Apabila cukup tempoh 9 bulan anda mengandung, anda semakin menghampiri tempoh melahirkan anak. Pastinya pelbagai petua berkaitan kaedah memudahkan proses bersalin diberikan, antaranya penggunaan air selusuh untuk ibu hamil.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.
Apa itu air selusuh?
Pada dasarnya, air selusuh merupakan air yang terkenal dalam kalangan masyarakat berbangsa Melayu. Ia merupakan air yang dibacakan ayat suci Al-Quran dan kemudiannya diberikan kepada ibu hamil dengan bertujuan untuk memudahkan proses bersalin.
Ini kerana ia dipercayai dapat memudahkan dan mempercepatkan proses bersalin selepas ibu yang hamil mula mengalami tanda-tanda nak bersalin atau kontraksi.
Fungsi air ini bukan sahaja untuk diminum, malahan boleh disapu pada perut.
Terdapat juga cara penyediaan yang merendam akar Fatimah (rose of jericho) yang kebiasaannya diperolehi dari Mekah.
Malahan ada yang menggunakan air zam-zam, minyak kelapa dara serta minyak zaitun dalam proses penyediaan dan pembuatan air ini.
Benarkah air selusuh dapat percepatkan proses bersalin?
Secara saintifiknya, tiada kajian atau penyelidikan yang boleh membuktikan bahawa air ini boleh membantu mempermudahkan proses kelahiran.
Ia hanyalah ikhtiar yang bersandarkan kepada kekuasaannya Allah SWT. Oleh kerana itu, air ini menggunakan bacaan ayat-ayat Al-Quran.
Menurut Pakar Obsterik & Ginekologi, Dr Muhammad Izzat, terdapat penyediaan yang menggunakan bahan seperti akar fatima, akar kayu dan herba lain di dalam air tersebut.
Hal ini sekali gus menjadi, campuran dan gabungan air dengan tambahan bahan herba lain akan mewujudkan bahan kimia aktif.
Ia akhirnya menyebabkan hormon oksitosin – hormon yang berkaitan dengan kontraksi rahim – muncul, dan membuatkan proses bersalin itu lebih cepat.
Kaedah orang dulu-dulu yang berbahaya
Mungkin anda pernah mendengar sekurang-kurangnya sekali satu kaedah orang dulu-dulu tentang mempercepatkan bersalin.
Ibu hamil juga mungkin akan menerima beberapa nasihat tentang perkara bagaimana yang perlu anda lakukan untuk memujuk bayi keluar tepat pada masa, atau lebih awal beberapa hari, contohnya:
- Bawa kereta pada jalan berlekak-lekuk
- Mogok lapar
- Lakukan senaman
- Jadi takut
- Gunakan julap
- Minum teh herba
- Makan makanan pedas
- Minum minyak jarak/ kastor
Wanita dalam pelbagai generasi selalunya menyebarkan mulut-ke-mulut tentang kaedah penggunaan minyak jarak, kerana ia akan menimbulkan masalah dalam usus anda, yang merangsang bahagian bawah tubuh anda dan mula untuk mengejang bagi melahirkan bayi.
Walau bagaimanapun, jika anda menggunakan kaedah ini apabila masa bersalin anda masih belum tiba, anda akan mengalami cirit-birit.
Anda perlu ingat kebanyakan cara orang lama bukanlah berdasarkan sains dan ia tidak semestinya berhasil.
Sesetengah cara juga malahan bukanlah sesuatu yang bijak. Lebih-lebih lagi cara mogok lapar, ia tidak bagus untuk anda dan bayi.
Adakah penggunaan air selusuh digalakkan kepada ibu hamil?
Bagi Dr Muhammad Izzat, beliau secara peribadinya tidak mengalakkan ibu hamil meminum air ini disebabkan beberapa faktor, iaitu:
- Pengambilannya mungkin memberikan risiko kepada ibu.
- Penggunaan air ini sebenarnya seperti memaksa pintu rahim untuk terbuka sedangkan ia belum tiba waktunya untuk bersalin.
- Meminum air ini boleh sebabkan kesakitan kontraksi yang teramat sangat, sedangkan pintu rahim masih belum terbuka.
- Tingkatkan risiko komplikasi, bukan sahaja kepada ibu yang mengandung tetapi juga kepada bayi dalam kandungan.
Cepat bersalin secara saintifik
Sesetengah ibu hamil yang sedang menunggu kelahiran bayi mungkin mengalami proses bersalin yang agak lambat dan memakan masa yang lebih lama berbanding dari yang sepatutnya.
Berikut adalah dua petua orang lama yang boleh anda cuba, yang secara saintifiknya dapat membantu mempercepatkan proses bersalin.
Kerap berjalan:
Aktiviti mudah ini boleh membantu ibu hamil menolak bayi anda ke kawasan pelvik disebabkan oleh graviti dan operasi di pinggul anda.
Tekanan bayi yang memberi kesan pada pelvik boleh merangsang servikal anda atau membantu anda terasa lebih kekejangan.
Urutan:
Beberapa kajian menunjukkan bahawa urutan boleh meningkatkan tahap hormon oksitosin dalam tubuh anda dan merangsang kontraksi untuk kelahiran.
Jika anda tidak biasa dengan urutan, mediatasi atau juga pelukan dengan pasangan anda boleh membantu anda melepaskan tekanan dan meningkatkan tahap hormon oksitosin dalam tubuh anda.
Meskipun kaedah di atas adalah berasaskan saintifik; ia tidak bermakna bahawa doktor akan menasihatkan anda untuk mencuba salah satu daripadanya.
Secara semula jadi
Secara amnya, ibu hamil perlulah bersabar dan biarkan anda bersalin semula jadi, tanpa perlu dipaksa. Anda juga tidak perlu mengambil air selusuh sekiranya risau mengenai kesihatan diri dan kandungan.
Jika anda masih mempunyai sebarang soalan atau kekeliruan mengenai kaedah bersalin, bertanyakan kepada doktor atau pakar fertiliti untuk mendapatkan pandangan dan solusi.
[embed-health-tool-pregnancy-weight-gain]