backup og meta

9 Kriteria Yang Dilihat Dalam Ujian Air Mani, Apa Persediaan Yang Perlu Saya Buat?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 06/07/2021

    9 Kriteria Yang Dilihat Dalam Ujian Air Mani, Apa Persediaan Yang Perlu Saya Buat?

    Ujian air mani merupakan salah satu ujian yang penting untuk dijalani oleh pasangan yang ingin menimang cahaya mata.

    Ia seringkali disarankan oleh doktor kepada pasangan yang mengalami kesukaran untuk mendapatkan anak.

    Ujian air mani turut dikenali dengan nama lain seperti ujian sperma, seminogram atau analisis sperma.

    Dengan kata mudah, ia merupakan satu ujian untuk menguji tahap kesuburan lelaki berdasarkan kepada kualiti dan kiraan sperma di dalam air mani.

    Jika anda ingin mengetahui dengan lebih lanjut perihal ujian ini, teruskan membaca.

    Mengapa saya perlu menjalani analisis air mani?

    Berbeza dengan kepercayaan orang dahulu kala, lelaki turut boleh menjadi punca kepada kesukaran untuk menimang cahaya mata.

    Seringkali wanita menjalani pelbagai jenis ujian kesuburan untuk mengenal pasti sebarang punca kepada masalah untuk mendapatkan anak, walhal ketidaksuburan itu mungkin berpunca daripada suami.

    Dalam situasi tertentu, ujian air mani boleh disarankan sebagai ujian pertama dalam usaha mengesan masalah ketidaksuburan.

    Ia berikutan ujian ini selamat, lebih mudah untuk dijalankan, tidak invasif dan agak murah berbanding dengan ujian kesuburan bagi wanita.

    Tambahan pula, jika puncanya memang datang daripada lelaki, masalah kesuburan itu lebih mudah untuk dikenal pasti dan dirawat.

    Namun, jangan pelik pula jika doktor mengesyorkan ujian kesuburan turut dijalani oleh wanita selepas lelaki didiagnosis dengan masalah ketidaksuburan.

    Ia berikutan kesukaran untuk menimang cahaya mata boleh berpunca daripada masalah yang dialami oleh kedua-dua pasangan.

    Apa yang diperiksa dalam ujian air mani?

    ujian air mani

    Analisis air mani bukan sahaja melihat kepada aspek keberadaan sperma dan pergerakannya, ia turut menilai kualiti dan kuantiti sperma serta cecair seminal.

    Seperti yang anda sedia maklum, terdapat pelbagai jenis faktor yang boleh mempengaruhi keupayaan sperma untuk bersenyawa dengan ovum

    Setiap faktor perlu diselidiki dengan lebih teliti agar tiada yang terlepas pandang.

    Antara faktor yang dinilai oleh doktor adalah seperti berikut:

    1. Kadar motiliti sperma: Motiliti merupakan salah satu elemen penting yang diperiksa dalam analisis sperma. Ia melihat kepada peratusan sperma yang bergerak di dalam sampel air mani serta jenis pergerakan. Sekurang-kurangnya 50% sperma perlu bergerak dan jenis pergerakan boleh dinilai sama ada ia boleh bergerak dalam garisan lurus (gred 4) atau tiada pergerakan ke hadapan (gred 1).
    2. Kiraan sperma: Penilaian ini mengira jumlah sperma bagi setiap mililiter air mani. Jika jumlah sperma bagi setiap mililiter adalah kurang daripada 15 juta, maka kiraan sperma anda dianggap rendah. Lebih teruk lagi jika seseorang itu tidak mempunyai sebarang sperma di dalam air mani (keadaan yang dikenali sebagai azoospermia).
    3. Jumlah sperma yang bergerak di dalam sampel air mani anda.
    4. Isipadu cecair seminal yang terdapat pada sampel. Umumnya, ia berada pada sukatan 2 hingga 5 mililiter.
    5. Morfologi: Peratusan sperma dengan bentuk normal.
    6. Tahap kelikatan cecair seminal.
    7. Jumlah masa yang diperlukan untuk menjadi cair. Umumnya, air mani berada dalam bentuk separa pepejal sebelum bertukar menjadi cecair.
    8. pH: Ukuran tahap keasidan air mani. Amnya, pH air mani berada sekitar 7.4 hingga 8.4.
    9. Kiraan sel darah putih: Jika terdapat banyak darah putih di dalam sampel air mani, ia boleh disebabkan oleh masalah keradangan atau jangkitan.

    Bagaimana cara untuk saya bersedia?

    ujian air mani

    Bukan sahaja persediaan fizikal, persiapan mental juga penting sebelum anda menjalani ujian sebegini.

    Anda akan diterangkan berkenaan dengan ujian serta pilihan rawatan yang ada sebelum analisis sperma dijalankan.

    Tujuannya adalah untuk memastikan anda memahami matlamat pelaksanaan ujian tersebut dan apa yang anda boleh harapkan jika keputusan yang keluar tidak normal.

    Lazimnya, doktor akan menyarankan anda tidak melakukan hubungan seks atau sebarang aktiviti yang boleh menjurus kepada ejakulasi untuk 2 hingga 5 hari sebelum ujian.

    Namun, jangan pula anda elak hubungan seks seminggu dua sebelum ujian. Perkara tersebut boleh menyebabkan sperma menjadi tidak aktif.

    Anda akan diarahkan untuk mengeluarkan sampel semasa ujian air mani di dalam bilik khas menggunakan kaedah masturbasi.

    Jika anda tidak selesa dengan kaedah ini, doktor boleh memberikan kondom khas yang boleh digunakan untuk mengumpul sampel air mani.

    Sampel tersebut kemudiannya perlu dihantar kepada doktor dalam masa tidak lebih daripada 60 minit.

    Walau apa jua cara sekalipun, anda tidak perlu risau. Doktor akan memberikan panduan kepada anda supaya anda tidak keliru.

    Konklusi

    Ujian air mani boleh membantu doktor untuk mengesan masalah kesuburan pada lelaki.

    Mereka yang sukar mendapatkan cahaya mata akan disarankan untuk menjalani ujian ini.

    Ia mudah, efektif, murah dan tidak invasif seperti kebanyakan ujian kesuburan yang dijalani oleh wanita.

    Sekiranya anda mempunyai sebarang persoalan, sila ajukan kepada doktor bertauliah untuk rujukan dan khidmat nasihat kesihatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 06/07/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan