backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

2

Tanya Doktor
Simpan

Ini 6 Punca Keputihan Banyak! Jaga-Jaga, Ia Mungkin Tanda Penyakit!

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 07/11/2023

    Ini 6 Punca Keputihan Banyak! Jaga-Jaga, Ia Mungkin Tanda Penyakit!

    Keputihan merupakan sesuatu yang normal dalam kehidupan wanita. Namun, kadangkala keputihan boleh keluar dengan banyak dan menyebabkan ketidakselesaan yang amat sangat. Tetapi, apakah punca keputihan banyak dan bagaimana cara untuk mengatasinya?

    Keputihan yang normal selalunya berwarna putih dan tidak akan berbau busuk. Namun, jumlah keputihan akan berubah dari masa ke masa disebabkan perubahan hormon.

    Contohnya, kaum Hawa mungkin akan mengalami keputihan yang terlalu banyak ketika mengalami ovulasi, ketika sedang menyusukan anak atau ketika ghairah.

    Tetapi, jika keputihan ini berlaku sekali dengan simptom lain seperti gatal-gatal atau rasa pedih sekitar vagina, anda mungkin sedang mengalami jangkitan.

    Jadi, apa sebenarnya punca keputihan banyak dan bila anda perlu berjumpa doktor untuk rawatan lanjut? Jom, ikuti kupasan kami dalam artikel di bawah.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.

    Kenapa keputihan banyak? Macam mana nak tahu?

    punca keputihan banyak

    Secara normalnya, jumlah keputihan adalah sekitar 4 mililiter (1 sudu teh) setiap hari. Namun, jumlah ini berbeza-beza mengikut individu.

    Sama seperti jumlah minyak yang dihasilkan oleh kulit, ada wanita yang menghasilkan lebih banyak keputihan berbanding orang lain.

    Apa yang penting, kaum Hawa perlulah peka dan sentiasa memantau keputihan masing-masing supaya mudah untuk mengesan sebarang perubahan yang abnormal. Penyakit juga boleh menjadi punca keputihan banyak.

    Sebagai panduan, kaum Hawa boleh muat turun aplikasi atas talian yang dapat membantu wanita mengesan sebarang perubahan. 

    Jika anda lebih suka cara yang tradisional, anda boleh catatkan di dalam diari atau jurnal.

    Keputihan yang normal sepatutnya berwarna jernih, putih atau kuning susu. Baunya juga tidak sepatutnya hanyir atau busuk sehingga ke luar seluar.

    Tetapi, kenapa keputihan banyak? Antara tanda keputihan yang tidak normal ialah:

  • Bau yang kuat atau hanyir.
  • Keputihan berwarna hijau, kelabu atau kuning.
  • Berketul dan membuatkan kemaluan gatal-gatal, bengkak atau rasa pedih.
  • Rasa pedih ketika membuang air kecil.
  • Jumpa doktor secepat mungkin jika anda mempunyai simptom di atas. Kadangkala, simptom akan menjadi semakin teruk selepas datang haid atau melakukan seks.

    Keputihan yang tidak normal mungkin tanda jangkitan.

    Dengan bantuan doktor, jangkitan ini boleh didiagnosis dan dirawat supaya wanita tidak perlu alami ketidakselesaan dalam tempoh masa yang panjang.

    Baca juga:

    Punca keputihan banyak

    Selain penyakit, ada banyak lagi punca keputihan banyak dalam kalangan wanita. Kadangkala, ia bukanlah sesuatu yang perlu dirisaukan.

    Ada ketikanya, keputihan akan keluar dengan banyak dan ini merupakan sesuatu yang normal. Jadi, kenapa keputihan banyak? Di bawah, kami senaraikan beberapa sebab.

    1. Anda sedang mengalami ovulasi

    ovulasi

    Keputihan akan menjadi banyak ketika anda menghampiri hari ke-14 kitaran menstruasi. Pada waktu ini, badan kita sedang mempersiapkan diri untuk proses fertilisasi.  

    Ketika ovulasi menghampiri, kaum Hawa akan mendapati keputihan yang mereka alami lebih banyak daripada biasa. Malah, ia juga semakin basah dan likat. Ini semua merupakan sesuatu yang normal dan sebahagian daripada proses alami seorang wanita.

    Apabila telur dilepaskan, keputihan perlahan-lahan akan berubah menjadi semakin pekat dan berwarna keruh.

    2. Keputihan banyak kerana anda sedang ghairah

    Tidak dinafikan, wanita akan jadi semakin ‘basah’ ketika ghairah. Proses ini membolehkan wanita melakukan hubungan seks dengan lebih selesa.

    Ketika ghairah, salur darah di sekitar vagina akan berkembang. Pada masa yang sama, Miss V juga akan merembeskan lebih banyak cecair sebagai pelincir.

    Selain itu, wanita juga mungkin akan rasa vagina mengembang. Pernafasan dan degupan jantung juga akan menjadi semakin kencang.

    3. Ketidakseimbangan hormon punca keputihan banyak

    punca keputihan banyak

    Setiap bulan, wanita akan alami perubahan hormon. Pada awal kitaran menstruasi, vagina lebih cenderung menjadi kering. Namun, ketika menghampiri ovulasi, keputihan akan menjadi semakin banyak dan likat.

    Bukan itu sahaja, pengambilan pil perancang, menopaus dan penyakit tertentu seperti PCOS juga boleh mempengaruhi hormon wanita.

    PCOS berlaku kepada hampir 10% wanita dalam umur reproduktif. Walaupun ada penghidap PCOS yang jarang mengalami masalah keputihan, namun ada juga yang melaporkan sebaliknya.

    Selain itu, penghidap PCOS juga selalunya mempunyai haid yang tidak teratur. Mereka lebih cenderung tumbuh bulu pada kawasan muka dan badan.

    PCOS juga boleh membuatkan berat badan wanita naik dengan mendadak dan menyebabkan kemandulan.

    Ketahui lebih banyak mengenai PCOS di sini.

    4. Keputihan banyak disebabkan hamil

    Salah satu punca keputihan banyak ialah kehamilan. Malah, kondisi ini lazim berlaku seminggu dua setelah kontrasepsi. Jumlahnya juga akan menjadi semakin banyak ketika badan mempersiapkan diri untuk kehamilan.

    5. Jangkitan yis

    Ada beberapa penyakit yang boleh menyebabkan wanita mengalami keputihan yang luar biasa. Salah satunya ialah jangkitan yis.

    Keputihan yang disebabkan jangkitan ini berwarna putih, pekat dan berketul. Pada masa yang sama, wanita akan alami simptom lain seperti kegatalan atau rasa pedih.

    Walau bagaimanapun, bukan semua wanita yang dijangkiti akan alami sebarang simptom.

    6. Vaginosis bakteria

    punca keputihan banyak

    Satu lagi punca keputihan banyak yang lazim ialah vaginosis bakteria (BV). Ia selalu berlaku kepada wanita berusia 15 hingga 44 tahun.

    BV akan menyebabkan keseimbangan pH di kawasan vagina terganggu. Bakteria ‘jahat’ yang menghuni Miss V akan mengganggu flora semula jadi kawasan kemaluan dan melawan bakteria ‘baik’.

    Walaupun BV tidak disebarkan melalui hubungan seks, tapi ia berlaku dalam kalangan wanita yang aktif melakukan hubungan seks. 

    Malah, risikonya juga bertambah jika wanita melakukan seks dengan orang yang berbeza.

    Jika anda mempunyai masalah keputihan, jangan malu untuk berjumpa doktor. Beritahu mereka perkara sebenar untuk memudahkan diagnosis.

    Kegatalan pada kawasan vagina boleh menyebabkan ketidakselesaan yang amat sangat. Jangan biarkan simptom berlarutan sehingga mengganggu kualiti hidup.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 07/11/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan