home

Bagaimana kami boleh memperbaikinya?

close
chevron
Artikel ini mengandungi maklumat yang salah dan tidak tepat.
chevron

Sila beritahu kami apa yang salah.

wanring-icon
Anda tidak wajib mengisi maklumat ini. Sila klik Hantar Pendapat Saya di bawah untuk terus membaca.
chevron
Artikel ini tidak menyediakan info selengkapnya
chevron

Sila beritahu kami apa yang salah.

wanring-icon
Anda tidak wajib mengisi maklumat ini. Sila klik Hantar Pendapat Saya di bawah untuk terus membaca.
chevron
Hmm... Saya ada soalan!
chevron

Kami tidak boleh menawarkan khidmat nasihat kesihatan peribadi, tapi kami mengalu-alukan pendapat anda! Sila isi kotak di bawah.

wanring-icon
Jika anda mengalami kecemasan, sila hubungi pihak kecemasan atau lawati bilik kecemasan terdekat dengan kadar segera.

Jadi Genius Selepas Kepala Terhantuk? Tak Mustahil! Inilah Rahsia Di Sebalik Sindrom Savant

Jadi Genius Selepas Kepala Terhantuk? Tak Mustahil! Inilah Rahsia Di Sebalik Sindrom Savant

Otak manusia merupakan sesuatu yang amat kompleks. Pernahkah anda membelek surat khabar dan membaca berita mengenai orang yang jadi genius disebabkan penyakit autisme ataupun kecederaan kepala?

Jika ya, anda perlu tahu mengenai Jason Padgett!

Pernah dengar nama Jason Padgett? Jika anda tidak pernah mendengar tentang cerita luar biasa di sebalik lelaki ini, nama Jason Padgett mungkin hanyalah sekadar nama orang putih biasa pada pendengaran anda.

Namun, Jason Padgett bukanlah seorang lelaki yang biasa-biasa. Dia merupakan seorang genius dalam bidang Matematik.

Lebih menarik lagi, Jason sebenarnya tergolong antara 40 orang di dunia yang ‘tiba-tiba’ menjadi genius setelah mengalami kecederaan pada bahagian kepala!

Jadi genius selepas alami hentakan kepala

penyakit autisme

Semua ini bermula apabila Jason dipukul di bahagian belakang kepala oleh seorang perompak ketika rumahnya dipecah masuk.

Apabila dia bangun daripada pengsan pada keesokan harinya, Jason mendapati dia ‘tiba-tiba’ melihat dunia ini dengan sepasang kaca mata baharu.

Menurut Jason, dia kini mempunyai penglihatan yang lebih tajam. Sebelum ini, dia tidak pernah menyedari bahawa dunia ini dipenuhi dengan garisan dan bentuk-bentuk geometri yang menarik.

Selepas kejadian tersebut, Jason banyak menghabiskan masa untuk belajar matematik kompleks, teori fizik dan semakin taksub terhadap corak geometri.

Paling pelik sekali, Jason tiba-tiba boleh melukis dengan detail! Lukisannya amat terperinci dan mengambil masa berhari-hari untuk disiapkan.

Walau bagaimanapun, bukan semua kesan sampingan akibat kecederaan kepala tersebut bersifat positif. Jason juga tiba-tiba menjadi amat takut dengan kekotoran dan suka menyendiri.

Perkara ini amat asing bagi Jason yang selama ini bersifat extrovert.

Kecerdikannya juga merupakan sesuatu yang luar biasa kerana Jason tidak pernah habis belajar dan hanya menghabiskan masa berkerja di kilang perabot milik bapanya.

Jason sebenarnya merupakan salah seorang individu yang disahkan menghidap acquired savant syndrome.

Bersama beliau, ada lagi beberapa nama seperti Orlando Serell dan Tommy McHugh.

Orlando Serell mengalami kecederaan kecil dan jatuh pengsan selepas terkena bola besbol. Orlando, yang kini berusia 44 tahun tidak boleh lupa dan dapat mengingat setiap hari yang berlaku dalam hidupnya dengan terperinci!

Tommy pula mendapati dia sentiasa bercakap dalam ayat yang beritma setelah mengalami pendarahan otak. Sebelum kematiannya, dia telah menulis puisi dan menghasilkan banyak lukisan.

Sindrom savant – apa yang pakar tahu?

penyakit autisme

Sindrom savant merupakan satu kondisi yang amat jarang, tetapi luar biasa yang boleh berlaku terhadap orang biasa.

Selalunya, sindrom savant berlaku dalam kalangan individu yang mempunyai penyakit autisme. Walau bagaimanapun, hanya 50% individu yang mengalami sindrom savant berada di dalam spektrum autistik.

50% lagi memperoleh sindrom ini setelah mengalami kecederaan pada sistem saraf ataupun diserang penyakit. Jika ini berlaku, sindrom savant yang mereka alami dikenali sebagai acquired savant syndrome.

Menurut sebuah tinjauan yang dilakukan oleh Rimland pada tahun 1978, daripada 5,400 orang kanak-kanak yang menghidap autisme, 531 daripadanya didapati mempunyai kemampuan yang unik dan istimewa.

10% daripada bilangan tersebut pula didapati mempunyai sindrom savant.

Untuk pengetahuan anda, 4 daripada 5 penghidap sindrom savant turut mempunyai penyakit autisme. Selain itu, 6 daripada 7 individu yang menghidap sindrom ini merupakan lelaki.

Genius dalam kategori tertentu

penyakit autisme

Apa yang unik berkenaan sindrom savant ialah individu yang menjadi genius selalunya hanya akan mempunyai kepandaian yang luar biasa di dalam 5 kategori iaitu muzik, seni, matematik, mekanikal ataupun bahasa.

Individu yang mempunyai skil dalam muzik selalunya mempunyai perfect pitch, mereka pandai bermain piano dan boleh bermain pelbagai instrumen yang berbeza.

Dari segi seni pula, mereka yang mempunyai sindrom savant boleh melukis, mewarna dan juga mengukir dengan baik.

Mereka yang mempunyai skil matematik boleh mengira dengan pantas dan mempunyai kebolehan untuk mengira nombor prima.

Selain itu, ada juga yang mampu mengira jarak tanpa menggunakan sebarang alatan dengan tepat!

Kemahiran berbahasa merupakan satu lagi skil yang boleh didapati dalam kalangan individu yang menghidap sindrom savant.

Walau bagaimanapun, kemampuan berbahasa jarang ditemui dan selalunya, individu yang savant boleh memahami lebih daripada satu bahasa (polyglot).

Boleh menghafal dan mengingat merupakan satu lagi ciri sindrom savant

Salah satu skil yang sering dikaitkan dengan individu yang mempunyai sindrom savant ialah kemampuan mereka untuk mengingat dan kadangkala obses dengan trivia, fakta dan sebagainya.

Mereka juga boleh menghafal dengan terperinci, misalnya tentang trivia sukan, boleh menghafal nombor plat kenderaan, mengingat peta, fakta sejarah ataupun perkara-perkara kecil seperti bunyi spesifik kenderaan bermotor.

Selalunya, individu yang menghidap sindrom savant cerdik sejak lahir. Namun, seperti yang diceritakan pada awal artikel, sindrom ini juga boleh ‘diperoleh’.

Namun, ada juga individu yang keupayaannya makin pudar apabila dipaksa menurut pembelajaran yang lebih tradisional.

Sebagai contoh, Nadia, hilang keupayaan untuk menghasilkan karya seni setelah dipaksa untuk hidup seperti manusia normal.

Walau bagaimanapun, bukan semua individu yang menghidap sindrom savant akan mengalami masalah yang sama seperti Nadia.

Kajian mendapati bahawa golongan ini yang menggunakan skil istimewa dengan kerap boleh jadi semakin baik dalam bidang mereka.

Sehingga hari ini, tidak ada satu teori yang benar-benar boleh menjelaskan sindrom savant. Savant syndrome merupakan satu bukti kukuh yang menunjukkan bahawa otak manusia merupakan sesuatu yang ajaib.

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan
  1. DailyMail. 2014. How a brain injury turned an average Joe into a math genius who is among only 40 people in the WORLD to have released an ‘inner Einstein’ after trauma. April 20. Accessed September 30, 2020. https://www.dailymail.co.uk/news/article-2608861/How-brain-injury-turned-average-Joe-math-genius-40-people-WORLD-released-inner-Einstein-trauma.html.
  2. Happe, F, and G. L. Wallace. 2012. “Savant Syndrome.” In Encyclopedia of Human Behavior (Second Edition), 281-285. Elsevier Inc.
  3. Mirror. 2014. Struck lucky: 8 people who got a bump on the head – and became geniuses. April 21. Accessed September 30, 2020. https://www.mirror.co.uk/news/weird-news/struck-lucky-8-people-who-3440301.
  4. Treffert, Darold A. 2009. “The savant syndrome: an extraordinary condition. A synopsis: past, present, future.” Phil. Trans. R. Soc. B 1351-1357.
Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Fatin Zahra Disemak pada seminggu lalu
Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman
x