backup og meta

Wanita Kahwin Awal Lebih Cepat Hamil? Ada Kaitan Dengan Usia, Makin Muda Makin Tinggi Peluang

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 27/07/2021

    Wanita Kahwin Awal Lebih Cepat Hamil? Ada Kaitan Dengan Usia, Makin Muda Makin Tinggi Peluang

    Anda mesti sedar yang tahap kesuburan wanita banyak berkait rapat dengan usia, bukan? Jadi apakah peluang hamil yang ada mengikut peningkatan usia? Jom ketahuinya.

    Tahap kesuburan vs usia

    Banyak cara dan ujian boleh dilakukan oleh doktor sebagai petunjuk untuk melihat tahap kesuburan bagi menentukan peratusan untuk seseorang wanita itu mengandung.

    Tetapi terdapat 1 cara paling mudah iaitu berdasarkan faktor usia anda sekarang. Ia adalah 1 kaedah awal yang digunakan bagi menentukan peluang hamil seseorang wanita. 

    Lebih penting, gabungan usia dan tempoh percubaan untuk hamil dapat memberikan wanita petunjuk sama ada perlu mendapatkan penilaian tahap kesuburan atau tidak.

    Peluang hamil mengikut usia

    Semasa lahir, seorang wanita mempunyai bekalan telur atau ovum seumur hidup. Seiring peningkatan usia, kualiti dan kuantiti kebanyakan telur akan berkurangan.

    Jangan terkejut, setiap bulan, seorang wanita hanya memiliki peluang hamil antara 15 hingga 20% sahaja.

    Berikut penjelasan ringkas berkaitan usia dan tahap kesuburan wanita:

    Awal 20-an (20 hingga 24)

    Wanita berusia 21 tahun mempunyai hampir 90% telur normal secara kromosom. Ini sekali gus meningkatkan peluang untuk mengandung bayi yang sihat.

    Pada usia 24 tahun, tahap kesuburan seorang wanita akan berada di puncaknya. 

    Wanita berumur 25 tahun ke bawah mempunyai peluang kehamilan sebanyak 96% dalam tempoh setahun jika mereka mencuba setiap bulan.

    Namun % ini merosot sedikit kepada 92% jika pasangan lelakinya turut berusia di bawah 25 tahun. Ini kerana kebanyakan masalah kesuburan pada pasangan muda membabitkan individu lelaki.

    Lewat 20-an (25 hingga 29)

    Seorang wanita berusia 25 hingga 34 tahun mempunyai peluang untuk mengandung sebanyak 86% setelah mencuba selama setahun.

    Risiko keguguran pula berada pada tahap 10%, sedikit tinggi berbanding pada usia awal 20-an.

    Walau apa pun, teruskan usaha anda dan anda mungkin berpeluang untuk hamil dalam masa setahun.

    Pada tahap ini, tidak ada keperluan untuk mendapatkan rundingan pakar sehinggalah anda telah mencuba untuk lebih 12 bulan dan masih tidak mendapat hasilnya.

    peluang-hamil-berdasarkan-usia-wanita

    Awal 30-an (30 hingga 34)

    Peluang hamil masih tinggi sehingga 86% untuk berjaya bagi pasangan yang mencuba selama setahun. 

    Namun, risiko keguguran terjadi adalah sebanyak 20% pada usia ini.

    Sesetengah doktor mengesyorkan untuk mendapatkan pemeriksaan dan rundingan pakar OB/GYN  sekiranya anda masih sukar hamil setelah 9 bulan mencuba.

    Pemeriksaan yang dilakukan boleh menentukan masalah yang dialami dan mengatasinya sebelum tahap kesuburan anda semakin menurun apabila mencapai usia 35 tahun.

    Lewat 30-an (35 hingga 39)

    Peratusan untuk anda hamil masih pada tahap yang baik di usia ini. Ketika berumur 35 tahun, kebanyakan wanita mempunyai kemungkinan mengandung antara 15 hingga 20% setiap bulan.

    Secara kumulatifnya, ia bermakna anda yang tergolong dalam usia ini mempunyai peluang 78% untuk mengandung dalam setahun.

    Namun begitu, tahap kesuburan anda semakin menurun pada titik usia 35 tahun berpunca daripada kualiti telur yang berkurangan.

    Kuantiti telur dalam ovari anda mungkin banyak. Tetapi ia mungkin mengalami kecacatan kromosom. 

    Anda juga berdepan risiko keguguran yang lebih tinggi, kehamilan Sindrom Down, atau kehamilan tidak normal.  

    Secara kasarnya, wanita yang berusia 35 tahun mungkin memerlukan masa lebih setahun untuk mengandung. 

    Pada tahap ini jika anda mengalami kesukaran untuk hamil setelah 6 bulan mencuba, dinasihatkan untuk mendapatkan pemeriksaan pakar untuk menjalani beberapa ujian. 

    Salah 1 ujian paling berkesan adalah prosedur rawatan kesuburan in-vitro (IVF).

    tahap kesuburan

    Awal 40-an (40 hingga 44)

    Seiring peningkatan usia, tahap kesuburan, kualiti dan kuantiti telur akan menurun. Pada ketika ini, anda akan menghadapi kesukaran untuk hamil dan kekal mengandung.

    Di usia 40-an, 90% telur wanita tidak normal secara kromosom. Bantuan teknologi kesuburan adalah perkara biasa untuk dilakukan.

    Selain keadaan telur, faktor lain yang mempengaruhi tahap kesuburan seorang wanita adalah usia pasangan yang turut meningkat bersama lapisan rahim semakin menipis.

    Dalam tempoh ini, wanita akan semakin menghampiri menopaus – biasa bermula pada usia 40 hingga 60 tahun, sekali gus menjadikan kitaran haid semakin singkat.

    Waktu ini, peraturan semula jadi yang boleh anda lakukan adalah untuk melakukan seks setiap hari sekitar waktu ovulasi.

    Antara petanda menghampiri waktu ovulasi adalah peningkatan pengeluaran lendir jernih daripada serviks.

    Usia 45 tahun ke atas

    Peluang hamil bagi wanita pada usia ini adalah tidak lebih 3 hingga 4%. Tampak seperti mustahil, bukan? Tetapi dengan bantuan IVF, segalanya boleh berlaku. 

    Bagi wanita berusia lewat 40-an yang ingin menjalani kehamilan secara biologi, doktor akan menyarankan untuk menggunakan telur penderma sebagai kaedah terbaik. Peluang untuk kehamilan adalah sekitar 60 hingga 65%. 

    Peluang hamil juga libatkan usia lelaki

    Usia bagi pasangan lelaki juga boleh mempengaruhi peluang kehamilan bagi wanita. Tempoh yang lebih lama diperlukan jika pasangan anda berusia lebih 40 tahun.

    Dengan membuat andaian jika wanita berusia kurang 25 tahun dan pasangannya turut muda daripada 25 tahun, purata 5 bulan diperlukan untuk hamil.

    Manakala jika pasangan wanita berusia lebih 40 tahun, tempoh masa lebih 2 tahun diperlukan untuk mengandung.

    Risiko keguguran pada wanita dengan pasangan lelaki berusia lebih 45 tahun juga tinggi berbanding lelaki yang berusia kurang 25 tahun.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 27/07/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan