Semua orang tahu mengenai kepentingan dan manfaat bersenam. Bukan sahaja ia boleh membuatkan badan lebih sihat, senaman juga dapat membantu anda mempunyai mood yang lebih baik.
Sebarang aktiviti fizikal atau senaman yang dilakukan amat bermanfaat kepada kesihatan anda. Malah, ia juga boleh mengurangkan risiko penyakit seperti diabetes jenis 2, kanser dan penyakit kardiovaskular.
Ingin rasa lebih cergas, bertenaga dan hidup lebih lama? Senamanlah cara yang terbaik untuk anda dapatkan ketiga-tiga manfaat ini sekali gus.
Tapi, sebelum anda bermula, mari kenali dengan lebih lanjut apakah maksud sebenar kecergasan, aktiviti fizikal dan juga senaman.
Definisi
Apakah maksud kecergasan?
Secara mudahnya, kecergasan atau fitness bermaksud kondisi badan seseorang yang kuat dan sihat. Berbeza dengan aktiviti fizikal atau senaman, kecergasan merupakan satu sifat yang menggambarkan keupayaan seseorang.
Mereka yang dikatakan cergas selalunya boleh berlari dengan pantas atau mengangkat objek yang berat. Walau bagaimanapun, kecergasan mempunyai makna yang lebih meluas dan mungkin berbeza mengikut individu.
Kini, mereka yang gemar melakukan aktiviti fizikal mempunyai pelbagai cara untuk mengukur kecergasan diri masing-masing.
Malah, ramai yang menggunakan indeks jisim badan (BMI), kadar jantung semasa rehat, VO2 max, pencapaian personal ketika maraton, dan masa larian pecut 100 meter untuk mengukur tahap kecergasan diri atau untuk mengukur kemajuan diri dalam aktiviti kecergasan.
[embed-health-tool-bmi]
Aktiviti Fizikal
Bagaimana pula dengan aktiviti fizikal?
Menurut WHO, aktiviti fizikal ialah sebarang pergerakan badan yang memerlukan tenaga.
Aktiviti fizikal merangkumi semua pergerakan yang dilakukan sepanjang hari termasuklah ketika berehat atau semasa bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain.
Semua orang boleh menikmati manfaat dari segi kesihatan ketika melakukan aktiviti fizikal, tidak kiralah apa jua umur, bangsa, saiz mahupun bentuk badan.
Malah, aktiviti seperti berjoging, berbasikal, rekreasi dan sukan bebas dinikmati oleh semua orang. Ramai yang menggunakan masa lapang untuk mendapatkan manfaat bersenam dan menjadikannya sebagai satu hobi yang sihat.
Jika anda takut tercedera, aktiviti ringan seperti berjalan juga boleh mendatangkan manfaat kepada kesihatan.
Aktiviti fizikal terbukti dapat mengelakkan penyakit seperti sakit jantung, strok, diabetes dan kanser.
Malah, mereka yang kerap melakukannya juga mempunyai berat badan dan kesihatan mental yang lebih baik serta hidup yang lebih berkualiti.
Maksud sebenar senaman
Manfaat bersenam dan maksudnya
Senaman merupakan satu aktiviti yang dirancang dan dilakukan berulang kali untuk mengekalkan kesihatan diri dan meningkatkan kecergasan badan.
Walaupun perkataan ini selalu digunakan bersama-sama, senaman dan aktiviti fizikal sebenarnya mempunyai maksud yang berbeza.
Secara dasarnya, senaman merupakan satu aktiviti yang akan membuatkan anda berpeluh, tercungap-cungap dan meningkatkan kadar degupan jantung. Malah, tujuan utama senaman juga untuk jadi lebih sihat dari segi fizikal– ini manfaat bersenam yang utama.
WHO mencadangkan agar semua orang melakukan senaman berintensiti sederhana selama 150 minit setiap minggu. Dalam masa yang sama, senaman berintensiti tinggi pula perlu dilakukan sekurang-kurangnya selama 75 minit.
Kepentingan kecergasan diri
Manfaat bersenam dan kepentingannya
Aktiviti fizikal dan senaman merupakan dua perkara yang amat penting dalam hidup kita.
Semua orang, tidak kiralah kanak-kanak, orang dewasa atau warga emas perlu melakukan aktiviti fizikal secara kerap untuk kesihatan yang lebih baik.
Malah, ada banyak kepentingan dan manfaat bersenam atau kecergasan diri yang anda mungkin tidak tahu. Antaranya adalah:
Manfaat bersenam #1. Boleh menjimatkan wang
Rasa macam tidak percaya bukan? Apa agaknya kaitan kecergasan diri dengan penjimatan wang?
Menurut CDC, penyakit kronik menyebabkan 7 daripada 10 kematian di Amerika Syarikat. Malah, rawatan penyakit kronik ini juga bukannya murah. Ia menelan hampir 86% daripada kos penjagaan kesihatan negara tersebut.
Walaupun banyak penyakit tidak boleh dielakkan, risiko seperti diabetes dan sakit jantung boleh dikurangkan jika anda melibatkan diri di dalam kehidupan yang aktif.
Sanggupkah anda berbelanja ribuan ringgit setiap tahun untuk merawat penyakit kronik pada masa hadapan? Jika tidak, lakukanlah senaman mulai hari ini.
2. Meningkatkan jangka hayat dan mengelakkan kecederaan
Mereka yang selalu bersenam dan kerap melakukan aktiviti fizikal mempunyai kekuatan otot, ketumpatan tulang, fleksibiliti dan stabiliti yang lebih baik.
Malah, aktiviti fizikal juga dapat mengurangkan risiko kecederaan, lebih-lebih lagi apabila kita sudah menginjak ke usia tua.
Sebagai contoh, mereka yang mempunyai otot dan tulang yang lebih kuat kurang berisiko untuk tercedera atau mengalami kerosakan tulang jika jatuh atau kemalangan.
3. Jadi lebih sihat salah satu manfaat bersenam
Ramai orang tahu aktiviti fizikal serta senaman dapat membuatkan kita jadi lebih sihat. Malah, ada banyak kebaikan dan kepentingan bersenam, antaranya ia dapat membuatkan tulang dan otot jadi makin sihat dan kuat.
Mereka yang lebih aktif juga dapat mengekalkan berat badan yang sihat dan mengurangkan risiko penyakit seperti diabetes, sakit jantung dan juga kanser.
Jenis senaman
4 jenis senaman yang anda perlu tahu
Ada banyak manfaat bersenam dan kebaikan dan kepentingan untuk badan.
Namun, untuk membuatkan senaman jadi lebih lengkap, anda perlulah melakukan kombinasi senaman aerobik, regangan, kekuatan dan juga keseimbangan.
1. Senaman aerobik
Senaman aerobik yang mampu meningkatkan kadar degupan jantung dan pernafasan adalah amat penting untuk pelbagai fungsi badan.
Senaman ini juga dapat membantu untuk mengendurkan dinding saluran darah, merendahkan tekanan darah, membakar lemak dalam badan, merendahkan kadar gula dalam darah, mengurangkan inflamasi dan membuatkan mood anda jadi lebih baik.
2. Senaman kekuatan
Semakin usia meningkat, kita akan kehilangan jisim otot. Untuk membinanya semula, kita perlu melakukan senaman kekuatan.
Jika tidak, kerja biasa seperti mengangkat barang pun akan menjadi sukar.
3. Senaman regangan
Senaman regangan amat penting untuk mengekalkan fleksibiliti badan.
Ia bukan sahaja dapat membantu kita untuk mengelakkan kecederaan, malah senaman ini jugalah yang dapat memastikan kita meregang dengan baik tanpa sebarang rasa sakit.
4. Senaman keseimbangan
Ramai orang yang tidak tahu kepentingan senaman keseimbangan kepada kesihatan. Tahukah anda, manusia akan kehilangan keseimbangan badan apabila usia semakin tua?
Pada waktu itu, sistem yang membantu kita untuk mengekalkan keseimbangan badan akan jadi semakin merosot.
Untuk mengekalkan keseimbangan badan ketika tua, senaman ini amat penting bagi mencegah kerosakan tersebut.
Kesimpulan
Kepentingan aktiviti fizikal dan senaman merupakan sesuatu yang tidak boleh dipandang remeh.
Mereka yang cergas mampu melakukan pelbagai perkara daripada mengangkat barang yang berat hinggalah menaiki tangga tanpa sebarang masalah.
Malah, bukan itu sahaja, senaman juga mempunyai pelbagai kebaikan terhadap kesihatan mental, sistem kardiovaskular, sistem pernafasan dan kondisi fizikal kita pada masa hadapan.