home

What are your concerns?

close
Inaccurate
Hard to understand
Other

Kanak-kanak Gemuk Lebih Mudah Alami Depresi? Ini 7 Tanda Kemurungan Pada Si Kecil Obes

Kanak-kanak Gemuk Lebih Mudah Alami Depresi? Ini 7 Tanda Kemurungan Pada Si Kecil Obes

Tahukah anda, kemurungan kanak-kanak sebenarnya amat berkait rapat dengan masalah obesiti yang mereka alami.

Akan tetapi, adakah anda dapat memahami bagaimana kesihatan mental kanak-kanak ini boleh terjejas dengan faktor kegemukan atau obesiti?

Ketahui tanda kemurungan kanak-kanak ini terlebih dahulu!

Pada kebiasaannya, obesiti sering dikaitkan dengan pelbagai masalah kesihatan bersifat fizikal seperti diabetes jenis 2, sakit jantung dan juga strok.

Namun, ramai ibu bapa sebenarnya tidak menyedari bahawa isu obesiti juga boleh berkaitan dengan masalah kesihatan mental kanak-kanak seperti kemurungan.

Anda boleh tahu si kecil sedang mengalami kemurungan melalui tanda-tanda seperti berikut:

  • Mereka tidak berasa bertenaga dan hilang minat untuk melakukan sesuatu perkara yang pernah digemari
  • Tidak mahu bersosial atau bergaul dengan rakan-rakan yang lain
  • Berasa sedih, marah atau memilih untuk berseorangan
  • Tidak mahu ke sekolah
  • Terlalu banyak makan
  • Terlalu banyak atau kurang tidur
  • Berfikiran seperti mahu mencederakan diri sendiri atau orang lain

Selain daripada senarai tersebut, mereka juga mungkin menunjukkan tanda-tanda kurangnya keyakinan diri.

Ini termasuklah perasaan gagal, tidak yakin mampu melakukan sesuatu perkara selain mempunyai masalah akademik di sekolah.

Obesiti boleh jadi punca kemurungan kanak-kanak

kemurungan kanak-kanak

Anda mungkin tidak tahu, jika si kecil anda diejek disebabkan oleh bentuk fizikal mereka yang agak gemuk.

Oleh sebab tubuh badan mereka yang agak besar atau mempunyai berat badan yang berlebihan, mereka dipersendakan kanak-kanak lain.

Persoalan berkenaan ejekan kanak-kanak ini bukanlah satu perkara yang menghairankan.

Ini kerana kajian mendapati, kanak-kanak seawal usia 6 tahun mungkin telah mempunyai stigma atau stereotaip yang negatif terhadap individu obes.

Apabila terdapat sindiran atau ejekan daripada kanak-kanak lain terhadap anak obes, mereka mula akan berasa seperti tidak mahu berkawan dengan orang lain.

Kanak-kanak ini akan berasa bahawa mereka tidak sesuai berkawan disebabkan faktor kegemukan yang dialami.

Mereka juga akan berasa agak keseorangan disebabkan perbezaan daripada aspek fizikal.

Apabila perkara ini kerap berlegar-legar dalam fikiran anak kecil tersebut dalam tempoh yang lama, dia akan jadi lebih sedih sehingga menyebabkan kemurungan kanak-kanak yang tidak disedari.

Kajian sahkan perkaitan antara obesiti dan juga kemurungan

Satu kajian menyatakan bahawa obesiti dalam kalangan kanak-kanak mempunyai perkaitan dengan peningkatan risiko bagi keresahan dan kemurungan kanak-kanak.

Dalam erti kata yang lebih mudah, obesiti kanak-kanak menyebabkan peningkatan risiko untuk mereka mengalami keresahan dan juga kemurungan.

Kanak-kanak perempuan obes mempunyai 43% risiko yang lebih tinggi untuk mengalami kedua-dua perkara tersebut berbanding budak perempuan yang lain.

Manakala bagi kanak-kanak lelaki obes pula, risiko mereka adalah sebanyak 33% lebih tinggi berbanding budak lelaki lain.

Kemurungan juga boleh menyebabkan pertambahan berat badan

kesihatan mental kanak-kanak

Apabila kemurungan melanda seseorang kanak-kanak tersebut, ada di antara mereka yang mula mencari jalan menenangkan diri dengan cara makan dengan banyak tanpa disedari.

Kemurungan yang dialami kanak-kanak juga bukan sahaja berpunca daripada faktor ejekan rakan-rakan, tetapi juga disebabkan faktor lain.

Contohnya, perceraian ibu bapa, pertukaran sekolah, berpindah rumah atau kematian orang tersayang.

Hal ini sedikit sebanyak akan menambahkan lagi berat badan anak apabila mereka kerap makan sewaktu kesedihan melanda.

Apa yang boleh anda lakukan sebagai ibu bapa atau penjaga?

Anda boleh membantu si kecil anda untuk mula menurunkan berat badan mereka.

Penurunan berat badan ini bukan semata-mata bertujuan untuk mengelakkan stigma sosial yang negatif ke atas mereka, tetapi juga untuk kesihatan tubuh badan mereka sendiri.

Antara pengurusan obesiti yang boleh dilakukan untuk anak anda ialah:

  • Mulakan program pengurusan berat badan
  • Tukar tabiat pemakanan seperti makan dengan bahagian lebih kecil atau makan secara perlahan-lahan
  • Sediakan pilihan makanan yang lebih sihat seperti kurang lemak dan elakkan makanan segera
  • Kurangkan pengambilan kalori harian
  • Galakkan mereka untuk sentiasa aktif seperti bersenam
  • Pantau apa yang anak-anak anda makan di sekolah
  • Jangan gunakan makanan sebagai ganjaran kepada anak-anak
  • Kurangkan pengambilan snek

Kesimpulan

Kesihatan mental kanak-kanak perlu dipelihara tanpa mengira bahawa mereka adalah golongan kanak-kanak.

Kesihatan mental kanak-kanak juga sama penting dengan kesihatan mental orang dewasa.

Oleh itu bertindaklah dengan cara yang tepat dan sesuai sekiranya anda mengesyaki si kecil sedang mengalami gangguan mental seperti kemurungan.

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan

Reeves, G. M., Postolache, T. T., & Snitker, S. (2008). Childhood Obesity and Depression: Connection between these Growing Problems in Growing Children. International journal of child health and human development : IJCHD, 1(2), 103–114.

Louise Lindberg, Emilia Hagman, Pernilla Danielsson, Claude Marcus, Martina Persson. Anxiety and depression in children and adolescents with obesity: a nationwide study in Sweden. BMC Medicine, 2020; 18 (1) DOI: 10.1186/s12916-020-1498-z

https://www.bradleyhospital.org/obesity-and-depression-guide-parents

https://www.healthychildren.org/English/health-issues/conditions/obesity/Pages/The-Emotional-Toll-of-Obesity.aspx

Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Muhammad Wa'iz Disemak pada 12/08/2020
Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan