backup og meta

Ini 7 Mitos Tentang Vaksin Kanak-kanak, No. 3 Paling Ramai Orang Percaya!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 21/06/2022

    Ini 7 Mitos Tentang Vaksin Kanak-kanak, No. 3 Paling Ramai Orang Percaya!

    Pada masa ini terdapat pelbagai mitos yang boleh kita dengar mengenai vaksinasi sehinggakan ia menyebabkan wujud keraguan mengenai fungsi vaksin dalam mencegah penyakit. Ayuh kita bongkar 7 mitos vaksin kanak-kanak ini.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.

    Mitos vaksin kanak-kanak

    Vaksin atau suntikan imunisasi adalah satu cara paling penting untuk memastikan anak sihat. Perlu diketahui bahawa vaksin adalah selamat.

    Berikut antara mitos dan fakta umum mengenai vaksinasi yang patut anda ketahui:

    Mitos #1: Sistem imun bayi tidak mampu tampung banyak vaksinasi

    Sistem imun bayi lebih kuat daripada yang disangkakan. Berdasarkan bilangan antibodi yang terdapat dalam darah, bayi secara teorinya mempunyai keupayaan untuk bertindak balas terhadap sekitar 10,000 vaksin pada 1 masa.

    Sekiranya semua vaksin yang dijadualkan untuk anak diberikan secara serentak, ia hanya menggunakan lebih sedikit daripada 0.1% kapasiti imun bayi.

    Saintis percaya kapasiti ini adalah secara teori semata-mata. Ini kerana sistem imun mempunyai kitaran tersendiri – maka tidak wujud soal tekanan vaksin.

    mitos vaksin

    Mitos vaksin #2: Suntikan imunisasi punca jangkitan penyakit kepada anak

    Vaksin boleh menyebabkan gejala ringan menyerupai penyakit yang ingin dicegah, sekali gus menimbulkan salah faham kononnya ia adalah tanda jangkitan.

    Dianggarkan dalam peratusan kecil – kurang daripada 1 dalam sejuta kes – di mana gejala berkembang kerana penerima vaksin mengalami tindak balas imun tubuh terhadap vaksin dan bukannya penyakit itu sendiri. 

    Mitos vaksin #3: Vaksinasi menyebabkan autisme

    Ketakutan meluas bahawa vaksin meningkatkan risiko autisme berpunca daripada kajian yang diterbitkan oleh Andrew Wakefield, seorang pakar bedah British pada tahun 1997.

    Ini kerana kajian tersebut mencadangkan bahawa vaksin MMR – campak, beguk, rubella – meningkatkan risiko autisme pada kanak-kanak British.

    Penulisan kajian tersebut ditolak sepenuhnya kerana kesilapan prosedur yang serius, konflik kepentingan kewangan yang tidak didedahkan dan pelanggaran etika. Justeru, lesen perubatan Andrew ditarik semula.

    Terdapat juga beberapa penyelidikan utama lain yang dijalankan berdasarkan hipotesis kajian Andrew. Pun begitu, tiada hasil penyelidikan yang menemui kajian antara vaksin dan kemungkinan mengembangkan autisme

    mitos vaksin

    Mitos #4: Anak tidak perlukan imunisasi jika sudah ramai menerimanya

    Mendapatkan suntikan vaksin adalah seperti pemakaian pelitup muka pada era endemik COVID-19 ini – ia bukan sahaja melindungi diri tetapi juga komuniti anda.

    Mitos vaksin bahawa anda boleh bergantung kepada tindakan ibu bapa lain untuk melindungi anak yang tidak divaksinasi hanya berkesan jika semua kanak-kanak diberikan vaksin.

    Sebaliknya, jika ramai ibu bapa mempunyai sikap yang sama seperti ini, semakin meningkat jumlah kanak-kanak tidak divaksin dan penyakit akan mula merebak dengan cepat. 

    Fungsi vaksin dalam mencegah penyakit yang boleh merebak melalui individu ke individu. Apabila seseorang dalam sebuah komuniti mendapat penyakit itu, ia boleh merebak dengan mudah kepada individu lain.

    Dalam erti kata mudah, semakin ramai yang diberikan suntikan vaksinasi, peluang untuk penularan penyakit adalah nipis.

    Apabila bercakap mengenai penyakit tetanus, walaupun ada individu yang divaksin, ia tidak memberi perbezaan keselamatan kepada anak. Ini kerana tetanus boleh berlaku apabila bakteria daripada tanah menjangkiti luka.

    Baca juga:

    Mitos vaksin #5:  Vaksinasi mengandungi toksin berbahaya

    Memang benar bahawa vaksin mengandungi sejumlah kecil formaldehid, merkuri dan aluminium.

    Walaupun kedengaran menakutkan, tetapi bahan-bahan ini sebenarnya menjadikan vaksin lebih selamat, disteril atau membolehkan ia lebih berkesan.

    Secara amnya bahan-bahan tersebut hanya akan menjadi toksik apabila terdapat dalam jumlah yang sangat banyak – amat berbeza dengan jumlahnya di dalam vaksin.

    Mitos #6: Penyusuan ibu dapat melindungi anak daripada jangkitan

    Ia tidak benar sama sekali. Ini kerana penyusuan susu ibu bukanlah pengganti kepada suntikan imunisasi.

    Susu badan memberikan sedikit perlindungan terhadap jangkitan tertentu, terutamanya jangkitan saluran pernafasan, jangkitan telinga dan cirit-birit.

    Tetapi perlindungan ini tidak lengkap, bersifat sementara dan tidak boleh diatasi jika bayi terdedah kepada jumlah kuman yang besar.

    mitos vaksin

    Mitos vaksin #7: Anak tidak divaksin, tak beri kesan kepada yang lain

    Malangnya kepercayaan ini adalah tidak benar sama sekali.

    Ironinya, terdapat sesetengah ibu bapa yang tidak memberikan anak suntikan imunisasi kerana keberkesanan vaksin sehingga menjadikan penyakit yang pernah membunuh ribuan kanak-kanak dahulu, jarang berlaku pada masa kini.

    Tetapi pakar menyatakan wabak campak dan beguk digambarkan sebagai konsep herd immunity.

    Imuniti kelompok bermaksud keadaan penularan jangkitan penyakit tidak dapat berlaku kerana sebahagian besar masyarakat mempunyai imuniti atau daya tahan terhadap penyebab jangkitan penyakit tersebut.

    Fungsi vaksin dalam mencegah penyakit

    Vaksin adalah antara tonggak besar perubatan moden.

    Kehidupan sebelum wujudnya vaksin boleh dianggap amat menggerunkan dengan sebahagian besar kanak-kanak mati disebabkan oleh penyakit berbahaya seperti campak, cacar, batuk kokol atau rubella.

    Kini penyakit-penyakit tersebut dapat dicegah sepenuhnya dengan suntikan imunisasi.

    Oleh itu, dengan memastikan anak-anak anda mendapat suntikan vaksinasi adalah penting agar sejarah dahulu tidak akan berulang kembali.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 21/06/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan