Ada kalanya kesan selepas vaksin itu tidak terjadi sejurus sahaja suntikan diberikan. Ia mungkin akan muncul selepas beberapa jam atau hari – juga dianggap sebagai tanda vaksin berfungsi dengan baik.
Jadi selepas vaksin apa perlu buat jika si kecil mengalami kesan sampingan atau demam? Ini yang ibu bapa perlu ketahui mengenai kemungkinan tindak balas bayi terhadap suntikan imunisasi.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Memahami kesan selepas vaksin
Suntikan vaksinasi adalah selamat. Namun seperti pengambilan ubatan lain, ia ada kalanya akan mengembangkan beberapa kesan sampingan.
Selalunya tindak balas yang berlaku adalah ringan dan setempat – seperti rasa sakit atau kemerahan pada bahagian suntikan diberikan – serta hanya berlangsung untuk tempoh 1-2 hari.
Demam ringan juga berkemungkinan untuk berlaku, namun kesan yang lebih serius adalah jarang terjadi.
Pun begitu, untuk membuktikan vaksin berkaitan dengan kesan sampingan tertentu bukanlah mudah. Apatah lagi jika si kecil cenderung jatuh sakit. Secara tidak langsung membuatkan sesetengah ibu bapa percaya bahawa vaksin yang menjadi punca anak mereka tidak sihat.
Seperkara lain yang perlu difahami, pemberian vaksin juga adalah ketika garis tumbesaran tertentu anak bermula. Contohnya, vaksin MMR diberikan semasa bayi berusia setahun dan pada ketika inilah kelewatan tumbesaran anak mungkin baru disedari ibu bapa.
Situasi tersebut mengakibatkan ada ibu bapa yang mengaitkan vaksin dengan sebarang proses kelewatan perkembangan.
Tetapi, bagaimana pula jika berlaku kesan sampingan selepas vaksin apa perlu buat, ya?
Baca juga:
Kesan selepas vaksin bagi kanak-kanak bawah 5 tahun
Kesan sampingan yang paling biasa adalah di bahagian suntikan diberikan, ini termasuk:
- Bengkak
- Kemerahan
- Benjolan kecil yang keras
Gejala ini akan hilang dalam masa beberapa hari dan anda tidak perlu melakukan apa-apa mengenainya. Kadangkala si kecil juga berkemungkinan untuk demam.
Bagaimana pula kesan selepas suntikan imunisasi lain seperti MMR atau vaksin 6 serangkai, adakah terdapat perbezaan?
Kesan selepas vaksin MMR
MMR terdiri daripada 3 vaksin – campak, beguk dan rubella (campak Jerman) – yang boleh menyebabkan tindak balas pada masa berbeza selepas suntikan.
Kesan sampingan selepas 6 hingga 10 hari:
- Demam
- Ruam seperti campak
- Hilang selera makan
Kesan selepas vaksin untuk tempoh 2 hingga 3 minggu
Sekitar 2-3 minggu selepas suntikan, vaksin beguk boleh menyebabkan gejala seperti beguk – demam dan kelenjar bengkak – pada sesetengah kanak-kanak.
Kesan sampingan pada 12 hingga 14 hari
Vaksin rubella boleh menyebabkan ruam kecil dan sedikit peningkatan suhu badan. Dalam keadaan yang jarang berlaku, ruam juga boleh berlaku sehingga 6 minggu kemudian.
Vaksin 6 serangkai: Kesan sampingannya
Secara umumnya, kesan sampingan adalah ringan dan berjangka pendek. Bahkan, kebanyakan bayi tidak akan mengalami sebarang masalah sama sekali.
Reaksi biasa terhadap vaksin 6 dalam 1
- Sakit, kemerahan dan bengkak di tempat suntikan
- Demam (suhu tinggi melebihi 38C) – lebih biasa pada dos kedua dan ketiga
- Muntah-muntah
- Tangisan luar biasa
- Mudah meragam
- Hilang selera makan
Kesan selepas vaksin 6 serangkai yang jarang berlaku
- Tangisan bernada tinggi yang luar biasa
- Sawan
Reaksi alahan terhadap vaksin 6 dalam 1
Amat jarang sekali untuk bayi mengalami reaksi alahan yang teruk – anafilaksis.
Anafilaksis adalah tindak balas alergi yang boleh membawa kepada ketidaksedaran atau kematian.
Selepas vaksin apa perlu buat
Normal untuk bayi menjadi agak cranky sehingga 48 jam selepas suntikan. Untuk menenangkan si manja, anda boleh:
Jika bahagian suntikan kemerahan, tuamkan dengan kain sejuk bersih antara 5-10 minit – ini juga dapat menenangkan bayi.
Bayi mengalami demam panas
Selepas vaksin apa perlu buat jika bayi mengalami demam panas? Lakukan perkara berikut untuk menyejukkan mereka:
- Pakaikan si manja pakaian nipis dan elakkan penggunaan selimut
- Tawarkan minuman tambahan. Bagi bayi yang menyusu, susukan dengan lebih kerap
Anda juga boleh berikan paracetamol untuk bayi bagi mengurangkan suhu. Tetapi dapatkan persetujuan doktor terlebih dahulu.
Waspada terhadap kesan selepas vaksin yang serius
Kesan sampingan yang teruk jarang berlaku. Tetapi lakukan pemeriksaan dengan pakar pediatrik segera jika bayi mengalami gejala berikut dalam masa 2 hari selepas suntikan:
- Demam panas – 38°C atau lebih untuk bayi di bawah usia 3 bulan dan 39°C untuk si manja 3 bulan ke atas
- Menangis lebih daripada 3 jam pada satu masa – jangan keliru dengan gejala kolik – atau tangisan bernada tinggi yang berlangsung lebih sejam
- Sawan
- Kelesuan, tidak bertindak balas atau mengantuk yang berlebihan
- Reaksi alahan seperti bengkak mulut, muka atau tekak, kesukaran bernafas mahupun ruam
- Perubahan tingkah laku – sesuatu yang tidak normal pada anak
Sekiranya terdapat kebimbangan tentang bagaimana bayi bertindak balas terhadap sebarang suntikan vaksinasi, rujuklah kepada doktor untuk mendapatkan lebih kepastian.
[embed-health-tool-child-growth-chart]