Ada ibu bapa semakin jarang memeluk anak apabila mereka memulakan zaman persekolahan. Tapi tahukah anda terdapat banyak manfaat pelukan buat anak dan juga ibu bapa itu sendiri?
Ikuti penjelasannya dalam perkongsian artikel ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Ketahui manfaat pelukan
Ingat lagi ketika anak masih kecil, betapa bahagianya rasa setiap kali memeluk si manja? Indah bukan momen itu.
Tetapi kenapa kini anda jarang memeluk mereka?
Sedangkan terdapat banyak faedah saintifik yang boleh terjadi hasil daripada pelukan hangat penuh kasih sayang itu, khususnya dalam perkembangan emosi, kognitif dan fizikal anak.
Ayuh kita bongkar apakah kebaikan pelukan kepada anak.
1. Memeluk anak menjadikan mereka lebih pintar
Anak memerlukan banyak rangsangan deria semasa otak berkembang dan membesar.
Kajian melibatkan bayi di rumah anak yatim menunjukkan mereka mengalami kecacatan kognitif yang teruk.
Tetapi apabila mereka dipegang hanya selama 20 minit sehari untuk tempoh 10 minggu, mereka memperoleh markah lebih tinggi dalam penilaian perkembangan otak.
Bayi baru lahir meneroka dunia melalui sentuhan – sentuhan fizikal seperti pelukan dan sentuhan kulit, yang penting untuk perkembangan.
Daripada 5 deria, sentuhan adalah yang pertama berkembang. Jadi manfaat pelukan (antara sentuhan yang sering diberikan), dapat memberikan rangsangan yang diperlukan otak untuk pertumbuhan dan perkembangan normal.
Baca juga:
2. Memeluk anak dapat menyihatkan mereka
Anak bukan sekadar memerlukan nutrien mencukupi untuk tumbesaran, tetapi sentuhan fizikal juga adalah penting untuk pertumbuhan.
Tanpa sentuhan, ia boleh menyumbang kepada keadaan yang dikenali sebagai kegagalan untuk berkembang.
Namun sebaik sahaja sentuhan kasih sayang diberikan, proses tumbesaran anak yang tidak sihat boleh berubah kepada sihat dengan cepat – itulah antara manfaat pelukan.
Berdasarkan sains, pelukan mencetuskan pembebasan oksitosin – hormon yang dikaitkan dengan rasa percaya, selamat dan kasih sayang. Apabila hormon itu dihasilkan, ia merangsang hormon pertumbuhan tertentu dalam tubuh.
[embed-health-tool-vaccination-tool]
3. Pelukan menghentikan tantrum
Memeluk anak bukan sahaja baik untuk perkembangan otak dan pertumbuhan fizikal mereka, tetapi ia juga menyokong perkembangan emosi.
Tiada apa dapat menenangkan seorang kanak-kanak lebih cepat daripada pelukan hangat individu yang menyayangi mereka.
Selain itu, pelukan juga cara paling berkesan untuk menghentikan tantrum.
Apabila anak kecil mengalami tantrum emosi, mereka melepaskannya sebagai tindak balas kepada sesuatu dalam persekitaran – mereka bukannya degil atau cuba merosakkan hari anda.
Mereka cuma hilang kawalan emosi dan tidak belajar bagaimana mengawalnya.
Manfaat pelukan dalam detik-detik ini akan menenangkan, mengajar mereka bahawa anda tetap ada bersama untuk menyokong semasa keadaan sukar dan membantu menghindari daripada berlakunya emotional breakdown.
4. Memeluk anak menjadikan mereka lebih tabah
Semasa dalam kesusahan dan tekanan, adrenalin dan kortisol dirembeskan ke dalam tubuh dan otak.
Oleh sebab anak tidak belajar cara mengawal emosi, tekanan berlarutan dalam tubuh boleh mencapai tahap toksik.
Jika ia berlaku, hormon tekanan ini boleh memberikan kesan kepada kesihatan anak dari segi mental dan fizikal.
Ia juga boleh membawa kesan negatif semasa dewasa seperti peningkatan risiko penyakit fizikal serta kemurungan dan keadaan buruk yang lain.
Pelukan mencetuskan pembebasan oksitosin, menurunkan tahap hormon tekanan, menahan kesan negatif ini dan membantu anak mengembangkan daya tahan.
5. Memeluk anak eratkan hubungan dengan ibu bapa
Semestinya pelukan akan mewujudkan ikatan lebih kuat antara anak dengan anda.
Pelukan akan meningkatkan kepercayaan, mengurangkan ketakutan dan mengeratkan hubungan – ia manfaat bersama. Memberi dan menerima kasih sayang fizikal ini baik untuk diri anda dan juga anak.
Ikatan ini perlu dipupuk sepanjang masa, walaupun ketika anak sudah membesar, keperluan untuk sentuhan kasih sayang ini tidak akan pernah terhapus.
6. Menguatkan harga diri
Manfaat pelukan kepada anak membantu meyakinkan bahawa diri mereka disayangi. Ia mengembangkan rasa keyakinan diri dan minda positif dalam diri anak.
Gabungan ini akan kekal bersama anak dari zaman kanak-kanak hingga dewasa kelak. Anda juga amat disarankan untuk sentiasa peluk anak bagi meningkatkan keyakinan mereka.
7. Mengajar mengembangkan empati
Apabila anda peluk anak, wujud rasa kehadiran kalian berdua ketika itu – ia menghubungkan perasaan anda dan anak pada tahap emosi dan fisiologi.
Pelukan ini akan mengajar anak nilai empati – ia berlaku apabila mereka mengembangkan pemahaman tentang perasaan anda.
Pelukan itu juga mengajar anak bahawa rasa sayang adalah 2 hala dan dia boleh mempamerkan kasih sayangnya kepada individu lain.
Pendek kata, pelukan adalah pengajaran berkesan untuk menunjukkan anak erti mengasihi.
Memeluk anak dengan keinginan hati mereka
Walaupun individu yang ingin kita peluk adalah anak sendiri, tetapi sebaiknya pelukan tersebut haruslah kerana mereka ingin dipeluk – bukan atas rasa keterpaksaan.
Jika ia berlaku atas rasa terpaksa, manfaat pelukan yang dikongsikan di atas mungkin tidak dapat dirasai sepenuhnya.