backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

9 Masalah Kelainan Sperma Yang Mungkin Jadi Punca Isteri Masih Belum Hamil!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nurul Halifah · Disemak pada 15/11/2022

    9 Masalah Kelainan Sperma Yang Mungkin Jadi Punca Isteri Masih Belum Hamil!

    Terdapat pelbagai jenis kelainan sperma yang boleh mempengaruhi tahap kesuburan lelaki.

    Artikel ini akan menyenaraikan 9 masalah sperma tidak normal yang berpotensi untuk menyukarkan usaha anda bagi menimang cahaya mata.

    Teruskan membaca untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut. 

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Lelaki, sila dapatkannya di sini.

    #1 Aspermia, tiada sperma mahupun air mani yang keluar semasa klimaks

    Bagi individu yang didiagnosis dengan masalah ini, mereka hanya mengalami orgasme kering sahaja ketika mencapai klimaks.

    Individu yang mempunyai masalah aspermia tidak mengeluarkan sperma mahupun air mani semasa ejakulasi. Keadaan ini lazimnya dikenali sebagai orgasme kering.

    Ia berbeza dengan masalah azoospermia yang masih boleh menghasilkan air mani tanpa sperma.

    Situasi ini boleh berpunca daripada kecacatan genetik, ejakulasi terbalik, laluan reproduktif yang tidak normal, ketidakseimbangan hormon, kencing manis, rawatan kanser testis dan masalah disfungsi seks teruk.

    #2 Hipospermia, jumlah ejakulasi terlalu sedikit

    Apabila jumlah ejakulasi anda sedikit (tidak sampai ⅓ sudu atau kurang daripada 1.5 mililiter cecair), anda dikatakan menghidap masalah hipospermia.

    Walaupun masalah kelainan sperma ini mempunyai punca yang hampir sama dengan apa yang menyebabkan aspermia, namun ia lazimnya berpunca daripada masalah ejakulasi terbalik.

    Dalam situasi tersebut, air mani mengalir memasuki pundi kencing dan tidak keluar melalui uretra semasa ejakulasi.

    #3 Azoospermia, tiada sperma di dalam air mani

    Apabila anda boleh menghasilkan air mani pada isipadu normal namun tiada sperma di dalamnya, keadaan tersebut dikenali sebagai azoospermia.

    Oleh sebab mereka yang mengalaminya mempunyai rupa air mani normal, maka keadaan ini hanya boleh didiagnosis melalui analisis air mani.

    Antara masalah kelainan sperma yang lazim menyebabkan azoospermia adalah:

    1. Kecacatan struktur pada laluan reproduktif lelaki. 
    2. Masalah genetik. 
    3. Halangan pada laluan seminal (laluan air mani dan sperma bertembung). 

    Selain daripada apa yang tersenarai, jangkitan kelamin juga boleh menyebabkan masalah azoospermia. Begitu juga keadaan lain seperti rawatan kanser testis, ketidakseimbangan hormon dan sebagainya.

    Azoospermia adalah kelainan sperma yang paling teruk jika dilihat pada konteks kesuburan lelaki.

    #4 Oligozoospermia, kiraan sperma kurang daripada biasa

    kelainan sperma

    Oligozoospermia mempunyai beberapa tahap keterukan; ringan, sederhana, teruk dan ekstrem.

    Lazimnya, apabila seseorang itu mengalami masalah kiraan sperma rendah, ia disertakan dengan masalah berkaitan pergerakan dan bentuk sperma.

    Antara punca bagi keadaan ini adalah:

    1. Penyakit seliak. 
    2. Masalah genetik. 
    3. Ketidakseimbangan hormon. 
    4. Kesan sampingan ubat. 
    5. Rawatan kanser. 
    6. Varikosel. 
    7. Kecacatan struktur pada laluan reproduktif. 
    8. Jangkitan kuman. 
    9. Testis tidak turun. 
    10. Kencing manis tidak terkawal.

    #5 Asthenozoospermia, pergerakan sperma tidak normal

    Apabila sebahagian besar sperma anda tidak bergerak dengan normal, anda boleh didiagnosis dengan masalah kelainan sperma ini.

    Kebiasaannya, mereka yang mempunyai sperma dengan pergerakan tidak normal, turut mengalami kekurangan pada jumlah kiraan sperma.

    Keadaan ini boleh mempengaruhi tahap kesuburan lelaki. Ia boleh berlaku disebabkan oleh:

    1. Pengambilan alkohol berlebihan. 
    2. Toksin. 
    3. Pemakanan tidak sihat. 
    4. Penggunaan dadah terlarang. 
    5. Merokok. 
    6. Kesan sampingan ubat. 
    7. Penyakit kronik. 

    #6 Teratozoospermia, tidak kelihatan seperti berudu lagi

    Bagi mereka yang mengalami masalah kelainan sperma jenis ini, majoriti sperma mereka tidak mempunyai bentuk yang normal.

    Sperma normal mempunyai kepala berbentuk bujur dengan ekor yang panjang persis berudu.

    Bagi sperma tidak normal pula, bentuk kepala mereka boleh jadi pelik, ia mempunyai lebih daripada 1 kepala dan lebih daripada satu ekor.

    Apabila sperma berbentuk tidak normal, ia mempunyai peluang yang sangat tipis untuk bersenyawa dengan ovum.

    Masalah ini kebiasaannya berpunca daripada kecacatan genetik.

    #7 Oligoasthenoteratozoospermia, pakej tiga dalam satu

    kelainan sperma

    Apabila sperma anda mempunyai kiraan, pergerakan dan bentuk tidak normal, ia merupakan gabungan tiga kecacatan membentuk oligoasthenoteratozoospermia (OAT).

    Ini merupakan antara punca lazim yang menyebabkan masalah kesuburan lelaki.

    OAT mempunyai tahap keterukan berbeza (ringan, sederhana dan teruk). Perkara tersebut akan menentukan rawatan dan potensi kesembuhan penyakit ini.

    #8 Necrozoospermia, apabila sperma menjadi zombie

    Berbeza dengan asthenozoospermia (sperma tidak bergerak tetapi hidup), masalah kesihatan ini dimanifestasikan oleh kematian sperma.

    Rawatan yang boleh dipreskripsikan kepada penghidap masalah ini berbeza berbanding dengan mereka yang mempunyai sperma hidup.

    Puncanya masih belum difahami memandangkan keadaan kesihatan ini sangat jarang ditemui.

    Dengan kaedah teknologi perubatan yang canggih, mereka yang mengalami masalah ini masih boleh menimang cahaya mata melalui kultur sel sperma yang belum matang dari testis pesakit.

    #9 Leukocytospermia, apabila sel darah putih mencelah masuk

    Leukocytospermia adalah keadaan di mana air mani pesakit mengandungi sel darah putih. 

    Keadaan ini boleh mengganggu integriti sperma sehingga menyebabkan masalah kesuburan.

    Kehadiran sel darah putih di dalam air mani menandakan jangkitan atau masalah autoimun.

    Konklusi

    Terdapat pelbagai punca yang boleh menyebabkan masalah kelainan sperma.

    Jika anda mengalami kesukaran untuk menghamilkan isteri, pastikan anda berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan khidmat nasihat kesihatan dan rawatan jika perlu.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nurul Halifah · Disemak pada 15/11/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan