backup og meta

Si Manja Tidak Sihat? Ibu Boleh Cuba Cara Ini Untuk Rawat Anak Di Rumah

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 27/10/2021

    Si Manja Tidak Sihat? Ibu Boleh Cuba Cara Ini Untuk Rawat Anak Di Rumah

    Apabila si kecil jatuh sakit, sudah tentu ibu akan berasa susah hati memikirkan cara untuk merawat anak. Bertenang, Hello Doktor boleh berikan sedikit panduan buat anda.

    Merawat anak

    Dari masa ke masa, setiap anak pasti akan pernah jatuh sakit seperti demam, pastinya situasi tersebut menyebabkan kegusaran di hati ibu ayah tatkala melihat si manja tidak ceria. 

    Adakalanya, anda juga keliru memikirkan apakah cara terbaik untuk merawat anak demam.

    Anak sudah tentu akan mengalami kesukaran untuk berasa selesa dan masa yang sama perlu menghadapi kesakitan. 

    Berikut beberapa simptom yang menunjukkan anak tidak sihat, seperti:

    • Perhatikan gejala fizikal petanda anak kurang sihat seperti muntah, suhu badan tinggi, batuk atau berkelakuan di luar kebiasaan seperti menangis, mudah marah, enggan makan dan minum, tampak lesu dan mengantuk
    • Percaya naluri seorang ibu – biasanya seorang ibu akan lebih mengenali anaknya berbanding individu lain dan akan dapat mengenal pasti tingkah laku berbeza atau membimbangkan

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.

    Merawat anak demam: Memastikan keselesaan

    Sekiranya anak kurang sihat di rumah, maka ada beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk memastikan mereka selesa dan menuju ke arah kesembuhan.

    merawat anak demam

    Dalam keadaan anak yang sakit, perkara paling penting untuk dilakukan adalah mendengar.

    Jika anak mengatakan mereka enggan tidur, mungkin itulah yang sebaiknya. Bahkan, anak mungkin berasa lebih selesa di sofa bersama selimut. 

    Walau apa pun, tidak kira anak mahu berehat di atas katil atau sofa, ada cara yang boleh ibu lakukan untuk membantu mereka berasa lebih selesa. 

    #Pengudaraan ruang yang baik

    Sekiranya anak ingin berehat di bilik, pastikan ada udara keluar masuk. Andai suhu bilik terlalu panas, anak mungkin akan berasa lebih teruk.

    Anda boleh menggunakan pelembap udara (humidifier) untuk memastikan udara di dalam bili anak lembap. 

    Ia dapat membantu mengurangkan batuk, hidung tersumbat dan ketidakselesaan.

    Jika boleh, pastikan suasana rumah dalam keadaan sunyi dan damai bagi membolehkan anak berehat.

    #Pengambilan cecair mencukupi

    Ketika merawat anak demam, untuk hari pertama, mereka mungkin tidak mempunyai keinginan untuk makan. Namun, tidak mengapa.

    Cuma ibu kena pastikan anak mengambil air yang mencukupi.

    Ini kerana dehidrasi akan memburukkan keadaan anak yang sakit. Jadi untuk mencegah dehidrasi, anak perlu minum air dengan kerap.

    Selepas itu, anda boleh cuba memujuk anak makan dan mendorong mereka untuk mengambil minuman berkhasiat seperti susu. 

    Sediakan makanan yang mudah dicerna dan tidak akan mengganggu perut mereka seperti sup ayam.

    Umumnya, pilihan makanan adalah bergantung kepada gejala yang dialami anak.

    #Berikan permainan bersesuaian

    Bagi seorang ibu, apabila anak tidak sihat, sudah tentu anda mahukan mereka berehat. Tetapi situasinya mungkin berbeza. 

    Namun begitu, duduk berbaring sepanjang hari boleh mendatangkan kebosanan kepada sesiapa pun.

    Jadi mungkin anda boleh berikan anak permainan yang bersesuaian seperti Word Search atau sekadar menemani mereka berehat.

    Merawat anak #Mereka cepat lebih dan perlukan rehat yang banyak 

    Anak dalam keadaan kurang sihat akan cepat berasa penat. Jadi galakkan mereka untuk lebih banyak berehat dan tidur. 

    Anda mungkin boleh bantu dengan membacakan buku cerita kepada mereka.

    rawat anak

    Paling penting, sekiranya anak masih bayi, jangan tertidur dengan si manja yang sakit di atas sofa – walaupun anda berdua keletihan. 

    Tindakan tersebut boleh meningkatkan risiko sindrom kematian mengejut (SIDS).

    Sekiranya anak mengalami penyakit berjangkit seperti cacar air (chicken pox), asingkan mereka daripada individu berisiko untuk dijangkiti. Ini bertujuan untuk mencegah penyebaran penyakit. 

    Keadaan yang membimbangkan

    • Sangat mengantuk dan anda tidak boleh mengejutkan mereka
    • Masalah pernafasan
    • Kulit kebiruan, pucat atau putih
    • Mempunyai ruam yang tidak hilang apabila anda menekannya
    • Mengalami kekejangan yang berterusan lebih dari 5 minit

    Anda juga perlu melakukan pemeriksaan doktor segera jika anak mengalami demam dan:

    • Berusia di bawah 3 bulan
    • Tidak kencing seperti kebiasaan
    • Tidak menyusu seperti keadaan normal
    • Mengalami muntah yang banyak

    Jika anda tidak pasti, dapatkan bantuan perubatan. Percayalah pada naluri seorang ibu!

    Mendapatkan bantuan pakar

    Anda boleh mendapatkan bantuan doktor jika berasakan keadaan anak membimbangkan. Mereka akan memberikan cara merawat anak dan preskripsi ubat yang bersesuaian. 

    merawat anak

    Untuk simptom ringan, anda boleh mencuba mendapatkan ubat di farmasi terlebih dahulu.

    Merawat anak: Ibu ayah juga perlu menjaga kesihatan

    Menjaga anak yang sakit, walaupun hanya untuk tempoh beberapa hari amatlah memenatkan.

    Jika boleh, jangan lupa untuk berikan diri sendiri rehat dan tidur yang mencukupi. 

    Mintalah bantuan ahli keluarga lain untuk membantu merawat anak demam sementara anda berehat sebentar.

    Sekiranya keadaan rumah bersepah, usah membebankan diri untuk memikirnya. Biarkan ia terlebih dahulu, okay?

    Paling penting, anak sihat dan diri anda sendiri terjaga kesihatannya.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 27/10/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan