Anda boleh dihukum jika tidak melaporkan kes pedofilia
Kini, anda perlu tahu bahawa anda akan dicop bersubahat jika tidak melaporkan kes pedofilia kepada pihak berkuasa seperti polis. Anda perlu tanam dalam hati bahawa aduan anda mungkin akan menyelamatkan masa depan kanak-kanak.
Kes pedofilia yang berlaku di Malaysia
Jika kita lihat pada tahun 2010 hingga 2016, hampir 22,000 kanak-kanak menjadi mangsa keganasan seksual dengan hampir 60% daripadanya adalah kes rogol. Kebanyakan mangsa pula adalah perempuan. Pun begitu, statistik sahaja tidak cukup untuk menggambarkan betapa besar masalah ini di Malaysia.
Menurut statitistik terbaharu yang telah dikeluarkan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Seksual Wanita dan Kanak-Kanak Bukit Aman, kes jenayah seksual berkaitan kanak-kanak telah meningkat sebanyak 20.3% bagi tempoh enam bulan terakhir 2018 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. Statistik ini juga mendapati bahawa terdapat 326 kes dicatatkan pada Julai hingga Disember 2018 berbanding 271 kes dicatatkan pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Statistik ini juga mendedahkan daripada 639 kes jenayah seksual kanak-kanak, 73.4 peratus atau 469 kes didalangi oleh individu yang dikenali mangsa. Malah, selain rakan-rakan kenalan, apa yang mengejutkan kelompok kedua pedofilia itu terdiri daripada guru, jiran dan bapa saudara.
Antara kes-kes pedofilia di Malaysia:
Antara kes yang paling menggemparkan media dan juga menggegarkan dunia adalah kes yang berlaku pada tahun 2015, di mana seorang pelajar warganegara Malaysia tajaan JPA, ditangkap di Lapangan Terbang Melbourne, Australia kerana disyaki memiliki koleksi imej eksploitasi kanak-kanak. Pelajar yang bernama Fitri Azmeer Nordin ini kemudiannya disabit bersalah kerana terbukti memang memiliki gambar dan video pornografi kanak-kanak pada simpanannya.
Dalam pada itu, terdapat banyak lagi kes berkenaan jenayah seksual pedofilia yang pernah berlaku dalam negara kita, antaranya:
Seorang bapa berusia 36 tahun merogol dan meliwat anak perempuannya yang berusia 15 tahun berulang kali sejak tahun 2015. Paling menjijikkan jenayah ini turut dilakukan ketika bulan Ramadan. Lelaki itu berhadapan dengan 594 pertuduhan di mahkamah.
Seorang lelaki warga emas yang sudah berusia 72 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Ayer Keroh, Melaka di atas tuduhan meliwat cucu saudara perempuannya di antara akhir Julai hingga awal Ogos lalu.
Seorang lelaki “alim’’ yang sering menghulurkan derma kepada sebuah pusat tahfiz sejak 2015 telah didapati melakukan penderaan seksual terhadap 21 pelajar institusi itu yang berusia 10 hingga 17 tahun. Enam daripadanya pula mengaku diliwat.
Seorang bayi malang yang berusia 11 bulan maut ketika mendapat rawatan di hospital akibat diliwat dan dirogol oleh suami pengasuhnya. Pemeriksaan lanjut mendapati bahawa terdapat kesan koyakan pada tisu dubur dan kemaluan mangsa.
- Kuala Lumpur, Disember 2018
Seorang bapa kejam yang berusia 37 tahun didapati bersalah merogol anak kandung perempuannya sendiri yang berusia 10 tahun sejak tahun 2017 dalam kejadian yang berlaku di Taman Changkat Permata, Ampang.
Kes Nurin Jazlin
Bukan sahaja itu, ada lagi beberapa kes yang sangat mendapat perhatian media seperti kes kanak-kanak perempuan yang bernama Nurin Jazlin. Pada tahun 2007, seluruh Malaysia gempar dan sedih dengan berita penemuan seorang kanak-kanak perempuan yang ditemui maut dalam keadaan yang menyayat hati.
Hasil bedah siasat mendapati bahawa pembunuh yang tidak berhati perut itu telah memasukkan timun dan terung ke dalam kemaluan mangsa lalu menyebabkan rektum mangsa pecah sehingga dijangkiti bakteria. Jangkitan ini merupakan antara punca utama kematian tragis kanak-kanak yang tidak berdosa ini.
Apa yang boleh dilakukan?
Kanak-kanak merupakan individu masih lagi suci ibarat kain putih dan mereka tidak akan pernah mengesyaki atau bersangka buruk terhadap individu lain. Jadi, anda sebagai ibu bapa perlu membantu mereka untuk lebih berhati-hati daripada pemangsa kanak-kanak.
Paling penting, anda perlu ajar anak anda perkara-perkara berikut:
#1. Ajar anak mengenali tubuh badan seawal usia mereka
Pertama sekali, anda perlu ajar anak mengenali tubuh badan mereka. Ajar mereka nama sebenar bahagian tubuh badan dan bukannya nama yang terlalu umum seperti “bawah”, “atas”, “depan” atau “belakang”. Ini hanya akan menyusahkan anda sebagai ibu bapa untuk bertanya kepada anak anda jika sesuatu yang buruk berlaku kemudian hari.
#2. Ajar anak bahagian tubuh badan yang peribadi
Selain itu, anda perlu ajar anak bahawa terdapat bahagian tubuh badan mereka yang sangat peribadi terutamanya alat kemaluan mereka. Beritahu anak anda bahawa mereka tidak boleh mendedahkan tubuh badan mereka kepada individu lain selain anda, ibu bapa mereka.
#3. Ajar anak bahawa tiada siapa boleh merakam imej tubuh badan mereka
Anda juga perlu ajar anak anda bahawa bukan sahaja perbuatan melihat, perbuatan merakam imej tubuh badan mereka juga adalah sesuatu yang salah. Ini kerana pemangsa pedofilia yang berbahaya ini ada di mana-mana dan gambar anak anda berisiko tersebar sesama mereka.
#4. Ajar anak berkenaan sempadan sentuhan
Dalam pada itu, ajar anak anda untuk menetapkan sempadan sentuhan kulit ke kulit. Mereka perlu tahu bahawa tiada individu yang boleh menentuh, memegang atau meramas tubuh badan mereka. Ini sangat penting untuk mengelak pemangsa pedofilia memulakan langkahnya.
#5. Ajar anak untuk tidak berahsia dengan anda
Ya, kadangkala memang agak sukar untuk memperoleh jawapan daripada anak anda mengenai sesuatu. Namun begitu, ia masih perlu dilakukan. Ajar anak anda dari kecil bahawa berahsia kadangkala akan memberi padah kepada mereka. Ini kerana pemangsa pedofilia gemar memujuk, memaksa atau mengugut mangsa untuk tidak memberitahu sesiapa mengenai perlakuan keji dan jijik mereka itu.
#6. Ajar anak cara untuk lari dari situasi kecemasan
Akhir sekali, ajar anak anda untuk berkata “tidak” atau “jangan”. Ajar anak anda untuk tolak sebarang ajakan atau pelawaan individu yang tidak dikenali untuk melakukan sesuatu. Jika keadaan terlalu mendesak, ajar anak untuk menjerit sekuat hati dan cuba untuk lari dari situ. Ini menunjukkan bahawa seni pertahanan diri mungkin agak penting untuk menghadapi situasi sebegini.
Konklusi
Konklusinya, selain ibu bapa, pihak kerajaan dan semua pihak berwajib juga perlu bekerjasama menggembleng tenaga untuk menyelesaikan isu pedofilia yang semakin membimbangkan ini. Kemasukan pekerja atau pelajar asing ke dalam negara kita perlu dihadkan terutamanya yang mempunyai rekod jenayah. Jika boleh, tapis kesemua mereka ini berlandaskan pelbagai jenis ujian yang melibatkan mental dan fizikal. Masyarakat juga perlu lebih peka dan giat dalam mengesan dan melapor segala gejala sumbang dan bahaya yang melibatkan pedofilia. Dalam erti kata yang lain, semua pihak mempunyai peranan mereka yang tersendiri untuk memerangi pedofilia.
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen