Manfaat jika biar anak bermain kotor
Perkembangan fizikal
Dengan bermain kotor, kanak-kanak berpeluang melatih dan mengembangkan kemahiran motor halus serta kordinasi tangan dan mata mereka melalui aktiviti seperti memegang, menabur dan menyudu pasir. Aktiviti ini juga menyediakan peluang untuk kanak-kanak membezakan tekstur seperti lembut, kasar, keras dan halus.
Perkembangan emosi dan sosial
Menjadi sifat semula jadi kanak-kanak iaitu penuh dengan rasa ingin tahu. Bermain kotor menggalakkan si kecil untuk melalui pengalaman baru. Semasa bermain kotor, kanak-kanak tidak perlu mengikuti peraturan dan tiada cara khusus untuk mereka bermain kotor. Ketika ini, kanak-kanak diberikan kebebasan untuk membuat sesuka hati mereka. Hal ini dapat meningkatkan rasa yakin diri mereka. Melalui bermain kotor ini juga, si manja anda akan fokus, bijak merancang dan menyelesaikan masalah. Anak anda juga dapat membina hubungan dengan rakan sebaya mereka semasa bermain.
Perkembangan intelektual
Kanak-kanak akan menyiasat, meneroka, mencipta dan lebih memahami dunia di sekeliling mereka. Sewaktu mereka memerhati, meramal, mencuba untuk menyelesaikan masalah dan melihat hasil, kanak-kanak akan lebih memahami kaedah saintifik yang digunakan sepanjang proses bermain kotor.
Perkembangan kreatif
Anak kecil anda berpeluang untuk meningkatkan imaginasi dan kreativiti mereka melalui kotoran yang dimainkan. Melalui pengalaman sensori, kanak-kanak dapat bergerak balas dengan perkara yang mereka lihat, dengar, rasa, sentuh dan hidu. Mereka kemudiannya akan melahirkan perasaan dan pandangan melalui warna, struktur, bentuk dan binaan dalam pemerhatian mereka.
Kesimpulannya, membenarkan anak bermain kotor tidak semestinya anda perlu berikan si manja kebebasan bermain tanah dan pasir di luar rumah. Sebaliknya, kini terdapat banyak pasir kinetik yang dijual di pasaran. Jika ingin lebih jimat, bawalah anak anda bermain pasir di pantai.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen