“Yoga? Apa itu yoga? Kenapa patut buat? Bosanlah!”.
Setiap kali berbicara tentang senaman ini, sudah pasti ramai yang tidak mahu kerana tidak tahu apa itu yoga dan pelbagai manfaat yang tersembunyi di sebaliknya.
Disebabkan itu, ramai mula beralih kepada senaman kesihatan alternatif berbentuk tarian yang lebih menarik seperti zumba, aerobik atau poco-poco.
Tidak dinafikan, kesemua senaman yang kami senaraikan di atas ini juga adalah bagus untuk tubuh badan anda.
Pun begitu, yoga sepatutnya menjadi pilihan utama kita semua ekoran manfaat yang akan kami senaraikan nanti.
Jom sama-sama ketahui apa itu yoga dan 7 sebab kita patut buat yoga menerusi artikel ini!
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan kecergasan, anda boleh klik di sini.
Apa itu yoga?
Sebelum pergi dengan lebih mendalam lagi, wajarlah untuk kita berkenalan dengan senaman ini terlebih dahulu.
Perkataan yoga berasal daripada sanskrit kuno “yuj” yang membawa maksud menyatukan, menyambungkan atau menggabungkan.
Ini kerana ia adalah aktiviti yang mampu menyatukan keseimbangan di antara kesihatan tubuh badan dalam aspek fizikal dan mental.
Buat anda yang belum pernah melakukannya, ia adalah sejenis senaman berasaskan 3 perkara iaitu pergerakan, pernafasan dan meditasi.
Terdapat banyak jenis senaman ini namun anda tidak perlu risau kerana kesemuanya akan mendatangkan pelbagai manfaat yang serupa!
Kenapa kita patut buat yoga?
Baiklah, sekarang kita sudah tahu apa itu yoga. Berbalik kepada persoalan utama artikel, kenapa kita patut buat senaman ini?
Menurut kajian yang dijalankan oleh portal kesihatan netdoctor.co.uk, 15 minit aktiviti yoga sehari sahaja sudah mampu membuat kita mendapat manfaat berikut:
#1. Menyingkirkan stres
Kita tidak boleh terlalu jumud dengan menyangka hanya mental sahaja yang mengalami stres. Jangan tak tahu, fizikal pun boleh stres juga.
Selain mengambil ubatan yang dipreskripsikan doktor, senaman ini turut boleh membantu menyingkirkan stres.
Ini kerana ia mampu menstabilkan degupan jantung, tekanan darah serta sistem pernafasan yang akan mencanak naik setiap kali kita berasa tertekan.
Dalam pada itu, senaman ini juga mampu mengurangkan pengeluaran kortisol dalam tubuh badan – sejenis hormon yang dirembeskan ketika stres.
#2. Mengurangkan berat badan
Ada satu jenis senaman ini bernama Hot Yoga yang sangat sesuai dilakukan oleh individu yang ingin kurus.
Kesemua jenis senaman ini juga mampu membantu membakar lemak berlebihan di dalam tubuh badan.
Kajian Harvard Medical School mendapati bahawa individu yang melakukan senaman ini sekurang-kurangnya 30 minit seminggu selama 4 tahun, berjaya mencapai BMI yang sesuai.
#3. Meningkatkan kekuatan, kestabilan dan fleksibiliti
Setiap pergerakan, pernafasan dan meditasi secara perlahan yang berlaku semasa senaman ini mampu melancarkan salur darah serta menguatkan otot badan.
Dengan ini, kekuatan, kestabilan dan fleksibiliti akan dapat ditingkatkan.
Sebagai contoh, kalian boleh cuba posisi Tree Pose – berdiri dengan sebelah kaki sementara sebelah kaki yang lain dibengkokkan pada atas lutut.
Cuba kekalkan posisi ini selama seminit dengan fokus kepada satu tempat di hadapan anda dan lihat kesannya selepas seminggu melakukannya.
#4. Tidur lebih berkualiti dengan yoga
Secara umumnya, senaman ini boleh membuat tubuh badan kita berasa lebih relaks dan bebas stres.
Kesannya, sudah pasti kita dapat tidur dengan lebih cepat, lebih lama dan berasa aman setiap kali terjaga.
Ini kerana yoga mampu meningkatkan pengeluaran melatonin dalam tubuh badan – sejenis hormon yang mampu membuat tidur lebih berkualiti.
#5. Mengelakkan pelbagai jenis penyakit
Kajian Harvard Medical School juga mendapati bahawa yoga membantu mengurangkan faktor risiko pelbagai jenis penyakit ekoran impaknya yang positif dalam menstabilkan tekanan darah.
Antara penyakit yang mungkin boleh dielakkan melalui senaman ini adalah:
- Penyakit arteri koronari
- Hipertensi
- Arthritis
- Diabetes
- Depresi
Pun begitu, wajar untuk kalian tahu bahawa ia hanya boleh membantu dan perubatan profesional masih perlu diikuti untuk kesihatan tubuh badan yang lebih baik.
#6. Menguatkan fungsi, memori dan intuisi
Dengan bermeditasi semasa melakukan senaman ini, fungsi, memori, intuisi dan pemikiran kita mampu menjadi lebih kuat!
Selepas sekian waktu mengamalkannya dalam masa 15 minit sehari, anda akan lebih mudah ingat dan fikir sesuatu perkara dengan lebih mudah.
Selain itu, pergerakan dan pernafasan yang dilakukan secara perlahan dapat membuat otak kalian lebih fokus dan teliti dalam kehidupan seharian.
#7. Kekal relaks dengan yoga
Akhir sekali, ini adalah manfaat yang paling penting kerana ia sangat sinonim dengan apa itu yoga.
Untuk pengetahuan anda, yoga boleh membantu tubuh badan kita sama ada fizikal atau mental agar lebih relaks.
Ini ekoran daripada rembesan hormon serotonin serta peningkatan kadar aktiviti otak iaitu brain’s gamma-aminobutyric (GABA) yang akan lebih tinggi hanya dengan 15 minit yoga!
Kini anda telah tahu apa itu yoga. Jadi, apa tunggu lagi! Marilah mula ber’yoga’!
[embed-health-tool-bmi]