backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Kurang Popular, Tapi Alat Cegah Hamil Ini Mudah Dipakai & Efektif! Kenali CINCIN VAGINA

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 21/05/2021

    Kurang Popular, Tapi Alat Cegah Hamil Ini Mudah Dipakai & Efektif! Kenali CINCIN VAGINA

    Cincin vagina atau vaginal ring merupakan sejenis alat pencegah kehamilan untuk wanita. Alat perancang keluarga ini mempunyai hormon estrogen dan progestogen yang dilepaskan secara perlahan-lahan dalam masa 3 minggu untuk menghalang pengeluaran ovum.

    Berbeza dengan pil perancang kehamilan yang perlu diambil setiap hari, cincin vagina hanya perlu ditukar sebulan sekali.

    Malah, tidak seperti pengambilan pil yang kurang berkesan jika anda sakit atau cirit-birit, cincin vagina tidak akan terkesan dan tetap boleh melindungi anda daripada kehamilan. 

    10 perkara perlu tahu mengenai cincin vagina

    Cincin vagina merupakan salah satu kaedah perancang keluarga yang efektif namun tidak popular.

    Tetapi, sebelum anda pilih untuk menggunakan kaedah kontraseptif ini, pastikan anda tahu kebaikan dan keburukannya terlebih dahulu.

    1. Adakah cincin vagina efektif untuk digunakan?

    Jika digunakan dengan betul, cincin vagina adalah 99% berkesan untuk mencegah kehamilan. 

    Namun, jika ia tidak dipakai dengan betul, keberkesanannya mungkin berkurang kepada 93%.

    Tetapi, haruslah diingat bahawa cincin vagina tidak dapat mencegah penyakit kelamin (STI) daripada menular. Untuk lebih berhati-hati, gunakan kondom semasa melakukan hubungan seks.

    2. Apakah risikonya?

    Ada risiko kecil bagi pengguna kontraseptif hormon untuk diserang sakit jantung dan strok. Selain itu, ia juga boleh menyebabkan darah beku di dalam vena atau arteri.

    Walau bagaimanapun, kebaikan yang wanita boleh dapati daripada penggunaan cincin vagina adalah lebih banyak berbanding keburukannya. Malah, risikonya juga amat kecil.

    Besar kemungkinan, anda tidak akan mengalami apa-apa kesan sampingan daripada penggunaan vaginal ring.

    3. Kebaikan menggunakan cincin vagina?

    perancang keluarga

    Sebenarnya, ada banyak kebaikan penggunaan cincin vagina. Antaranya adalah:

    1. Ia tidak akan mengganggu hubungan seks.
    2. Mudah untuk dimasukkan dan dikeluarkan.
    3. Tidak perlu fikir mengenai pengambilan kontraseptif setiap kali mengadakan hubungan seks.
    4. Cincin vagina masih boleh digunakan walaupun anda sakit atau alami cirit-birit.
    5. Dapat membantu melegakan simptom pramenstruasi.
    6. Tidak ada sebarang kesan sampingan yang akan menjejaskan kesuburan wanita.

    Malah, untuk orang yang pelupa, anda amat digalakkan untuk memakai cincin vagina. Ia boleh digunakan selama 3 hingga 4 minggu dan hanya perlu ditukar sekali setiap bulan. Mudah bukan!

    4. Keburukannya pula?

    Dari segi keburukan pula, cincin vagina mungkin akan mendatangkan ketidakselesaan ketika anda memasukkannya atau mengeluarkannya daripada vagina.

    Selain itu, pemakaiannya juga mungkin akan menyebabkan beberapa kesan sampingan seperti pening kepala, loya, keputihan dan perubahan mood.

    Jangan lupa, cincin vagina juga tidak akan melindungi anda daripada STI.

    Jika anda kerap terlupa untuk mengeluarkan cincin tersebut daripada vagina selepas 3 minggu, mungkin anda perlu menggunakan alat pencegah kehamilan lain seperti implan atau IUD.

    5. Benarkah ia boleh melegakan kesakitan akibat haid?

    perancang keluarga

    Cincin vagina juga dapat membantu melegakan sedikit simptom yang dialami ketika datang bulan. Selain itu, wanita yang menggunakannya juga mungkin akan mengalami pendarahan yang lebih sedikit daripada biasa.

    Untuk pengetahuan anda, progestogen yang terdapat di dalam cincin vagina akan mengurangkan ketebalan dinding uterus. Oleh sebab itu, wanita akan mengalami haid yang lebih ringan setelah menggunakan cincin vagina.

    Dalam masa yang sama, wanita juga tidak akan mengalami kesakitan yang teruk disebabkan pengurangan prostaglandin iaitu hormon yang bertanggungjawab membuatkan anda rasa sakit setiap kali datang bulan.

    6. Bagaimana pula dengan saiz cincin vagina?

    Disebabkan cincin tersebut mudah lentur, ia boleh dimasukkan ke dalam vagina dengan mudah.

    Menurut Dr. Mary Jane Minkin dari Yale Medical School, beliau tidak pernah berjumpa dengan seorang wanita pun yang tidak boleh memakai cincin vagina!

    Jika anda pernah menggunakan tampon, maka penggunaan cincin vagina tidak akan menjadi masalah untuk anda. 

    7. Susah ke untuk memasukkannya ke dalam Miss V?

    Sebenarnya, pemakaian cincin vagina amat mudah asalkan wanita tersebut rasa selesa untuk memasukkan jari ke dalam Miss V mereka.

    Malah, seluruh proses hanya akan memakan masa 2 minit. Proses mengeluarkannya juga mudah dan tidak memakan masa yang panjang.

    8. Macam mana kalau ia ‘tertinggal’ di dalam vagina?

    Mungkin ramai yang akan rasa tidak selesa kerana takut cincin tersebut ‘hilang’ setelah dimasukkan ke dalam vagina.

    Jangan risau! Bahagian serviks yang lebih kecil dan sempit pada hujung uterus akan menghalang cincin tersebut daripada masuk lebih dalam.

    Walau bagaimanapun, ada juga beberapa individu yang termasukkan cincin tersebut secara tidak sengaja ke dalam pundi kencing mereka melalui uretra.

    Oleh sebab itu, jika anda rasa sakit setelah menggunakan cincin vagina, pastikan anda berjumpa doktor dengan kadar segera.

    9. Bolehkah ia tertanggal dengan sendirinya?

    Cincin vagina boleh tertanggal dan terkeluar daripada Miss V secara tidak sengaja ketika anda melakukan hubungan seks, atau ketika anda meneran sewaktu membuang air besar.

    Walau bagaimanapun, ia boleh dimasukkan semula dengan cara yang mudah. Jika ia keluar kurang dari 3 jam anda perlulah:

    1. Basuh cincin tersebut dengan air suam.
    2. Masukkan ia kembali ke dalam Miss V.

    Mudah bukan! Jika cincin tersebut tertanggal dalam masa kurang dari 3 jam, anda tidak perlu mengambil alat perancang keluarga lain dan anda dilindungi daripada kehamilan.

    Tetapi, jika ia telah tercabut dalam masa yang lama, anda mungkin perlu mengambil pil kontrasepif kecemasan, lebih-lebih lagi jika anda telah melakukan hubungan seks beberapa hari yang lepas.

    10. Cincin vagina kurang menyebabkan pendarahan secara tiba-tiba

    perancang keluarga

    Akhir sekali, jika anda menggunakan cincin vagina, kebarangkalian untuk anda mengalami pendarahan secara tiba-tiba adalah kurang berbanding ketika anda mengambil pil perancang.

    Pendarahan secara tiba-tiba selalunya berlaku disebabkan ramai yang terlupa untuk mengambil pil mengikut jadual.

    Oleh sebab itu, wanita yang mengambil pil akan mengalami pendarahan dengan lebih kerap.

    Kesimpulan

    Cincin vagina merupakan alat pencegah kehamilan yang mungkin ramai tidak tahu kewujudannya.

    Jika anda inginkan sesuatu yang mudah digunakan dan tidak perlu diambil setiap hari, cincin vagina mungkin merupakan alat perancang keluarga yang sesuai untuk anda.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 21/05/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan