Betul ke menggunakan susu kambing untuk bayi kuning ini berkesan? Bagaimana pula dengan kaedah menjemurkan bayi jaundis di bawah sinaran cahaya matahari pagi?
Kalau ingin tahu sama ada petua-petua tersebut mitos atau sebaliknya, teruskan membaca perkongsian artikel ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Masalah bayi jaundis
Sebelum menjawab persoalan mengenai keberkesanan menggunakan susu kambing untuk bayi kuning, ayuh kita ketahui secara ringkas mengapa ia berlaku.
Jaundis merupakan tanda paras bilirubin tinggi dan adalah perkara biasa terjadi pada minggu pertama kehidupan bayi yang baru lahir, khususnya bagi si kecil yang dilahirkan pramatang.
Bilirubin adalah produk daripada pecahan normal sel darah merah, boleh meningkat disebabkan beberapa faktor:
- Bayi baru lahir mempunyai kadar pengeluaran bilirubin lebih tinggi kerana jangka hayat sel darah merah lebih pendek dan kepekatan sel darah merah yang tinggi berbanding dewasa
- Bayi baru lahir mempunyai fungsi hati yang tidak matang – membawa kepada metabolisme bilirubin lebih perlahan
- Berkemungkinan bayi baru lahir mengalami kelewatan penyingkiran mekonium, menyebabkan peningkatan penyerapan semula bilirubin dalam usus
- Kuning yang dialami bayi baru lahir disebut sebagai jaundis fisiologi dan dianggap tidak berbahaya
[embed-health-tool-vaccination-tool]
Jika si kecil yang baru lahir kelihatan kuning, pakar pediatrik akan melakukan ujian darah untuk mengukur tahap bilirubinnya.
Sekiranya keadaan ringan, anda boleh menjaganya seperti biasa dan dinasihatkan untuk menyusukan bayi dengan lebih kerap. Ini akan dapat menggalakkan pergerakan usus bagi mengeluarkan bilirubin melalui najis.
Jadi sesuaikah menggunakan susu kambing untuk bayi kuning?
Rawatan yang lebih sesuai dan biasa digunakan adalah fototerapi – bayi diletakkan di bawah cahaya biru khas bagi membantu memecahkan bilirubin berlebihan.
Susu kambing untuk bayi kuning: Mitos & salah faham
Terdapat banyak salah tanggapan yang dikaitkan dengan jaundis. Berikut adalah fakta di sebalik beberapa mitos yang dipercayai secara meluas.
Mitos 1: Jaundis boleh dirawat dengan terapi cahaya matahari
Fakta: Amalan ini tidak digalakkan kerana ia tidak berkesan dan mungkin berbahaya. Bayi baru lahir yang dijemur di bawah matahari boleh mengalami dehidrasi, sekali gus memburukkan keadaan.
Cahaya matahari secara langsung dan sinaran UV boleh mengakibatkan selaran matahari yang menyakitkan pada kulit nipis si kecil.
Mitos 2: Susu kambing untuk bayi kuning
Fakta: Tiada kajian klinikal yang dapat mengesahkan susu kambing berkesan untuk jaundis neonatal.
Di samping itu, sistem pencernaan dan hati si kecil masih belum matang serta tidak dapat mencerna susu kambing mahupun susu lembu. Malahan kedua-dua susu ini tidak mempunyai nutrien yang diperlukan bayi berbanding susu ibu.
Lebih menakutkan, pengambilan susu tidak dipastur dan tercemar boleh mengakibatkan jangkitan kuman brucellosis.
Brucellosis yang menjangkiti ibu hamil boleh menyebabkan keguguran spontan, kematian janin atau menjangkiti janin dalam kandungan. Bakteria ini juga boleh disebarkan daripada ibu yang dijangkiti kepada anak melalui penyusuan.
Mitos 3: Bayi baru lahir yang mengalami jaundis berkemungkinan mengalaminya lagi ketika dewasa
Fakta: Kebanyakan kes jaundis neonatal adalah fisiologi dan hanya berlaku semasa beberapa hari pertama kehidupan.
Masalah kuning yang berlaku di kemudian hari tidak mempunyai kaitan dengan jaundis neonatal.
Mitos 4: Beri air masak kepada bayi baru lahir untuk ‘membuang’ penyakit kuning
Fakta: Selain memberikan susu kambing untuk bayi kuning, air masak juga dikatakan sebagai kaedah yang membantu menghilangkan jaundis. Namun ia adalah tidak benar.
Walaupun ada kalanya bayi baru lahir yang diberi susu ibu secara eksklusif mungkin mengalami jaundis berpanjangan, tetapi ia bukan sebab untuk berhenti menyusukan si manja atau menambahnya dengan air.
Selagi ibu menyusu tidak mengambil sebarang ubat tradisional dan bayi berada dalam keadaan sihat serta berlaku penambahan berat badan, penyusuan susu ibu secara eksklusif perlu diteruskan.
Bahkan ibu disyorkan untuk menyusukan bayi baru lahir sekurang-kurangnya 8-12 kali sehari dalam beberapa hari pertama bagi menangani jaundis.
Baca juga: