Perkataan batuk kokol dalam Bahasa Inggeris iaitu whooping cough mendapat nama daripada bunyi ‘whoop’ yang pesakit hasilkan ketika batuk.
Kanak-kanak paling berisiko

Sebelum vaksin pertussis dihasilkan pada tahun 1950, batuk kokol merupakan salah satu punca kematian yang lazim dalam kalangan kanak-kanak.
Namun, sejak vaksin diperkenalkan, kes batuk kokol menjadi semakin rendah, namun tidak hilang sepenuhnya.
Kebanyakan kanak-kanak yang dijangkiti batuk kokol akan selamat walaupun mereka tidak mengambil vaksinasi.
Walau bagaimanapun, untuk kanak-kanak berusia 1 tahun ke bawah, batuk kokol boleh menjadi sesuatu yang amat serius:
- Hampir separuh akan dihospitalkan.
- Separuh daripada bayi yang mengalami batuk kokol akan berhenti bernafas.
- 1 daripada 8 akan mengalami pneumonia.
- 1% akan diserang sawan.
Oleh sebab itu, bayi perlu mendapatkan vaksin untuk melindungi diri mereka daripada batuk kokol. Di Malaysia, vaksin batuk kokol disertakan di dalam vaksin kombinasi 6 serangkai.
Pada tahun 2020, vaksin kombinasi 5 serangkai telah ditukar kepada 6 serangkai untuk mencegah difteria, tetanus, batuk kokol, polio, Hepatitis B dan jangkitan Haemophilus influenzae type b.
4 dos vaksin 6 serangkai akan diberikan kepada kanak-kanak pada usia dua bulan, tiga bulan, lima bulan dan 18 bulan.
Pemberian antibiotik untuk mencegah batuk kokol

Disebabkan punca batuk kokol ialah bakteria, doktor mungkin akan memberikan antibiotik untuk mengelakkan penyebaran penyakit tersebut jika ada di antara ahli keluarga anda yang didiagnosis dengan penyakit ini.
Contohnya, bayi yang berusia 1 tahun ke bawah atau wanita yang sedang hamil dan berada di dalam trimester ketiga akan dibekalkan dengan antibiotik untuk mencegah batuk kokol.
Bayi amat berisiko untuk mengalami komplikasi yang serius disebabkan batuk kokol. Namun, wanita mengandung tidak mengalami peningkatan risiko.
Walau bagaimanapun, mereka boleh mendedahkan bayi mereka kepada batuk kokol secara tidak sengaja.
Oleh sebab itu, wanita yang mengandung perlu berbincang dengan doktor jika ingin mendapatkan antibiotik untuk mencegah batuk kokol.
Pengambilan antibiotik ini amat penting jika ibu atau bayi pernah menjadi kontak rapat kepada seseorang yang sedang mengalami batuk kokol.
Kesimpulan
Batuk kokol atau pertussis merupakan penyakit berjangkit yang boleh membawa maut kepada bayi. Punca batuk kokol ialah bakteria yang boleh memasuki saluran pernafasan. Bakteria ini boleh menyebabkan pesakit batuk dengan teruk.
Jika anda ataupun ahli keluarga anda mengalami batuk yang berpanjangan, pastikan anda berjumpa doktor dengan kadar yang segera. Dapatkan pemeriksaan secepat mungkin supaya rawatan boleh diberikan dengan kadar segera.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen