backup og meta

Ibu Bapa, Kenal Pasti 3 Gangguan Pembelajaran Pada Si Kecil (Termasuk Disleksia)!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 29/07/2021

    Ibu Bapa, Kenal Pasti 3 Gangguan Pembelajaran Pada Si Kecil (Termasuk Disleksia)!

    Masalah pembelajaran merupakan antara gangguan belajar yang boleh dialami oleh kanak-kanak.

    Namun terdapat 3 masalah yang paling utama penting untuk dikenal pasti oleh ibu bapa. Teruskan membaca artikel ini untuk mengetahui lebih lanjut.

    Memahami tentang masalah pembelajaran si kecil

    Menurut Pekerja Sosial dan Pendukung Pendidikan dari MLM Advocacy, Monica Mandell, ketidakupayaan atau gangguan belajar adalah 1 masalah berkaitan proses psikologi yang terlibat dalam pembelajaran. 

    “Ketidakupayaan ini boleh menjejaskan cara seseorang individu untuk belajar membaca, menulis, melakukan tugasan matematik atau sebarang proses pembelajaran lain,” ujar Monica.

    Bagi Pakar Psikologi Kanak-kanak dan Pengarah The Help and Healing Center, Dr Jessica Myszak, terdapat 3 masalah ketidakupayaan pembelajaran yang biasa didiagnosis, iaitu:

    1. Disleksia.
    2. Dysgraphia.
    3. Dyscalculia.

    3 masalah pembelajaran atau gangguan belajar yang boleh dialami kanak-kanak

    Disleksia 

    Merupakan sejenis masalah belajar khusus yang kerap berlaku. Kanak-kanak dengan masalah ini akan berdepan gangguan belajar seperti kesukaran menguasai tugasan sekolah walaupun telah berusaha. 

    Mereka dengan masalah ini lazimnya sukar membaca, tulisan tidak berapa kemas dan tidak dapat menyelesaikan masalah matematik.

    Menurut Pakar Perunding Pediatrik dan Perkembangan Pediatrik, Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Raja Juanita Raja Lope, disleksia boleh dikesan awal semasa kanak-kanak mula memasuki tadika.

    Antara isu yang boleh dikenal pasti adalah apabila kanak-kanak berdepan kesukaran mengenal abjad seperti A, B, C.

    Sesetengah kanak-kanak dengan disleksia mungkin akan lambat dari aspek penuturan dan pemahaman.

    masalah pembelajaran

    Ciri-ciri disleksia yang boleh dikesan:

    Pada peringkat prapersekolahan 

    • Lambat bertutur
    • Kesukaran menyebut rima perkataan
    • Sukar menulis nama sendiri
    • Tidak dapat mengenal bentuk atau warna
    • Mengalami kesukaran berkongsi cerita yang didengar

    Pada peringkat persekolahan

    • Gagal menguasai tugasan sekolah seperti membaca, menulis, mengeja atau mengira
    • Tidak suka membaca atau mengelak diri membaca di dalam kelas
    • Kesilapan membaca huruf, perkataan atau nombor – membaca terbalik
    • Kurang koordinasi
    • Keliru dengan konsep seperti ‘semalam’, ‘hari ini’ atau ‘esok’
    • Sukar memahami, mengingati dan mengikuti arahan
    • Selalu tersalah letak, atau kehilangan barang

    Langkah-langkah mengatasi:

    Sebagai ibu bapa pastinya anda akan cuba untuk membantu mereka, bukan? Jadi berikut adalah cara-cara yang boleh anda lakukan:

    • Membantu dan menyokong anak dalam membina keyakinan diri
    • Memberikan rawatan untuk penyakit yang mungkin berkait seperti simptom hiperaktif dan kurang daya tumpuan (ADHD)
    • Mempertingkatkan potensi pembelajaran melalui:
      1. Terapi pertuturan.
      2. Latihan pendengaran dengan bantuan komputer.
      3. Pendekatan penggunaan deria – sentuhan, pendengaran, gerakan bibir dan menulis huruf atau perkataan.

    Disgraphia

    Ia berkaitan masalah sistem saraf mempengaruhi kemahiran motor halus diperlukan untuk menulis. Keadaan itu menimbulkan kesukaran untuk kanak-kanak menulis dan melengkapkan sebarang tugasan.

    Kebanyakan penyelidik tidak dapat mengenal pasti mengapa keadaan ini berlaku kepada kanak-kanak. Manakala bagi individu dewasa ia mungkin melibatkan kecederaan atau trauma pada otak.

    Bagi kanak-kanak, ketidakupayaan ini biasanya berlaku bersama masalah pembelajaran lain seperti ADHD dan disleksia.

    Ciri-ciri disgraphia yang boleh dikesan:

    Kanak-kanak dengan disgraphia mempunyai tulisan tangan yang tidak jelas, tidak teratur, atau tidak konsisten.

    Mereka juga sering mempunyai slant yang berbeza, bentuk, huruf besar dan huruf kecil. Mereka juga cenderung menulis atau menyalin dengan perlahan.

    Tanda-tanda lain, termasuklah:

    • Genggaman sempit, yang boleh menyebabkan tangan sakit
    • Sukar untuk mengganggar jarak atau margin ketika menulis
    • Sering memadam tulisan
    • Tidak konsisten dalam jarak penulisan dan perkataan
    • Lemah dalam mengeja
    • Posisi badan atau pergelangan tangan yang luar biasa ketika menulis

    Langkah-langkah mengatasi:

    Berikut antara beberapa perkara yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk membantu anak-anak dengan masalah disgraphia, iaitu:

    • Berikan anak menggunakan kertas lebar, kertas graf atau kertas bergaris untuk membantunya dalam masalah penjajaran abjad dan perkataan
    • Berikan anak pensil yang mempunyai genggaman (pencil grips) atau sebarang alat menulis untuk keselesaan
    • Berikan anak menggunakan komputer untuk menaip dan bukan menulis, ajarkan mereka menaip pada peringkat awal
    • Jangan mengkritik sebarang kekotoran atau penulisan yang tidak kemas. Sebaliknya puji usahanya dan berikan penghargaan
    • Sedar mengenai keadaan yang berlaku dan maklumkan kepada anak mengenainya
    • Ajarkan mereka untuk menenangkan diri sebelum belajar menulis 
    • Berikannya menggenggam bola stres untuk meningkatkan kekuatan otot tangan dan koordinasinya

    Anda juga dinasihatkan untuk berbincang keadaan anak dengan guru mereka. Ini pastinya akan dapat membantu anak untuk mengatasi gangguan ini dengan sokongan dan bantuan daripada guru di sekolah.

    gangguan belajar

    Dyscalculia

    Keadaan berkaitan otak yang menyebabkan pembelajaran aritmetik asas menjadi sukar. Ia mungkin 1 keadaan yang diwarisi tetapi penyelidik masih belum menemui sebarang gen yang boleh dikaitkan dengannya.

    Saintis mencadangkan keadaan ini sama seperti disleksia – gangguan membaca – tetapi masih belum dalam difahami sepenuhnya.

    Keadaan ini juga dikenali sebagai  ‘disleksia matematik,’ tetapi ini boleh mengelirukan kerana dyscalculia adalah keadaan yang sama sekali berbeza.

    Ciri-ciri dyscalculia yang boleh dikesan:

    Kanak-kanak dengan keadaan ini akan berdepan kesukaran ketika mengira. Mereka mungkin masih mengira menggunakan jari sedangkan kanak-kanak seusia mereka sudah tidak melakukannya lagi.

    • Sukar membuat anggaran seperti berkaitan ketinggian
    • Mengalami masalah dengan perkataan matematik
    • Susah untuk belajar matematik asas seperti tambah, tolak dan darab
    • Sukar memahami pecahan
    • Tidak dapat memahami graf dan carta
    • Kesukaran mengira duit
    • Tidak mampu mengingati nombor telefon atau poskod
    • Tidak tahu memberitahu tentang waktu atau membaca masa

    Langkah mengatasi:

    Menurut pakar, ahli psikologi pendidikan atau pakar neuropsikologi berkaitan dyscalculia, mereka mencadangkan 3 perkara berikut untuk membantu kanak-kanak yang berdepan keadaan ini, iaitu:

    1. Pelan pembelajaran yang direka khas.
    2. Permainan pembelajaran berasaskan matematik.
    3. Mempraktikkan kemahiran matematik lebih kerap berbanding kanak-kanak lain.

    Bagi ibu bapa pula, berikut antara perkara yang boleh dicuba:

    • Biarkan dia menggunakan jari dan kertas apabila mengira
    • Pastikan dia mempunyai alat yang betul seperti kalkulator dan pemadam
    • Gunakan kertas graf. Ia membantu untuk menjadikan penulisan mereka lebih kemas dan teratur
    • Gunakan muzik dan irama untuk mengajar fakta matematik
    • Puji segala usaha kerasnya untuk belajar
    • Ajarkan kepadanya cara untuk mengatasi kegelisahan

    Anda juga dinasihatkan untuk berbincang keadaan anak dengan guru mereka. Ini pastinya akan dapat membantu anak untuk mengatasi gangguan ini dengan sokongan dan bantuan daripada guru di sekolah.

    Akhir kata

    Sekiranya anak anda mengalami gangguan pembelajaran, anda tidak harus membeza-bezakan mereka dengan adik-beradik yang lain. Ini kerana mereka tetap mempunyai kelebihan tersendiri dan boleh mencapai kejayaan sama seperti kanak-kanak lain. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 29/07/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan