backup og meta

WHO Perkenalkan Garis Panduan Baru Menguruskan Keadaan Kesihatan Fizikal Dalam Kalangan Penghidap Penyakit Mental Serius

WHO Perkenalkan Garis Panduan Baru Menguruskan Keadaan Kesihatan Fizikal Dalam Kalangan Penghidap Penyakit Mental Serius

Mereka yang menghidap gangguan keadaan kesihatan mental (depresi sederhana ke teruk, gangguan bipolar, skizofrenia dan gangguan psikotik lain) secara amnya mempunyai jangkaan hayat 10 hingga 20 tahun lebih rendah daripada orang awam. Kematian awal ini majoritinya disebabkan oleh keadaan kesihatan fizikal. Akses kepada khidmat penjagaan kesihatan komprehensif yang menawarkan pembudayaan kesihatan, ujian saringan, serta rawatan penyakit fizikal dan mental masih berada di luar capaian kebanyakan mereka yang menghidap penyakit mental serius. Bagi yang mendapat akses tersebut, penjagaan kesihatan yang diterima kerap kali berkualiti rendah dan masalah fizikal sering tidak mendapat perhatian sewajarnya.

Bagi mengatasi masalah ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) buat pertama kali memperkenalkan garis panduan menguruskan keadaan kesihatan fizikal  dalam kalangan penghidap penyakit mental serius berdasarkan bukti dan kajian saintifik.

Garis panduan tersebut boleh dirujuk di sini.

Garis panduan merangkumi perubahan gaya hidup, sokongan psikososial dan ubat-ubatan

Garis panduan ini termasuk anjuran untuk merawat pesakit mental serius yang menghidap penyakit jantung, diabetes, HIV/AIDS, tuberkulosis, hepatitis C dan B, mereka yang mempunyai ketagihan merokok, penyalahgunaan alkohol dan dadah serta terlebih berat badan.

Ia berkait dengan perubahan gaya hidup seperti diet yang lebih sihat, meningkatkan aktiviti fizikal, dan berhenti merokok; sokongan psikososial; dan ubat-ubatan dengan mengambil kira tindak balas yang mungkin berlaku antara ubat yang dipreskrip untuk penyakit mental dan fizikal.

Menjadi rujukan staf kesihatan

Garis panduan ini dibuat dengan tujuan utama digunakan oleh staf kesihatan yang menyediakan khidmat kepada pesakit mental di semua peringkat (klinik biasa, hospital, dan klinik pakar). Ia juga mungkin berguna bagi penggubal dasar, pesakit mental, dan ahli keluarga.

Perubahan di peringkat individu, isu sistem kesihatan, dan konteks sosial

Garis panduan ini turut mencadangkan program untuk meningkatkan kesihatan penghidap penyakit mental serius dan memanjangkan kelangsungan hidup mereka melalui perubahan di peringkat penjagaan diri individu, sistem kesihatan, serta langkah yang boleh diambil di peringkat komuniti. Latihan bagi staf kesihatan, bekalan ubat yang sepatutnya, dan adaptasi sistem informasi kesihatan untuk mengumpul data mengenai kualiti servis perlu diperkasakan jika masih belum dijalankan secara menyeluruh dan efektif.

Di peringkat individu, faktor risiko yang menyumbang kepada penyakit fizikal (seperti merokok, pemakanan tidak sihat, dan kurang aktiviti fizikal) dan keadaan kesihatan fizikal perlu dikenal pasti dan dirawat.

Di peringkat sistem kesihatan, staf kesihatan penyakit mental perlu mempunyai kemampuan untuk memberikan nasihat dan merawat keadaan kesihatan fizikal pesakit. Doktor psikiatri pula harus mampu mengendalikan keperluan mereka yang menghidap penyakit mental serius.

Dalam konteks sosial yang lebih luas, strategi yang melibatkan komuniti yang lebih luas seperti sokongan rakan dan keluarga serta program menghapuskan stigma perlu diambil kira.

Bagi menilai impak dan keberkesanan garis panduan ini serta mengenal pasti ruang yang memerlukan penambahbaikan, WHO akan mengumpul maklum balas berkala daripada kementeria kesihatan seluruh negara.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

WHO Guidelines: Management of Physical Health Conditions in Adult with Severe Mental Disorders – http://www.who.int/mental_health/evidence/guidelines_severe_mental_disorders_web_note_2018/en/

Versi Terbaru

28/11/2019

Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim

Fakta Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Diperbaharui oleh: Ahmad Farid


Artikel Berkaitan

Kenapa Saya Selalu Ketawa & Menangis Tanpa Sebab? Kenali Penyakit 'Joker'!

Gangguan Seksual Di Tempat Kerja, Ini 4 Langkah Penting Untuk Mengelakkannya!


Fakta Disemak oleh

Hello Doktor Medical Panel


Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 28/11/2019

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan