#2. 19.5 juta kanak-kanak di bawah umur 1 tahun tidak menerima vaksin DTP3
Sebanyak 60% daripada golongan kanak-kanak ini tinggal di 10 negara-negara berikut iaitu Afrika Selatan, Angola, Brazil, Ethiopia, India, Indonesia, Iraq, Nigeria, Pakistan dan Republik Kongo.
#3. Lebih ramai kanak-kanak di seantero dunia telah menerima vaksinasi
Pada tahun 2016, anggaran sebanyak 116.5 juta atau 86% daripada kanak-kanak berumur bawah satu tahun telah menerima suntikan imunisasi diphtheria-tetanus-pertussis (DTP3). Penyakit-penyakit ini merupakan penyakit berbahaya yang boleh mendatangkan maut kepada mereka yang tidak mempunyai vaksin dalam badan.
#4. Infeksi Meningitis A hampir dapat dihapuskan di Afrika menerusi vaksinasi
Sejak pengenalan suntikan imunisasi Meningitis A di Afrika pada tahun 2010, penularan penyakit berbahaya ini telah dapat dikawal dan hampir dihapuskan di 26 buah negara Afrika yang merupakan kawasan panas virus ini tersebar. Kini, vaksinasi ini telah menjadi sebuah program rutin negara yang telah menyedari kepentingan vaksin.
#5. Benua WHO Amerika telah diisytihar bebas daripada infeksi demam campak
Pada tahun 2016, benua WHO Amerika telah menjadi kawasan pertama yang diisytihar sebagai bebas infeksi demam campak. Pencapaian ini merupakan hasil usaha 22 tahun yang melibatkan pengambilan vaksin measles-mumps-rubella (MMR) di kawasan tersebut.
#6. Benua WHO Amerika dan Asia Tenggara berjaya menghapuskan tetanus neonatal
Tetanus neonatal telah berjaya dihapuskan di benua WHO Asia Tenggara pada tahun 2016 serta di benua WHO Amerika pada tahun 2017. Namun begitu, tetanus neonatal ini tidak dapat dihapuskan sepenuhnya kerana bakteria yang menyebabkannya wujud di persekitaran manusia. Oleh itu, langkah terbaik bagi melawannya adalah suntikan imunisasi dan penjagaan kebersihan sepanjang proses melahirkan anak.
#7. Kes demam campak telah berkurangan sebanyak 84% di seantero dunia
Sepanjang tempoh tahun 2000 hingga 2016, kes kematian akibat demam campak di seluruh dunia telah menunjukkan pengurangan yang sangat drastik daripada 550,000 kepada 89,780 kes. Ini disebabkan oleh kesedaran masyarakat dunia terhadap kepentingan mengambil vaksinasi semakin meningkat.
#8. Dunia semakin hampir untuk menghapuskan polio
Pada tahun 2016, kes berkaitan polio telah berjaya dikurangkan dan hanya tiga negara sahaja kini yang masih dalam keadaan yang membimbangkan iaitu Afghanistan, Nigeria dan Pakistan. Sementara itu, India dan negara-negara di Asia Tenggara telah berjaya diisytiharkan sebagai bebas polio dan wabak yang menyerang kawasan Timur Tengah dan Tanduk Afrika pada tahun 2013 hingga 2014 telah berjaya dihapuskan.
#9. Pelbagai progres penting dapat dilihat dalam kajian dan pembangunan vaksin
Terdapat banyak progres penting yang berlaku dalam bidang ini. Di beberapa buah negara, vaksinasi baharu yang dapat melawan penyakit denggi telah berjaya dicipta dan dilesenkan. Selain itu, suntikan imunisasi pertama yang dapat melawan penyakit Malaria juga telah diterbangkan ke beberapa buah negara di Afrika pada tahun 2008.
#10. Vaksin bertindak sebagai barisan hadapan melawan antimikrobial
Penggunaan antibiotik yang berlebihan sebenarnya mampu mengundang bahaya kepada manusia. Vaksinasi pula merupakan alternatif yang lebih baik kepada antibiotik. Oleh itu, penggunaan suntikan imunisasi bagi menggantikan antibiotik pada masa akan datang merupakan idea yang terbaik untuk perubatan pada masa akan datang.
Fakta-fakta berkenaan suntikan imunisasi di seluruh dunia di atas menunjukkan betapa keberkesanan vaksinasi terbukti di persada dunia. Akan tetapi, bagaimana pula penerimaan vaksin di Malaysia?
Penerimaan vaksin di Malaysia

Di Malaysia, penerimaan vaksin sebenarnya adalah disambut dan diterima dengan baik. Kebanyakan ibu bapa akan memberikan suntikan imunisasi kepada bayi mereka seawal usia mereka lagi. Pun begitu, masih ada lagi golongan yang tidak mempercayai vaksinasi. Malah lebih mendukacitakan lagi, mereka turut tidak membenarkan apa-apa vaksinasi kepada anak mereka.
Seperti contoh yang kita tahu, selebriti tanah air iaitu Suhaimi Saad yang menegaskan bahawa dia tidak mempercayai vaksin kerana teguh dengan pendiriannya yang mengatakan individu yang hidup pada zaman Nabi dahulu sihat sahaja tanpa mengambil sebarang imunisasi. Ini adalah sama sekali pandangan peribadi beliau sahaja dan tidak wajar anda ikuti. Sila teruskan bacaan untuk mengetahui mengenai antivaksin di Malaysia.
Apakah puncanya?

Sebenarnya, pergerakan antivaksin di Malaysia sudah lama wujud di Malaysia. Disebabkan kita kini berada dalam era teknologi dan maklumat, pergerakan ini semakin berani menyebarkan ideologi mereka melalui laman sesawang terutamanya media sosial yang sangat mudah diakses oleh pelbagai golongan tidak kira tua atau muda.
Menurut Datuk Dr. Musa Mohd Nordin yang merupakan Perunding Pediatrik dan Neonatologi di KPJ Damansara Specialist, kumpulan pergerakan antivaksin ini adalah satu gerakan oleh mereka yang tidak arif mengenai hal perubatan. Menurut beliau lagi, jika pencarian mengenai vaksin dibuat, 80 peratus laman sesawang berkenaan antivaksin akan timbul. Laman sesawang ini bukan sahaja akan memberi fahaman palsu malahan turut mengambil kesempatan untuk menjual produk.
Pada hemat beliau, vaksinasi dari dahulu lagi telah banyak menimbulkan persoalan dan tentangan. Namun begitu, ia semakin teruk apabila seorang pelakon wanita Amerika, Jenny McCarthy mendakwa suntikan imunisasi merupakan punca anaknya menghidap autisme. Gara-gara kenyataan ini dan tanpa selidikan terperinci terlebih dahulu, fahaman antivaksin mula menular di segenap pelosok dunia melalui internet.
Ini adalah sangat tidak wajar kerana ia merupakan satu kenyataan yang dibuat tanpa persetujuan mana-mana pakar perubatan. Walhal di Denmark, 2 juta kanak-kanak telahpun dikaji untuk melihat sama ada autisme boleh terjadi kepada kanak-kanak yang divaksin ataupun tidak. Hasilnya, kajian ini menunjukkan vaksinasi bukanlah penyebabnya dan risiko autisme boleh terjadi kepada kanak-kanak tanpa mengira mereka telah divaksin ataupun tidak.
Selain itu, Ketua Pengarah Kesihatan iaitu Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah ada menyatakan bahawa gerakan kumpulan antivaksin ini adalah sesuatu yang serius serta perlu ditangani dengan bijaksana oleh ahli-ahli perubatan negara kita. Beliau juga bersetuju bahawa media sosial adalah medium utama yang digunakan untuk menyebarkan fahaman gerakan penolakan vaksin di negara kita.
Menurut beliau lagi, isu ini sebenarnya tidak perlu ditimbulkan kerana sudah banyak kajian yang membuktikan vaksinasi digunakan untuk meningkatkan imunisasi dalam tubuh badan sejak dahulu lagi malahan telah terbukti berkesan secara klinikal.
Beliau dan beberapa pakar perubatan lain termasuklah Dr. Nur Asyikin Mohd Yunus merupakan antara 30 ahli perubatan dan pakar dalam pelbagai bidang kesihatan seperti ortopedik, anaesthesiologi, oftalmologi dan farmasi yang membentuk komuniti Medical Mythbusters Malaysia (M3). Tujuan komuniti ini ditubuhkan tidak lain tidak bukan adalah menangkis maklumat perubatan palsu serta memperbetulkan mitos atau fitnah dalam bidang perubatan yang disebarkan menerusi media sosial. Paling penting, komuniti ini juga turut memperjuangkan isu pergerakan antivaksin yang kian membimbangkan di negara kita.
Ternyatalah sebenarnya media sosial merupakan punca utama berlakunya penularan fahaman atau gerakan antivaksin di negara kita. Masyarakat sewajarnya mempunyai ilmu yang mencukupi tentang vaksinasi sebelum mula menyebarkan apa-apa maklumat berkenaan vaksin sebelum pengesahan terhadapnya dibuat oleh ahli perubatan.
Apakah kesannya?

Kesannya, masyarakat akan mulai takut dan bimbang akan kepentingan vaksinasi. Ada juga golongan ibu bapa terutamanya yang terpedaya dengan pergerakan antivaksin di negara kita lalu berkeras tidak mahu memberikan suntikan imunisasi kepada anak kecil mereka.
Baru-baru ini, gempar satu Malaysia apabila bekas penyanyi kumpulan nasyid In-Team, Mohd Suhaimi Bin Saad mendedahkan bahawa beliau tidak percaya akan kepentingan vaksinasi menerusi laman media sosial beliau. Kenyataan ini mengundang pelbagai reaksi yang kebanyakannya negatif daripada netizen. Beliau merupakan antara selebriti terawal di Malaysia yang berani menyuarakan pendapat beliau berkenaan vaksinasi ini.
Menurut Pakar Pediatrik terkemuka iaitu Datuk Dr. Musa Mohd Nordin, kanak-kanak yang tidak mengambil vaksin akan membawa risiko bukan sahaja kepada diri sendiri malahan kepada kanak-kanak lain yang belum divaksinasi ataupun yang tidak boleh divaksinasi. Antara golongan kanak-kanak yang tidak boleh divaksinasi adalah kanak-kanak yang mengalami leukemia dan barah, kanak-kanak yang berada di bawah pengambilan steroid dan ubat kanser serta kanak-kanak yang menghadapi HIV atau AIDS. Menurutnya lagi, tidak mengambil suntikan imunisasi akan menambahkan risiko kewujudan semula penyakit yang sudah hilang dalam tubuh badan seorang kanak-kanak.
Disebabkan oleh pengaruh media sosial yang kuat dalam penularan pergerakan antivaksin di negara kita, ramai individu terutamanya ibu bapa telah terpengaruh dan cenderung ke arah fahaman antivaksin. Ini bakal mendatangkan kesan yang sangat teruk terhadap kesihatan masyarakat terutamanya golongan kanak-kanak. Masyarakat sewajarnya tidak mudah terpedaya dengan fahaman gerakan ini dengan menyiapkan diri dengan ilmu mengenai vaksinasi.
Jadi, media sosial haruslah digunakan untuk tujuan yang baik seperti menyebarkan fakta atau maklumat yang telah diperakui. Media sosial bukanlah satu medium yang boleh digunakan untuk menyebarkan sesuatu fahaman yang bakal memberi implikasi buruk terhadap masyarakat kelak seperti fahaman antivaksin. Akhir sekali, semua lapisan masyarakat terutamanya ibu bapa perlu mempunyai pengetahuan yang mencukupi untuk memahami kepentingan vaksinasi terhadap anak agar hidup mereka lebih terjamin sihat dan sejahtera.
Konklusi
Konklusinya, vaksin adalah sangat penting buat setiap individu tanpa mengira usia, bangsa atau jantina. Disebabkan itu, ibu bapa perlu menjadi individu yang bertanggungjawab dengan memberi suntikan imunisasi ini kepada anak anda. Ini bertujuan untuk mengelakkan mereka terinfeksi dengan pelbagai penyakit berjangkit yang berbahaya buat nyawa mereka.
Ketahuilah bahawa pergerakan antivaksin adalah suatu gerakan yang hanya berpegang kepada kepercayaan mereka sendiri tanpa merujuk kepada mana-mana pakar perubatan terlebih dahulu. Lagipun, keberkesanan vaksin sudah dapat dibuktikan di peringkat dunia lagi. Jadi, apa lagi yang anda tunggu?
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.
Baca juga:
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen