ini tidak lagi dianggap sebagai kesilapan kerana sudah menjadi norma sosial masyarakat kita. Namun apa yang kita mungkin tidak sedar adalah ia akan mendedahkan privasi anak anda dan mungkin akan menyebabkan mereka berada dalam keadaan bahaya!

Mereka turut mencadangkan ibu bapa yang masih baru perlu diajar tentang akibat kepada perbuatan mereka itu. Selain itu, mereka turut percaya bahawa pihak kerajaan sebenarnya perlu membantu dalam melindungi privasi kanak-kanak secara atas talian.

Ibu bapa hari ini terutamanya yang masih baru dan membesar dengan cara berkongsi hidup mereka di media sosial mungkin tidak akan begitu memahami impak dan kesan jangka masa panjang terhadap pendedahan informasi peribadi anak-anak mereka.

Hakikatnya, berkongsi informasi peribadi anak di media sosial sememangnya akan mengundang bahaya kepada mereka. Ini akan mendatangkan pelbagai kesan negatif dan yang paling penting antaranya adalah salahguna informasi tersebut. Informasi anak anda mungkin akan dicuri dan disunting atau disimpan oleh golongan pedofilia serta pelbagai lagi pemangsa atas talian yang lain.

Konklusinya, apa yang ibu bapa perlu tahu adalah budaya “sharenting” ini sebenarnya adalah sangat berbahaya terutamanya kepada anak anda. Jadi, ambil langkah berjaga-jaga setiap kali anda ingin berkongsi sesuatu di dalam media sosial tidak kira berkaitan apa-apa sekalipun untuk mengelakkan sesuatu yang tidak diingini berlaku!

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Baca juga:

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan

New Moms May Be Vulnerable To ‘sharenting’. https://www.sciencedaily.com/releases/2019/07/190723121900.htm. Accessed on August 2019.

Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Ahmad Farid Disemak pada 15/06/2020
Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan