Betul ke para wanita yang pernah melahirkan anak secara normal, keadaan faraj selepas bersalin menjadi longgar dan tidak memberikan kepuasan ketika bersetubuh?
Ini antara persoalan biasa kerap bermain di fikiran, bukan sahaja isteri, tetapi para suami juga.
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kehamilan, anda boleh klik di sini.
Situasi bagi wanita yang pernah melahirkan anak
Secara semula jadinya, sudah tentu faraj akan mengalami perubahan bagi wanita yang pernah melahirkan anak.
Faraj mungkin akan terasa lebih lebar, longgar, kering atau sakit pada masa-masa tertentu.
Semasa proses kelahiran normal, bayi akan bergerak mengharungi saluran serviks dan keluar melalui faraj – disebut sebagai saluran kelahiran.
Sudah tentu saluran faraj akan meregang bagi membolehkan bayi melaluinya.
Bagi wanita yang sudah mempunyai anak, mereka mungkin berasakan keadaan faraj selepas bersalin menjadi lebih longgar atau kering berbanding biasa.
Itu adalah 1 keadaan normal yang tidak perlu dibimbangkan.
Keadaan faraj selepas bersalin lebih longgar?
Menurut Perunding Urogynaecology di University College Hospital, London, Dr Suzy Elneil, faraj wanita mungkin kelihatan lebih lebar berbanding sebelum bersalin.
Anda akan berasa ia lebih longgar, lembut dan lebih terbuka. Malahan sesetengah wanita akan melihat faraj mereka seperti mengalami lebam atau bengkak.
Keadaan itu adalah normal. Bengkak yang dialami serta keterbukaannya akan mula berkurang selepas beberapa hari anda melahirkan anak.
Maknanya faraj akan kembali ke bentuk asal seperti sebelum bersalin?
Mungkin apa yang anda harapkan itu sukar untuk berlaku.
Ini kerana faraj berkemungkinan tidak akan kembali sepenuhnya ke bentuk asal. Tetapi keadaan ini bukanlah 1 perkara yang membimbangkan.
Dr Suzy memberitahu, kebanyakan wanita yang berdepan masalah ini akan disarankan untuk melakukan senaman lantai pelvik.
Senaman ini yang turut dipanggil sebagai senaman Kegel boleh membantu menegangkan otot bahagian faraj serta otot lantai pinggul anda.
Ia boleh membantu mengelakkan kebocoran air kencing (inkontinens) dan memperbaiki keadaan faraj selepas bersalin menjadi lebih anjal dan tegang.
Masalah inkontinens selepas bersalin adalah situasi yang biasa berlaku. Tetapi senaman ini boleh membantu mengurangkannya. Malahan ia juga menjadikan aktiviti seks lebih baik.
Caranya:
- Rapatkan (squeeze) bahagian faraj dan dubur pada masa yang sama
- Angkat faraj ke atas
- Lakukan perbuatan ini dengan cepat. Pastikan otot menegang dan dilepaskan segera
- Kemudian ulangi secara perlahan dan tahan otot untuk beberapa saat. Pastikan tidak lebih 10 saat dan lepaskan
- Ulang sebanyak 10 kali dan lakukan 4 hingga 6 kali sehari
Anda juga boleh membayangkan seperti sedang menahan kencing dan senaman ini boleh dilakukan pada bila-bila masa.
Kekeringan adalah masalah normal keadaan faraj selepas bersalin
Sekiranya anda berasa faraj seakan lebih kering daripada biasa, percayalah, ia 1 situasi normal bagi wanita yang pernah melahirkan anak.
Keadaan ini dikaitkan dengan tahap estrogen lebih rendah dalam badan berbanding semasa anda sedang berbadan dua.
Bahkan, bagi wanita yang menyusukan badan, tahap hormon estrogen adalah lebih rendah berbanding wanita yang tidak menyusukan bayi.
Jadi kekeringan yang dirasai pada faraj akan menjadi lebih ketara.
Walau bagaimanapun, masalah kekeringan pada keadaan faraj selepas bersalin ini akan kembali kepada biasa setelah anda berhenti menyusu dan mula datang haid.
Jika anda dan pasangan sudah memulakan aktiviti senggama dan kekeringan faraj menyebabkan ketidakselesaan, anda disarankan untuk menggunakan pelincir.
Sebaiknya elakkan daripada menggunakan air liur sebagai pelincir.
Sekiranya masalah ini menyebabkan kesakitan ketika hubungan seksual berlangsung, berbincanglah dengan pasangan untuk menanganinya bersama.
Seandainya anda sudah didatangi haid dan berhenti menyusukan anak, namun kekeringan faraj masih berterusan, dapatkan rundingan dan pemeriksaan dengan pakar kesihatan.
Bersediakah anda untuk seks?
Jika aktiviti seksual menjadi kebimbangan dan anda masih ragu-ragu mengenainya, jalan terbaik adalah untuk berbincang dengan pasangan.
Elakkan daripada menanggungnya sendirian dan segera cari cara menjaga kemaluan selepas bersalin!
Sememangnya tidak ada masa yang tepat atau salah untuk kembali melakukan seks selepas anda melahirkan anak. Jadi anda tidak perlu tergesa-gesa mengenainya.
Seandainya aktiviti seks yang berlaku hanya menyebabkan kesakitan, ia tidak akan memberikan kepuasan kepada anda.
Bagi ibu yang mengalami masalah faraj kering, penggunaan pelincir mungkin boleh membantu semasa hubungan seks berlangsung.
Namun, jika anda berasa tidak selesa pada bahagian perineum/sekitar episiotomi, anda disarankan untuk melakukan pemeriksaan dengan doktor.
[embed-health-tool-ovulation]