Garu kepala memikirkan cara untuk mengajar anak menunggang basikal? Jangan bimbang, Hello Doktor akan kongsikan tip yang membolehkan anak kayuh basikal tanpa bantuan roda tambahan.
Dalam masa sama, sudah tentu dapat eratkan hubungan antara ibu ayah dan anak. Teruskan membaca artikel ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Bilakah anak bersedia kayuh basikal?
Tiada had umur yang tepat untuk anak mula belajar mengayuh basikal. Ia bergantung pada perkembangan fizikal dan mental si kecil, tahap keselesaan serta koordinasinya.
Pun begitu, secara purata kebanyakan kanak-kanak bersedia untuk belajar menunggang basikal di antara usia tiga tahun setengah hingga empat tahun setengah.
Faktor terbesar adalah sama ada mereka mempunyai keinginan untuk belajar membawa basikal dan bukannya kerana dipaksa.
Selalunya anak belajar dengan meniru perkara di sekelilingnya. Jadi mungkin anda boleh menaiki basikal di hadapan anak supaya mereka mempunyai keinginan dan dapat memahami secara am apa yang perlu dilakukan.
Jika anak belum mempunyai kekuatan untuk kayuh basikal, anda boleh menunggu sehingga mereka lebih besar atau boleh diperkenalkan kepada mereka balance bike – membolehkan si kecil belajar mengimbangi basikal, meluncur dan menolak dengan kaki.
Tip ajar anak menunggang basikal
Berikut antara beberapa perkara perlu dititikberatkan oleh ibu bapa yang ingin mengajar anak untuk kayuh basikal:
Tempat yang sesuai
Pasti ada yang terfikir untuk mengajar di kawasan padang berumput kerana merasakan ia selamat jika anak mungkin terjatuh, betul tak? Tetapi sebenarnya ia lebih menyukarkan anak untuk kayuh basikal.
Sebaliknya pilih kawasan tar licin dan rata. Elakkan kawasan berbukit.
Sediakan basikal
Belikan anak basikal dengan saiz yang sesuai. Elakkan membeli basikal yang lebih besar untuk berjimat kerana boleh digunakan bagi tempoh masa lama.
Tetapkan tempat duduk (saddle) pada ketinggian yang sesuai supaya kaki anak dapat menjejak tanah. Tetapi jangan terlalu rendah! Ini boleh menyukarkan kayuhan kerana lutut boleh terkena hendal.
Helmet untuk keselamatan semasa menunggang basikal
Di Malaysia, agak jarang sebenarnya untuk dapat melihat kanak-kanak bermain basikal dengan memakai set keselamatan seperti helmet, betul tak?
Tetapi pemakaian helmet amat penting untuk melindungi kepala anak daripada sebarang kecederaan serius.
Anda juga boleh mempertimbangkan untuk memberi anak memakai sarung tangan, pelindung siku dan betis, alas lutut dan kasut tertutup.
Jika anak memakai kasut jenis bertali, pastikan ia diikat rapi dan elakkan si kecil daripada memakai seluar yang longgar. Sarankan anak untuk memakai stoking dan berseluar panjang.
Bantuan pada usaha pertama
Biasanya kita akan memegang bahagian tempat duduk dan hendal sewaktu mengajar anak untuk mengayuh basikal, betul?
Tetapi hakikatnya tindakan tersebut boleh mengganggu proses pembelajaran anak untuk mengimbangi dan kayuh basikal.
Cara yang terbaik adalah untuk berdiri di belakang basikal dan anak. Tahan roda belakang antara kaki dan betis anda.
Berikan sokongan dengan memegang bahagian bawah ketiak mereka, ini membolehkan anak mengawal basikal sepenuhnya – anda pun pasti tidak akan mengalami masalah sakit belakang!
Lepaskan secara perlahan-lahan semasa menunggang basikal
Apabila anak tampak berkeyakinan untuk mengawal basikal, lepaskan secara perlahan-lahan. Namun, pastikan anda sentiasa bersedia untuk memegang mereka jika perlu.
Kelebihan apabila berada di belakang basikal dan bukannya di tepi untuk membolehkan anda beri anak bimbingan dan membantu mereka memahami cara basikal bertindak balas.
Pastikan setiap sesi pembelajaran basikal ini adalah selama setengah jam atau lebih.
Biarkan anak mula sendiri
Sekiranya anak sudah dapat mengayuh dan mengimbangi basikal dengan sendiri, biarkan mereka untuk bergerak bebas.
Minta anak untuk meletakkan kaki yang lebih kuat di pedal pada kedudukan pukul 2. Kemudian beritahu mereka untuk menolak pedal dengan kuat sambil kaki yang sebelah lagi menolak permukaan tanah.
Biasanya proses ini memerlukan beberapa percubaan sebelum anak memahaminya.
Penggunaan brek semasa menunggang basikal
Ada kalanya lebih mudah untuk mengajar konsep penggunaan brek tanpa anak menunggangnya.
Jadi minta si kecil berjalan sambil menolak basikal, kemudian tarik tuas brek untuk melihat apa yang berlaku.
Apabila anak sudah memahami konsep brek, anda boleh membenarkan mereka untuk kembali cuba mengayuh basikal.
Teruskan mencuba
Latihan yang banyak adalah kunci untuk menguasai teknik menunggang basikal ini. Namun ada perkara yang penting untuk ibu bapa fahami, setiap anak adalah berbeza dan titik di mana mereka bersedia untuk berbasikal juga tidak akan pernah sama.
Berhati-hati semasa proses pembelajaran ini agar ia tidak menjadi pengalaman yang memberikan tekanan kepada si kecil.
Tip
Seluar panjang contohnya tracksuit, sarung tangan, helmet dan baju berlengan panjang adalah pilihan terbaik bagi mengelakkan sebarang kecederaan seperti tercalar.
Kasut juga adalah pilihan yang lebih baik berbanding selipar atau sandal.
Semoga perkongsian ini dapat menjadi panduan berguna buat anda semua!
[embed-health-tool-child-growth-chart]