backup og meta

Dari Jauh Bayi Sudah Kenal Bau Ibu? Ini Sebabnya!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 01/11/2023

    Dari Jauh Bayi Sudah Kenal Bau Ibu? Ini Sebabnya!

    Ibu, pernah tak mengalami situasi di mana bauan diri anda dapat menenangkan bayi? Haa…jangan terkejut itu adalah tanda bayi mengenali ibunya.

    Jom fahami lebih lanjut mengenai keajaiban ini.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.

    Tanda bayi mengenali ibunya

    Sebelum bekerja di Hello Doktor, penulis pernah bergelar wartawan automotif. 

    Atas dasar kerja, ada kalanya penulis terpaksa meninggalkan si kecil bersama papanya. 

    Bagi menenangkan bayi dan memastikan anak tidak meragam mahupun merengek, penulis terpaksa meninggalkan baju yang sudah dipakai dan mempunyai kesan tumpahan susu.

    Ada tak ibu-ibu yang turut melalui pengalaman atau situasi yang hampir sama seperti penulis?

    Kadang-kadang kita perlu bangun dan meninggalkan si kecil seketika, dan biasanya mereka akan memusingkan badan dan memandang ke arah ibu.

    Tetapi bagaimana bayi boleh mengenal pasti aroma ibunya? Apakah ia tanda bayi mengenali ibunya? Mengapa bau ibu mempunyai impak sedemikian pada si kecil?

    Secara amnya, dalam aspek penglihatan, si manja hanya dapat memfokuskan matanya pada jarak sekitar 8 hingga 10 inci.

    Namun, mereka dapat mencium bauan ibu daripada jarak yang lebih jauh.

    Bagaimana ia dapat menenangkan bayi?

    Hebatkan apabila si manja boleh ‘menghidu’ dan mengesan bau anda. 

    Tetapi bagaimana keadaan itu berlaku dan adakah ia dianggap sebagai tanda bayi mengenali ibunya?

    Seperti yang kita sedia maklum, perkembangan rongga hidung bermula seawal bulan kedua kehamilan.

    tanda bayi mengenali ibunya

    Perkembangan deria bau dan rasa bermula lebih awal semasa proses tumbesaran janin.

    Menjelang perkembangan janin pada bulan ke-5 kehamilan, bayi dalam kandungan akan mula menelan dan menghisap. 

    Kalau ibu-ibu nak tahu, bayi akan menelan kira-kira setengah liter cecair ketuban bagi setiap 24 jam. Cecair ketuban atau amniotik ini kemudiannya akan dicerna oleh bayi.

    Nutrien yang ada akan masuk ke dalam darah bayi. Proses penyaringan nutrien ini dilakukan melalui tali pusat.

    Hasil daripada penyaringan itu akan diangkut oleh darah ibu ke buah pinggang dan disingkirkan sebagai sisa.

    Sebab itu, ada kalanya doktor akan menguji air kencing ibu yang sedang hamil dan ia merupakan 1 pemeriksaan kehamilan penting.

    Kenapa?

    Ini kerana dengan menguji air kencing ibu, kakitangan perubatan akan mengetahui bagaimana keadaan ibu dan bayi.

    Selepas selamat dilahirkan, tali pusat yang memainkan pelbagai peranan penting seperti sumber makanan dan penghubung dengan ibu semasa 9 bulan kandungan itu akan dipotong.

    Oleh sebab itu, si kecil akan mula menggunakan perkembangan awal deria bau untuk mencari aroma yang dikenali. Itulah tanda bayi mengenali ibunya.

    Baca juga:

    Satu perkara lain yang mungkin tidak ibu sedari adalah untuk tempoh beberapa hari pertama setelah bersalin, tubuh anda akan menghasilkan peluh menyerupai aroma cecair ketuban.

    Sebab itulah bayi boleh kenal bau ibunya, okay?

    Malah, menjelang hari ketiga berada di dunia ini, si manja sudah dapat membezakan bau susu ibunya dengan bau susu milik wanita lain. Hebat! 

    Dalam tempoh seminggu, bayi akan mula mengenali dan mengembangkan jalinan serta ikatan berkaitan wajah ibunya pula.

    Kajian tanda bayi mengenali ibunya

    Terdapat beberapa kajian yang menunjukkan bayi mempunyai kemampuan untuk mengenali dan lebih menyukai bau badan dan susu ibu mereka, walaupun hanya selepas beberapa hari pertama kelahiran. 

    tanda bayi mengenali ibunya

    Sebagai antara individu pertama yang menjaga mereka, tidak hairanlah kenapa bau anda boleh membuatkan si manja berasa selamat serta menenangkan bayi.

    Menerusi satu kajian yang dilakukan pada tahun 2015 dan diterbitkan dalam jurnal Breastfeeding Medicine mendapati bahawa dengan susu badan si ibu sahaja sudah mempunyai kesan untuk menenangkan bayi pramatang.

    Dalam penyelidikan lain oleh saintis di Penn State College of Medicine menunjukkan bagi sesetengah bayi, bau ibu mereka terlalu menarik (too enticing) untuk tidur di bilik yang sama.

    Keadaan itu menyebabkan kedua-duanya, iaitu bayi dan ibu bapa mereka akan kurang tidur.

    Kehebatan si manja

    Dalam tempoh beberapa hari selepas dilahirkan, sebagai tanda bayi mengenali ibunya, mereka dapat mengesan dan membezakan bau anda.

    Berada di antara ruang dagu dan dada si ibu membolehkan bayi berasa dekat dengan anda.

    tanda bayi mengenali ibunya

    Bayi boleh membezakan aroma ibunya dengan hanya membau kulit anda. 

    Anda tidak perlu gusar, sekiranya memilih untuk tidak melakukan penyusuan eksklusif, si kecil masih dapat mengenal bauan dan akan menyukai ibu mereka!

    Umumnya, keupayaan untuk mengenali anda – dan aroma diri – memainkan peranan besar dalam perkembangan sosial anak.

    Semasa bayi, anak akan mengetahui siapa diri ibu dan mula mengembangkan perasaan terikat, yang memberikan rasa selamat dalam hubungan si kecil bersama anda sepanjang kehidupan mereka.

    Di saat mereka menangis kerana lapar, anda muncul memberi susu kepadanya. Setiap kali mereka meragam, anda hadir dan menenangkan bayi sehingga mereka berasa lebih baik.

    Itulah keajaiban si kecil mengenali ibunya.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 01/11/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan