Si dia berubah ketika anda sedang hamil boleh dianggap keadaan biasa. Namun jika ada penyebab pasangan berubah menjadi pemarah atau sebaliknya, anda harus lebih berwaspada.
Jom ketahui apakah kesan yang boleh terjadi kepada anda dan bayi dalam kandungan akibat perubahan tersebut.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.
Penyebab pasangan berubah adalah kesan tindak balas ketika hamil?
Tidak dinafikan, kehamilan boleh menyebabkan tekanan, kebimbangan, kekecewaan, kekeliruan dan kemarahan bagi lelaki.
Ini terutamanya ketika perlu membuat persiapan untuk menyambut kelahiran bayi, faktor kewangan, tuntutan kerja serta pelbagai isu lain turut terlibat.
Si dia mungkin tidak bersedia menjaga bayi baru lahir dan bimbang ‘kehilangan’ masa untuk diri sendiri dan anda sebagai pasangannya. Wujud juga prospek berkaitan isu berkongsi perhatian dan kasih sayang anda dengan bayi.
Apa yang dilalui suami adalah perkara biasa. Namun perkara paling penting adalah cara si dia mengendalikannya.
Tindak balas lelaki kepada kehamilan
Bagi sesetengah lelaki, mereka mengalami tindak balas kuat terhadap kehamilan, menjadi penyebab pasangan berubah ketika hamil. Si dia boleh bertukar menjadi pemarah yang seterusnya membawa kepada keganasan.
Kehamilan boleh menjadi tempoh untuk sesetengah lelaki menggunakan keganasan buat pertama kalinya dalam perhubungan. Atau jika mereka pernah melakukan keganasan sebelum ini, perilaku tersebut mungkin akan berulang.
Wanita yang berada dalam perhubungan ini seringkali diselubungi kebimbangan dan ketakutan akan mencetuskan perilaku ganas sang suami.
Keganasan berlaku apabila seseorang menggunakan kuasa mereka untuk menyakiti, mengawal atau membuli individu lain. Terdapat pelbagai jenis keganasan yang boleh berlaku dalam bentuk lisan, emosi atau fizikal.
Penyebab pasangan berubah dan kaitannya dengan masalah keganasan rumah tangga
Seperti yang dinyatakan tadi, keganasan rumah tangga boleh berlaku dalam bentuk fizikal, seksual, emosi, psikologi atau kewangan. Dianggarkan 1 daripada 4 wanita mengalami masalah ini dalam satu fasa kehidupan mereka.
Sesetengah penderaan mula terjadi kepada wanita ketika hamil. Terdapat juga di mana penderaan menjadi lebih teruk semasa atau selepas kehamilan terjadi.
Keganasan rumah tangga atau penderaan ini boleh menyebabkan masalah kesihatan emosi dan mental, termasuklah tekanan serta kebimbangan. Ia juga meletakkan anda dan anak dalam kandungan dalam keadaan bahaya.
Ia mungkin sangat sukar untuk mengenal pasti atau mengakui apa yang sedang berlaku dan penyebab pasangan berubah. Namun, ingatlah keganasan rumah tangga dan penderaan ini boleh berlaku kepada sesiapa dan anda tidak keseorangan.
Kesan keganasan ketika hamil
Apabila pasangan tiba tiba berubah dan melakukan keganasan seperti kecederaan fizikal atau trauma, ia menyebabkan hormon tekanan individu yang terdedah kepadanya meningkat.
Jika keganasan berlaku kepada wanita mengandung, hormon tekanan ini akan melalui plasenta kepada bayi yang sedang membesar di dalam kandungan. Ia boleh menjejaskan perkembangan bayi.
Keganasan yang terjadi semasa hamil juga boleh menyebabkan keguguran, risiko tinggi untuk kelahiran pramatang dan kematian bayi baru lahir.
Penyebab pasangan berubah: Keganasan selepas bayi dilahirkan
Seperti anda yang akan bergelar ibu, menjadi seorang ayah juga bukanlah perkara mudah. Mereka juga perlu belajar cara menjaga dan bertindak balas terhadap keperluan bayi.
Suami anda mungkin berasa kecewa atau hilang keyakinan diri jika mereka tidak tahu apa yang perlu dilakukan.
Selain itu, pasangan tiba tiba berubah mungkin disebabkan tekanan kerja, ketegangan hubungan atau kurang tidur. Impak daripada tekanan ini boleh membawa kepada kemarahan dan menjurus ke arah keganasan.
Jika keadaan ini berlaku, si dia mungkin berisiko kehilangan kawalan diri dan boleh mencederakan anda atau bayi.
Penyelesaian terbaik mengatasi masalah penyebab pasangan berubah
Melakukan perubahan daripada menjadi pasangan kepada ibu bapa bukanlah perkara yang mudah. Ia melibatkan perubahan pada kehidupan anda dan juga pasangan serta perhubungan kalian berdua.
Idea yang baik untuk mengatasi situasi pasangan berubah sikap adalah dengan berbincang antara satu sama lain mengenai perasaan kalian berdua dan sebarang kebimbangan mengenai masa hadapan, termasuklah berkaitan:
- Harapan
- Ketakutan dan kebimbangan
- Jangkaan tentang kehidupan bersama bayi
- Jenis ibu bapa yang bagaimana kalian ingin jadi
- Bagaimana kalian boleh menyokong antara satu sama lain
Anda juga mungkin mendapati ia berguna untuk:
- Berkomunikasi secara terbuka dan jujur tentang perasaan anda berdua. Bergilir-gilir untuk mendengar antara satu sama lain
- Mencuba untuk tidak menuduh atau terlalu negatif, sebaliknya fikirkan perkara praktikal yang boleh kalian berdua lakukan untuk menjadikan keadaan lebih baik
- Cuba memahami perkara dari sudut pandangan pasangan dan diri sendiri
- Bina pelan kesejahteraan untuk memahami perasaan diri dan membantu anda membincangkannya dengan pasangan
Kesimpulan
Tetapi ia mungkin membuatkan kalian berdua berasa lebih bersedia untuk perubahan yang akan datang dan menyakinkan diri bahawa perhubungan anda berdua adalah kuat, sihat dan penuh kasih sayang.
[embed-health-tool-due-date]