backup og meta

Ibu, Jangan Bagi Bayi Minum Air Putih Sebelum Tiba Usia Ini! Jika Tidak...

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 03/01/2023

    Ibu, Jangan Bagi Bayi Minum Air Putih Sebelum Tiba Usia Ini! Jika Tidak...

    Bolehkah bayi minum air putih? Sudah tentu boleh, namun ibu harus menunggu si manja mencapai usia yang disarankan atau terdapat risiko yang boleh dialami mereka.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.

    Bolehkah bayi minum air putih?

    Sehingga si manja mencapai usia 6 bulan, minuman terbaik untuk diberikan adalah susu ibu atau susu formula – kedua-duanya mempunyai penghidratan dan nutrien yang diperlukan dalam tempoh awal kehidupan.

    Walaupun selepas memperkenalkan makanan pejal apabila bayi mencecah usia 6 hingga 12 bulan, susu ibu dan susu formula masih menjadi keutamaan berbanding air putih. 

    Namun pada tempoh ini, anda boleh mula memperkenalkannya kerana ia dapat membantu mencegah sembelit.

    Jumlah air yang boleh diberikan adalah sekitar 4-8 auns sehari. Jika berlebihan ia boleh menyebabkan mabuk air (water intoxication).

    Di samping itu, terlalu banyak air putih boleh menggantikan nutrisi berharga daripada susu ibu atau formula dan menyebabkan ketidakseimbangan elektrolit bayi.

    bayi minum air putih

    Bayi minum air putih: Fahami risiko terlebih air

    Bayi yang minum air dengan berlebihan adalah sangat berbahaya. Air boleh menyebabkan ketidakseimbangan paras natrium yang mengakibatkan:

    • Sawan
    • Kerosakan otak
    • Koma
    • Kematian 

    Water intoxication membawa kepada perubahan tingkah laku seperti:

    • Kekeliruan
    • Mengantuk
    • Kekejangan otot
    • Pening dan muntah
    • Kesukaran bernafas
    • Lemah 

    Penting untuk ibu ayah memerhatikan tanda-tanda jika bayi mengalami mabuk air dan melakukan pemeriksaan doktor dengan segera sekiranya mempunyai sebarang kebimbangan.

    Baca juga:

    Cara memperkenalkan air kepada si manja

    Kaedah terbaik untuk mengajar bayi minum air adalah melalui cawan atau menggunakan penyedut minuman (straw) – dapat membantu mengembangkan kemahiran minum si manja.

    Percaya atau tidak, air sebenarnya merupakan antara cecair yang paling sukar untuk dipelajari teknik meminumnya.

    Ini kerana air boleh mengalir dengan cepat, sekali gus memerlukan lidah dan otot menelan untuk bekerja dengan sangat cepat. Usah risau sekiranya si manja batuk-batuk kecil apabila baru belajar untuk minum air putih.

    Amnya, kemahiran motor lisan yang diperlukan untuk minum air daripada cawan atau penyedut minuman adalah berbeza daripada pergerakan penyusuan susu ibu atau botol.

    Jadi ia adalah normal apabila bayi mengalami batuk atau memuntahkan kembali air putih yang diminum. Keadaan ini akan berkurangan apabila kemahiran bayi minum air bertambah baik.

    Namun, sekiranya batuk berterusan ketika bayi minum air putih walaupun selepas beberapa bulan masa latihan, berundinglah dengan pakar pediatrik.

    Elakkan daripada menawarkan air putih di dalam botol. Ia boleh mengakibatkan pengambilan air terlalu banyak dan tidak memberikan manfaat kepada perkembangan kemahiran motor oral bayi.

    bayi minum air putih

    Tanda bayi minum air secukupnya

    Pertama sekali, anda harus ingat bahawa hampir 90% daripada susu ibu dan formula bayi (campuran standard) adalah air!

    Anak berusia kurang daripada 12 bulan jarang memerlukan air tambahan.

    Tetapi mengamal dan mengajar bayi minum air putih menggunakan cawan pada usia ini memberikan manfaat kepada perkembangan dan membantu mereka menyesuaikan diri dengan rasa cecair selain susu ibu atau formula.

    Untuk mengetahui sama ada si manja mendapat air yang secukupnya adalah apabila mereka mempunyai antara 4-6 lampin basah dalam tempoh 24 jam.

    Tanda bayi tidak cukup air atau dehidrasi pula termasuklah:

    • Bibir merekah
    • Sedikit atau tiada air mata apabila menangis
    • Mata kuyu
    • Warna air kencing gelap
    • Ubun kepala (anterior fontanelle) tenggelam
    • Cerewet atau meragam
    • Mengantuk yang berlebihan

    Sekiranya anda bimbang bayi mengalami dehidrasi atau tampak terlalu dahaga, ia mungkin petanda wujud masalah kesihatan. Jadi lakukan pemeriksaan doktor segera!

    bayi minum air putih

    Bayi minum air putih: Cara menggalakkan anak minum

    Tip terbaik untuk menggalakkan bayi minum air adalah dengan menunjukkan kepada mereka cara melakukannya.

    Jika bayi tidak berminat untuk belajar minum melalui cawan:

    1. Cuba menuangkan air ke dalam cawan di hadapan bayi.
    2. Ketuk meja untuk menarik perhatian bayi.
    3. Minum sendiri air daripada cawan bayi.
    4. Serahkan cawan kepada bayi di udara dan perhatikan sama ada dia mencapainya atau cuma bersandar.

    Bagi anak yang lebih berusia, anda boleh ajar mereka menuang air daripada jag ke dalam cawan sendiri.

    Lebih banyak anda memberikan kebebasan dan kawalan kepada anak, lebih cepat mereka akan meneroka, menyentuh dan berkemungkinan besar, minum air putih.

    Anda juga boleh menambah potongan buah di dalam air atau daun pudina sebagai menambah rasa dan menjadikan ia lebih menarik untuk diminum.

    Cara terakhir yang boleh anda cuba adalah dengan menawarkan air minuman anda. Ini kerana anak-anak biasanya akan lebih mudah tertarik untuk mencuba dan meminum air kepunyaan ibu dan ayah.

    Anda boleh menawarkan antara 1-2 auns air di dalam cawan kecil untuk menggalakkan bayi minum air dengan sendiri. Bawa cawan tersebut hampir dengan si manja dan biarkan mereka mencapainya sendiri.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 03/01/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan