home

What are your concerns?

close
Inaccurate
Hard to understand
Other

Jangan Geli Mummy, Ini Perihal Tentang Kencing & Najis Bayi Baru Lahir

Jangan Geli Mummy, Ini Perihal Tentang Kencing & Najis Bayi Baru Lahir

Memeriksa dan memahami kencing dan najis bayi baru lahir bukanlah sesuatu yang menjijikkan. Bahkan, ia merupakan satu cara terbaik untuk memeriksa kesihatan si manja dengan mudah.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.

Air kencing bayi baru lahir

Bayi yang baru dilahirkan boleh membuang air kecil atau kencing dengan kerap dalam sehari.

Malahan, kekerapan menukar lampin basah adalah petanda baik, iaitu si kecil mendapat semua cecair yang diperlukan dan terhidrat sebaiknya.

Apabila bayi semakin membesar, kekerapan lampin basah akan berkurangan, tetapi ia masih dalam anggaran yang banyak iaitu 6-8 kali sehari.

Anda boleh mengetahui berapa kerap bayi kencing dengan menilai berat lampinnya.

Amnya, warna air kencing bayi boleh menunjukkan tahap kesihatan si manja.

Kencing yang berwarna seakan merah jambu atau kuning cerah, tidak mendatangkan sebarang kebimbangan. Ia berlaku kerana tindak balas air kencing dengan bahan kimia dalam lampin.

Sebaliknya, jika si kecil jarang kencing atau warna air kencingnya lebih gelap, ia menandakan mereka mungkin mengalami dehidrasi atau tidak menyusu dengan secukupnya.

najis bayi baru lahir

Jika air kencing berwarna merah atau coklat dan anda merasakan ia mungkin mengandungi darah mahupun bayi tampak tidak sihat, bawa mereka untuk pemeriksaan doktor dengan segera!

Memahami tentang najis bayi baru lahir

Najis pertama bayi yang baru dilahirkan akan kelihatan hitam atau hijau tua seperti tar – dikenali sebagai mekonium.

Usah bimbang, ia perkara biasa kerana tubuh si kecil sedang mengosongkan perut dan usus selepas berada di dalam rahim selama hampir 9 bulan. Keadaan ini boleh berlangsung selama beberapa hari.

Apabila tempoh tersebut berakhir, pelbagai perubahan normal berkaitan jenis, bau serta kekerapan bayi membuang air besar akan berlaku.

Kekerapan untuk berak antara 3x sehari atau 3x seminggu adalah perkara biasa.

Bayi boleh membuang air besar semasa atau sejurus selepas menyusu, keadaan ini dikenali sebagai refleks gastro-kolik.

Perubahan pada najis bayi baru lahir seiring peredaran masa akan berlaku dalam aspek:
  • Kekerapan – berapa kerap bayi membuang air besar
  • Warna
  • Konsistensi – pejal, berair atau di antara kedua-duanya
  • Bau – biasanya akan lebih berbau setelah bayi mula mengambil makanan pejal

Kesemua perubahan itu biasanya bergantung kepada diet si manja.

najis bayi baru lahir

Susu badan

  • Teksturnya boleh lembut atau berair
  • Warna seakan mustard atau biasanya kuning-oren, boleh juga berwarna kehijauan
  • Kekerapan untuk berak akan berkurangan selepas beberapa bulan tetapi masih agak lembut teksturnya
  • Berbau agak manis dan juga boleh dipengaruhi oleh apa yang dimakan ibu

Susu formula & najis bayi baru lahir

  • Teksturnya boleh berbeza-beza sama ada keras atau lembut
  • Berwarna kelabu-kuning (atau kelabu-biru), ada juga sedikit kecoklatan

Jika ibu menukar susu formula, ia boleh mengakibatkan perubahan pada tekstur dan warna najis si kecil.

Makanan pejal & najis bayi baru lahir

  • Teksturnya lebih pejal dan agak berbau apabila anda mula memperkenalkan makanan pejal
  • Boleh kelihatan seperti makanan pejal yang tidak dihadam dengan baik – ia normal kerana sistem penghadaman mereka masih belum berkembang sepenuhnya

Baca juga:

Najis bayi baru lahir: Masalah ketika buang air besar

Berikut antara masalah biasa yang sering dialami bayi:

Sembelit

Keadaan di mana najis bayi baru lahir keras dan kering seperti guli atau batu kerikil kecil dan biasanya menyebabkan kesukaran untuk bayi mengeluarkannya.

Sembelit cenderung berlaku pada bayi yang diberikan susu botol. Keadaan ini terjadi apabila susu formula tidak dibancuh dengan betul di mana kandungan airnya mungkin terlalu sedikit. Namun ia juga boleh berlaku disebabkan faktor lain.

Ada juga keadaan di mana bayi kelihatan seperti perlu meneran untuk berak tetapi ia bukanlah bermakna mereka mengalami sembelit.

Bayi yang kecil boleh menangis, muka kemerahan atau merengus semasa membuang air besar dan keadaan ini akan beransur-ansur hilang apabila mereka membesar.

Sekiranya bayi tidak kerap membuang air besar tetapi tekstur najisnya lembut dan mudah dikeluarkan, tiada apa yang perlu dibimbangkan.

najis bayi baru lahir

Walau bagaimanapun, jika bayi tampak sukar membuang air besar dan keadaan ini berterusan atau anda terlihat tompokan darah dalam najis, sebaik-baiknya lakukan pemeriksaan doktor.

Doktor boleh memberikan preskripsi pelembut najis jangka pendek sekiranya perlu.

Cirit-birit

Keadaan ini berlaku apabila bayi mempunyai najis yang sangat cair atau berair, lebih kerap daripada biasa. Jika ia disertai dengan muntah, bayi mungkin mengalami jangkitan usus.

Dalam situasi tersebut, amat penting untuk anda membawa si kecil melakukan pemeriksaan doktor dengan segera bagi memastikan bayi tidak mengalami dehidrasi.

Najis bayi pucat

Sekiranya bayi mengalami jaundis dan mempunyai najis berwarna kuning pucat, putih atau kelabu, bawa mereka untuk pemeriksaan doktor segera. Ini kerana keadaan itu boleh menjadi tanda penyakit hati yang jarang berlaku.

Pastikan anda mengambil gambar dan juga sampel najis bayi untuk membolehkan doktor melakukan pemeriksaan.

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan
  1. Poos and wees. https://www.pregnancybirthbaby.org.au/nappies-poos-and-wees, Accessed on Nov 5, 2021
  2. Constipation: Infant. https://www.nationwidechildrens.org/conditions/constipation-infant, Accessed on Nov 5, 2021
  3. Poos and wees. https://raisingchildren.net.au/babies/health-daily-care/poos-wees-nappies, Accessed on Nov 5, 2021
  4. Newborn Baby Poos and Wees: What’s Normal? https://soteria.co.nz/baby-care/newborn-baby-poos-and-wees/, Accessed on Nov 5, 2021
  5. Newborn baby poo in nappies: what to expect. https://www.nct.org.uk/baby-toddler/nappies-and-poo/newborn-baby-poo-nappies-what-expect, Accessed on Nov 5, 2021
  6. Baby’s Poop And Pee. https://www.babybonus.msf.gov.sg/parentingresources/web/Newborn/NewbornWell-Being/NewbornDaily_Care/Newborn_Poos_Wees, Accessed on Nov 5, 2021
Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Asyikin Md Isa Disemak pada 3 minggu lalu
Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor