backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan
Senarai kandungan

Ingin Semak Tarikh Vaksin? Ini Info Lengkap Imunisasi Di Malaysia

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 21/06/2022

Ingin Semak Tarikh Vaksin? Ini Info Lengkap Imunisasi Di Malaysia

Umumnya, terdapat pelbagai jenis vaksin di Malaysia. Tetapi bila waktu sesuai untuk mendapatkan suntikan imunisasi? Ayuh lakukan semakan vaksin yang perlu diambil bayi, kanak-kanak dan juga individu dewasa dalam perkongsian artikel ini.

Dapatkan lebih banyak info tentang Penyakit Berjangkit, dapatkan di sini.

Keperluan vaksin

Mengapa perlu semakan vaksin dan imunisasi?

Sistem imun badan membantu melindungi daripada patogen punca jangkitan. Ia merupakan sistem cekap dalam menghalang mikroorganisma masuk atau menyingkirkannya daripada tubuh.

Namun, terdapat patogen yang boleh mengatasi sistem imun. Jika ia berlaku, boleh menyebabkan penyakit yang serius. Patogen yang ‘tidak dikenali’ badan selalunya akan menjadi punca masalah. 

Mendapatkan suntikan vaksinasi adalah cara untuk ‘mengajar’ sistem imun mengenali dan menghapuskan organisma. Dengan kaedah ini, tubuh bersedia sekiranya anda terdedah kepada sebarang patogen berbahaya.

Vaksinasi adalah 1 bentuk pencegahan utama yang penting kerana ia boleh melindungi individu daripada jatuh sakit. 

Suntikan vaksin bukan sahaja melindungi individu tetapi masyarakat secara keseluruhannya. Ia berlaku melalui imuniti berkelompok. 

Fungsi vaksinasi

Sebelum lakukan semakan vaksin, fahami dahulu fungsinya

Sistem imun yang sihat melindungi daripada penceroboh. Ia terdiri daripada beberapa jenis sel. Sel-sel ini akan melindungi dan menyingkirkan patogen berbahaya. 

Melalui senarai semakan vaksin dan suntikannya, ia mengajar tubuh mengenali penyakit baru. Ia merangsang badan untuk menghasilkan antibodi terhadap antigen patogen.

Dengan vaksin, ia turut memberi keutamaan kepada sel imun untuk mengingati jenis antigen punca jangkitan, sekali gus membolehkan tindak balas lebih cepat terhadap penyakit tertentu pada masa hadapan.

Vaksin berfungsi dengan mendedahkan anda kepada versi penyakit yang selamat, seperti dalam bentuk:

  • Protein atau gula daripada solekan patogen (makeup of a pathogen)
  • Bentuk patogen yang mati atau tidak aktif
  • Toksoid yang mengandungi toksin daripada patogen
  • Patogen yang lemah

Apabila badan bertindak balas terhadap vaksin, ia membina tindak balas imun adaptif. Ini membantu melengkapkan tubuh untuk melawan jangkitan sebenar.

2 bahagian dalam suntikan vaksin

Vaksin biasanya diberikan melalui suntikan yang mengandungi 2 bahagian:

  1. Antigen – Penyakit yang mesti dipelajari tubuh.
  2. Adjuvant – Menghantar isyarat kepada tubuh. Ia membantu sistem imun bertindak balas dengan lebih kuat terhadap antigen sebagai jangkitan, seterusnya membantu mengembangkan imuniti.

semakan vaksin

Imuniti berkelompok

Apakah itu imuniti berkelompok atau herd immunity?

Sebelum anda mengetahui senarai semakan vaksin perlu diambil, apa kata kita fahami dahulu mengenai imuniti berkelompok.

Turut dikenali sebagai imuniti komuniti, ia adalah apabila sebahagian besar masyarakat sesuatu kawasan KEBAL terhadap penyakit tertentu, sekali gus menjadikan penyebaran penyakit itu dari individu ke individu tidak mungkin terjadi.

Malah individu yang tidak divaksin seperti bayi baru lahir turut dilindungi kerana penyakit tersebut mempunyai peluang tipis untuk merebak dalam masyarakat. Apabila kadar jangkitan menurun, masalah penyakit tersebut akan mereda.

Imuniti berkelompok ini melindungi populasi yang berisiko mendapat jangkitan seperti bayi. Sekiranya peratusan tinggi individu mendapat suntikan vaksin terhadap penyakit berbahaya, mereka yang berisiko dan tidak boleh diberikan vaksin akan dilindungi.

Cara mencapai imuniti berkelompok

Berlaku dengan 2 cara:

1. Anda membangunkan rintangan secara semula jadi. Berlaku apabila tubuh terdedah kepada virus atau bakteria, ia menghasilkan antibodi untuk melawan jangkitan.

Selepas pulih, tubuh akan menyimpan antibodi ini dan dapat bertahan daripada jangkitan lain.

2. Mengetahui senarai semakan vaksin dan mendapatkan suntikan juga membantu membina daya tahan dengan membuatkan tubuh ‘berfikir’ virus atau bakteria telah menjangkitinya.

Anda tidak jatuh sakit, tetapi sistem imun masih menghasilkan antibodi pelindung. Jika dijangkiti virus tersebut, sistem imun bersedia untuk melawannya.

Jenis vaksin di Malaysia

Lakukan semakan vaksin di Malaysia dan ketahui jenis serta penyakit yang dicegahnya

Setiap satu vaksin bertujuan menghalang jangkitan penyakit tertentu. Ayuh kita buat semakan vaksin yang perlu diambil, dos serta penyakit yang dicegahnya.

#1. Vaksin BCG (Bacillus Calmette-Guerin)

Vaksin BCG berfungsi memberikan perlindungan atau imuniti kepada tubuh daripada penyakit tuberkulosis atau biasa disebut sebagai batuk kering.

Bayi: Bayi baru lahir akan disuntik dengan vaksin BCG ini selepas kelahiran.

#2. Vaksin Hepatitis B, ada dalam senarai semak vaksin

Vaksin ini disuntik bagi melindungi tubuh daripada serangan dan jangkitan penyakit Hepatitis B.

Hepatitis B adalah sejenis penyakit hati yang boleh menyebabkan kesakitan yang bersifat ringan selama beberapa minggu, atau boleh menyebabkan kesakitan yang lebih serius dan berpanjangan.

Bayi: Untuk bayi, suntikan Hepatitis B ini diberikan sebanyak 3 kali.

imunisasi bayi

  • Dos pertama diberikan saat bayi dilahirkan
  • Dos kedua pula pada bulan pertama kelahiran
  • Manakala dos ketiga pula diberikan pada bulan ke-6 kelahiran

Dewasa: 3 dos suntikan disarankan untuk diambil.

  • Dos pertama pada tarikh yang dipilih
  • Dos kedua pula selepas tempoh sebulan daripada itu
  • Dos ketiga- selepas 6 bulan daripada tarikh dos pertama

#3. Vaksin DTap (Difteria, Tetanus & Pertussis)

Vaksinasi DTap yang turut berada dalam senarai semakan vaksin ini melindungi seseorang individu daripada serangan penyakit difteria, tetanus dan juga pertussis.

Difteria boleh menyebabkan masalah pernafasan, kelumpuhan dan juga kegagalan fungsi jantung.

Tetanus pula boleh menyebabkan kesakitan melampau yang berlaku pada otot dan menyebabkan rahang anda seolah-olah terkunci. Anda tidak boleh membuka atau menutup mulut jika ia berlaku.

Manakala pertussis pula adalah nama lain bagi penyakit batuk kokol.

Bayi: 3 suntikan dan ada suntikan tambahan.

  • Suntikan pertama diberikan pada bulan ke-2 kelahiran
  • Suntikan kedua diberikan pada bulan ke-3 kelahiran
  • Suntikan ketiga pada bulan ke-5 kelahiran
  • 1 suntikan tambahan boleh diberikan pada bulan ke-18 kelahiran
  • Kanak-kanak yang berusia 7 tahun dan remaja berumur 15 tahun juga akan diberikan suntikan tambahan bagi vaksin difteria dan tetanus

Dewasa: Individu dewasa disarankan untuk mengambil suntikan ini bagi setiap 10 tahun. Kebiasaannya, suntikan ini ditawarkan dalam bentuk pakej bersama vaksin HiB, Polio dan Hepatitis B. 

Semak vaksin #4. Vaksin HiB

HiB atau Haemophilus influenzae B boleh menyebabkan pelbagai jenis jangkitan dan ia biasanya menjejaskan kanak-kanak yang berumur 5 tahun ke bawah.

HiB boleh menyebabkan jangkitan seperti jangkitan telinga dan bronkitis.

Bayi: 3 suntikan dan ada suntikan tambahan.

  • Suntikan pertama diberikan pada bulan ke-2 kelahiran
  • Suntikan kedua diberikan pada bulan ke-3 kelahiran
  • Suntikan ketiga pada bulan ke-5 kelahiran
  • 1 suntikan tambahan boleh diberikan pada bulan ke-18 kelahiran

semakan vaksin

#5. Vaksin Polio, antara jenis vaksin di Malaysia perlu untuk bayi

Vaksin ini berfungsi melindungi seseorang individu itu daripada mendapat penyakit polio yang disebabkan oleh virus.

Polio boleh menyebabkan kelumpuhan kekal dan juga kematian kerana ia melumpuhkan otot yang digunakan untuk bernafas.

Bayi: 3 suntikan dan ada suntikan tambahan.

  • Suntikan pertama diberikan pada bulan ke-2 kelahiran
  • Suntikan kedua diberikan pada bulan ke-3 kelahiran
  • Suntikan ketiga pada bulan ke-5 kelahiran
  • 1 suntikan tambahan boleh diberikan pada bulan ke-18 kelahiran
  • #6. Vaksin MMR (Measles, Mumps & Rubella)

    Vaksin MMR merupakan salah satu senarai semakan vaksin. Ia memberikan perlindungan daripada 3 jenis penyakit iaitu campak, beguk dan juga Rubella.

    Campak boleh menyebabkan jangkitan telinga, cirit-birit dan jangkitan kuman pada paru-paru.

    Beguk pula boleh menyebabkan pekak, meningitis, dan pembengkakan yang menyakitkan pada testikel dan ovari.

    Rubella pula boleh menyebabkan arthritis dalam kalangan orang perempuan.

    Semakan vaksin untuk bayi: 3 suntikan dan ada suntikan tambahan.

    • Dos pertama pada bulan ke-9 kelahiran
    • Dos kedua pada bulan ke-12 kelahiran. (Untuk bayi yang lahir di Negeri Sabah, suntikan campak akan diberikan pada bulan ke-6 kelahiran)
    • Kanak-kanak yang berusia 7 tahun juga akan diberikan 1 lagi dos tambahan bagi vaksin campak dan Rubella

    Dewasa: Mereka yang berusia antara 18 hingga 24 tahun disarankan untuk mengambil suntikan ini dengan 1 atau 2 suntikan yang diberikan selang sebulan.

    imunisasi

    #7. Semakan vaksin HPV untuk remaja perempuan

    Suntikan HPV  turut berada dalam senarai semakan vaksin. Ia diberikan bagi mengekang jangkitan virus HPV yang boleh menyebabkan pelbagai jenis kanser.

    Antara kanser yang boleh berlaku disebabkan oleh virus HPV adalah kanser serviks, kanser vulvar dan faraj, kanser dubur, kanser tekak dan kanser zakar.

    Remaja: Untuk remaja perempuan di Malaysia, mereka akan diberikan suntikan HPV ketika berusia 13 tahun (Tingkatan 1).

    Dewasa: Individu yang berumur antara 18 hingga 24 tahun disarankan untuk mengambil suntikan ini sebanyak 3 dos, tanpa mengira lelaki mahupun perempuan.

    #8. Vaksin JE (Japanese Encephalitis), antara jenis vaksin di malaysia

    Penyakit ini tidak berjangkit daripada manusia kepada manusia yang lain, tetapi ia boleh didapati melalui gigitan nyamuk dijangkiti virus JE.

    Antara simptom bagi JE ialah demam, pening kepala dan juga jangkitan otak.

    Bayi: Senarai semakan vaksin ini hanyalah diberikan kepada bayi yang lahir di Negeri Sarawak sahaja.

    • Dos pertama diberikan pada bulan ke-9 kelahiran
    • Suntikan kedua pada bulan ke-21 kelahiran

    Baca juga:

    #8. Vaksin influenza

    Flu atau influenza boleh menyebabkan beberapa komplikasi kesihatan seperti pneumonia, bronkitis, jangkitan sinus dan jangkitan telinga.

    Flu juga boleh menyebabkan beberapa keadaan kesihatan seperti penyakit jantung, kanser dan diabetes menjadi lebih teruk.

    Dewasa: Individu dewasa disarankan untuk mengambil suntikan flu ini SETIAP TAHUN.

    #9. Vaksin Pneumokokal

    Semakan vaksin ini yang bertujuan melindungi individu daripada penyakit pneumokokal, boleh menyebabkan jangkitan telinga.

    Ia juga boleh menyebabkan jangkitan yang lebih serius bagi penyakit jangkitan paru-paru, darah dan meningitis atau jangkitan otak.

    Bayi: Kerajaan telah mula memberikan suntikan ini secara percuma kepada semua bayi bermula Jun 2020.

    • 2 dos primer diberikan pada umur bayi 4 bulan dan 6 bulan
    • 1 dos penggalak diberikan ketika usia bayi 15 bulan

    Dewasa: 1 dos dan suntikan tambahan

    • 1 suntikan disarankan untuk diambil ketika berumur antara 18 hingga 64 tahun
    • 1 suntikan tambahan juga disarankan kepada individu yang berumur 65 tahun ke atas

    #10. Semakan vaksin Meningokokal

    Vaksin ini melindungi individu daripada jangkitan meningitis, iaitu jangkitan pada lapisan otak dan saraf tunjang.

    Ia juga melindungi daripada jangkitan dalam darah.

    Semakan vaksin dewasa: Individu dewasa disarankan untuk mengambil 1 dos suntikan atau lebih bergantung kepada nasihat doktor.

    Vaksinasi selamat

    Anda sudah mengetahui senarai semakan vaksin di Malaysia, namun masih ragu-ragu untuk mendapatkannya untuk si manja?

    Vaksin dianggap selamat kerana diuji dengan teliti dan melalui banyak pusingan penyelidikan, ujian dan kajian sebelum diberikan kepada masyarakat awam.

    Sebilangan besar penyelidikan menunjukkan bahawa vaksin selamat dan jarang berlaku kesan sampingan. Sekiranya berlaku, ia biasanya ringan. 

    Sesungguhnya wujud risiko lebih besar kepada individu akan datang jika anda memilih untuk tidak mendapatkan vaksin dan berpotensi untuk jatuh sakit selepas terdedah kepada penyakit.

    Komplikasi penyakit tersebut mungkin jauh lebih teruk daripada potensi kesan sampingan vaksin,  bahkan boleh mengakibatkan maut!

    semak vaksin

    Kesan sampingan

    Semakan vaksin sudah, ini kesan sampingan anda kena tahu!

    Kebanyakan kesan sampingan daripada suntikan vaksin adalah ringan. Malahan ada individu yang langsung tidak mengalami kesan sampingan.

    Antara kesan sampingan yang boleh terjadi adalah:

    • Sakit, kemerahan atau bengkak di tempat suntikan
    • Sakit sendi pada bahagian suntikan
    • Lemah otot
    • Demam ringan hingga panas
    • Gangguan tidur
    • Keletihan
    • Hilang ingatan
    • Lumpuh seluruh otot pada bahagian tubuh tertentu
    • Kehilangan pendengaran atau penglihatan
    • Sawan 

    Beberapa faktor boleh meningkatkan risiko anda mengalami kesan sampingan vaksinasi seperti:

    • Mempunyai sistem imun yang lemah atau tertekan
    • Tidak sihat ketika menerima vaksin
    • Mempunyai sejarah keluarga atau diri berkaitan tindak balas vaksin

    Kesan sampingan atau tindak balas yang serius atau mengancam nyawa daripada vaksin jarang berlaku. Kebanyakan individu lebih berisiko tinggi mendapat penyakit jika tidak divaksin.

    Keberkesanan vaksinasi

    Anda kini telah mengetahui senarai semakan vaksin yang perlu diambil.

    Dalam situasi endemik masa kini, amat penting untuk mencapai imuniti berkelompok dalam melawan virus COVID-19 melalui suntikan vaksinasi.

    Vaksin sangat berkesan dalam melatih sistem imun untuk mencipta protein bagi melawan penyakit – dikenali sebagai antibodi. 

    Melalui vaksinasi, individu yang mendapat suntikan akan dilindungi daripada penyakit dan tidak akan menyebarkan patogen, sekali gus memutuskan rantaian penularan.

    Mencapai imuniti berkelompok dengan jenis vaksin di malaysia yang selamat dan berkesan menjadikan sesuatu penyakit itu lebih jarang terjadi serta menyelamatkan nyawa.

    Pemvaksinan bukan sahaja melindungi diri anda tetapi turut menjaga mereka dalam komuniti yang tidak boleh divaksinasi. Jadi, pilihlah untuk mendapatkan vaksin.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 21/06/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan