Selepas bersalin, banyak perubahan yang berlaku pada badan seorang wanita, termasuk juga di bahagian intim. Selain sakit Miss V tanda bersalin, pasti ramai yang tertanya-tanya, adakah semuanya akan OK sahaja selepas bersalin? Bagaimana pula dengan ‘kawasan di bawah’, adakah perubahan yang berlaku bakal membawa kesan berpanjangan?
Tidak dinafikan, proses kelahiran merupakan sesuatu yang menyakitkan. Bayangkan, wanita terpaksa ‘menolak keluar’ insan kecil dari kawasan intimnya! Jadi, sakit Miss V tanda bersalin merupakan sesuatu yang normal.
Walau bagaimanapun, untuk kebanyakan wanita, perubahan yang berlaku pada kawasan Miss V tidak akan berkekalan. Mungkin ramai yang tidak tahu, tetapi vagina wanita sebenarnya sangat tahan lasak.
Menurut Dr. Sherry Rose, penulis buku She-ology: The Definitive Guide to Women’s Intimate Health. Period, perubahan ini merupakan sesuatu yang dijangkakan. Namun, wanita yang baru bersalin tidak perlu risau kerana Miss V akan kembali normal dalam masa 12 minggu hingga 1 tahun.
Mungkin wanita tidak akan sembuh 100%, namun perubahan pada kawasan intim adalah normal. Jadi, apakah perubahan-perubahan yang bakal berlaku?
Jom, ikuti penerangan kami dalam artikel di bawah!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.
Perubahan pada faraj selain sakit Miss V tanda bersalin
Selepas 9 bulan mengandung dan melalui proses kelahiran, mustahillah Miss V tidak akan mengalami apa-apa perubahan. Malah, perubahan ini akan tetap berlaku, walaupun anda melahirkan anak secara c-section.
Selain rasa sakit Miss V tanda bersalin, wanita juga perlu peka mengenai masalah lain yang mungkin terjadi selepas kelahiran.
Bergantung pada cara wanita melahirkan anak, ada beberapa perubahan yang akan berlaku pada kawasan vagina:
1. Vagina akan meregang
Setiap wanita akan mengalami regangan yang berbeza mengikut saiz bayi, genetik anda dan juga jumlah kelahiran sebelumnya. Malah, vagina wanita juga akan meregang lebih banyak pada kelahiran seterusnya.
Apa yang berlaku ketika bersalin juga memainkan peranan yang penting. Sebagai contoh, penggunaan forsep atau vakum semasa melahirkan anak juga boleh mengubah bentuk Miss V wanita.
2. Faraj lebih kering daripada biasa
Ketika hamil, badan kita akan menghasilkan lebih banyak hormon estrogen. Namun, selepas melahirkan anak, penghasilan hormon ini akan berkurangan. Ini akan menyebabkan kekeringan pada kawasan faraj.
Menurut U.S. National Library of Medicine, hormon estrogen berfungsi mengekalkan kelembapan vagina. Tanpanya, Miss V akan menjadi kering. Sebab itulah, ada wanita yang mempunyai masalah kekeringan faraj yang teruk selepas bersalin.
Bukan itu sahaja, wanita yang menyusukan anak juga bakal mengalami masalah yang sama. Tahap estrogen dalam badan akan kekal rendah ketika ibu menyusukan anak. Namun, selepas anak berhenti menyusu, kelembapan Miss V akan kembali normal.
3. Sakit Miss V tanda bersalin mungkin akan berlarutan
Wanita juga perlu bersedia untuk mengalami kesakitan yang sama selepas melahirkan anak. Jika perineum (kawasan antara kemaluan dan dubur) terkoyak, anda perlukan jahitan.
Bukan itu sahaja, koyakan perineum juga mempunyai tahap-tahapnya yang tersendiri. Ada wanita yang alami koyakan serius dan perlukan rehat yang lebih lama.
Luka selalunya akan ambil masa selama 7 hingga 10 hari untuk sembuh. Namun, jika koyakannya serius, wanita mungkin perlukan masa selama 6 minggu untuk sembuh sepenuhnya. Oleh sebab itu, beri masa pada diri untuk rehat secukupnya.
Jika kesakitan berpanjangan, jumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut. Anda juga boleh mendapatkan pendapat ibu bapa lain dalam Komuniti Kehamilan Hello Doktor!
4. Pengeluaran cecair atau keputihan yang abnormal
Tidak kiralah sama ada anda mengalami kelahiran secara normal atau menerusi c-section, rahim perlukan masa untuk singkirkan semua darah, mukus dan tisu semasa kehamilan.
Oleh sebab itu, ibu mungkin akan alami pendarahan vagina selepas bersalin yang juga dikenali sebagai lokia. Pendarahan ini akan berlaku pada hari ke-3 hingga ke-10 selepas melahirkan anak.
Bukan itu sahaja, pendarahan juga mungkin akan berkekalan selama 6 minggu selepas melahirkan anak. Darah juga akan perlahan-lahan bertukar warna dari merah ke merah jambu dan putih kekuning-kuningan.
Baca juga:
- Ini 6 Punca Keputihan Banyak! Jaga-Jaga, Ia Mungkin Tanda Penyakit!
- Air Mazi Wanita, Cecair Serviks & Keputihan – Nampak Macam Sama, Tapi Ada Bezanya!
5. Selain sakit Miss V tanda bersalin, anda mungkin mempunyai parut di kawasan vagina
Jika anda mempunyai koyakan, anda mungkin akan ada parut di kawasan yang terluka. Jadi, jangan pula rasa rendah diri atau malu jika anda mempunyai parut di kawasan Miss V.
Jika anda masih boleh lakukan hubungan seks seperti biasa, parut hanya akan menjadi satu masalah kosmetik sahaja. Namun, anda perlukan rawatan dan pemeriksaan jika ia membuatkan anda rasa tidak selesa atau sakit ketika bersenggama dengan suami.
[embed-health-tool-due-date]