backup og meta

7 Barang Di Rumah Yang Boleh Jadi Punca Alahan! Jaga-Jaga, Kondom Turut Tersenarai!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 29/08/2022

    7 Barang Di Rumah Yang Boleh Jadi Punca Alahan! Jaga-Jaga, Kondom Turut Tersenarai!

    Ada banyak jenis alahan di dunia ini. Antara alahan yang lazim didengar ialah alahan terhadap debunga atau makanan seperti kacang dan kerang-kerangan. Tapi, tahukah anda, objek di sekeliling kita juga boleh menjadi punca alahan?

    Alahan berlaku apabila sistem imun badan memberikan tindak balas negatif kepada bahan atau makanan yang selalunya tidak berbahaya.

    Selalunya, reaksi alahan ini dicetuskan oleh sel-sel antibodi badan yang mengenal pasti alergen sebagai sesuatu yang berbahaya walaupun ia sebenarnya hanyalah objek biasa.

    Oleh sebab itu, setiap orang mungkin mempunyai alahan terhadap bahan atau makanan yang berbeza-beza. Malah, reaksi alergi yang mereka alami juga tidak sama.

    Ada yang akan alami hidung berair, bersin, gatal-gatal, dan ada juga yang akan diserang anafilaksis, satu reaksi alergi yang boleh mengancam nyawa.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Alahan sila dapatkannya di sini.

    Objek biasa yang boleh menjadi punca alahan

    Berikut adalah beberapa jenis item yang mungkin boleh menyebabkan reaksi alergi:

    1. Punca alahan – Barang-barang perhiasan

    punca alahan

    Barang kemas, lebih-lebih lagi yang murah dan berwarna perak selalunya diperbuat daripada nikel, sejenis besi yang boleh menyebabkan pemakainya mengalami ruam yang gatal-gatal.

    Alahan yang turut dikenali dengan nama alergi nikel ini selalunya akan berlaku apabila pesakit memakai anting-anting ataupun barang kemas lain.

    Namun, nikel juga boleh terkandung di dalam objek lain seperti duit syiling, zip seluar, telefon bimbit dan juga rangka cermin mata.

    2. Telefon bimbit dan tablet punca alahan

    Individu dengan alahan besi mungkin akan mengalami masalah untuk menggunakan telefon bimbit dan juga tablet mereka.

    Malah, mereka juga boleh mengalami ruam pada kawasan muka, telinga dan tangan jika mereka kerap menggunakan telefon bimbit.

    Sama seperti alahan nikel, alahan terhadap besi juga merupakan sejenis dermatitis sentuh.

    Cara yang terbaik untuk mengelakkan sebarang reaksi alahan adalah dengan menjauhkan diri daripada menyentuh objek-objek tersebut.

    Walau bagaimanapun, ada cara yang lebih mudah untuk mengelakkan ruam dan gatal-gatal daripada berlaku ketika menggunakan alat-alat elektronik ini.

    Cara yang termudah iaitu menggunakan pelindung plastik pada telefon bimbit anda.

    Selain itu, anda juga boleh kurangkan sentuhan dengan menggunakan mod freehand pada telefon bimbit anda.

    3. Punca alahan – Butang seluar

    Sekali lagi, pesakit alergi nikel mungkin akan terkesan jika butang seluar mereka diperbuat daripada besi. Jika anda sering gatal-gatal di sekitar pusat, mungkin inilah puncanya!

    Kalau masalah ini mengganggu anda, cuba pakai lapisan lain untuk memisahkan butang tersebut dengan seluar anda.

    Sebagai contoh, anda boleh masukkan baju ke dalam atau pakai singlet untuk elakkan reaksi alergi ini daripada berlaku.

    4. Reaksi alahan disebabkan lipas dan tikus

    punca alahan

    Antara punca alahan rhinitis dan asma adalah lipas dan tikus yang berkeliaran di rumah.

    Oleh sebab itu, jika adanya infestasi makhluk perosak ini di rumah, besar kemungkinan ahli keluarga yang mempunyai alergi rhinitis akan terkesan.

    Dalang utama alahan jenis ini adalah tahi lipas dan tikus. Malah, sel kulit, bulu dan air kencing makhluk ini juga boleh menyebabkan reaksi alergi. Apabila semua najis ini kering, ia boleh merebak ke seluruh rumah disebabkan jisimnya yang ringan.

    Jika rumah anda bebas daripada serangga ini, anda masih belum selamat. Alergi rhinitis daripada tikus dan lipas masih boleh berlaku jika jiran-jiran anda mengalami infestasi.

    5. Sabun basuh baju punca alahan

    Siapa sangka sabun basuh baju yang berbau segar dan wangi ini boleh menjadi punca alahan?

    Di dalam sabun baju, terdapat pelbagai jenis bahan kimia yang boleh menyebabkan ruam kepada kanak-kanak dan orang dewasa.

    Pewangi, pewarna dan bahan pengawet boleh menyebabkan dermatitis sentuh dalam kalangan mereka yang alergi.

    Malah, ada juga mereka yang tidak mengalami alahan, tetapi rasa gatal-gatal setelah terkena sabun basuh baju.

    Selain itu, sabun basuh baju juga boleh menyebabkan kegatalan walaupun anda tidak menyentuhnya secara langsung.

    Ruam gatal boleh berlaku jika kulit terdedah pada pakaian yang tidak dicuci bersih atau tuala mandian yang anda gunakan setiap hari.

    6. Kondom

    punca alahan

    Betul tu, anda tak salah baca! Ada orang yang mempunyai alahan terhadap getah dan tidak boleh menggunakan kondom atau apa-apa bahan yang diperbuat daripada getah.

    Malah, pesakit yang mempunyai alahan jenis ini boleh mengalami reaksi alergi yang mengancam nyawa. Mereka akan mengalami anafilaksis, masalah bernafas dan sukar untuk menelan selepas menyentuh objek getah.

    Tapi, jangan risau. Kebanyakan objek sekarang diperbuat daripada getah yang lebih selamat. Jika anda takut untuk menggunakan getah, ada alternatif lain seperti getah sintetik yang boleh digunakan.

    7. Alat solek dan skincare

    Bahan kimia yang terkandung di dalam alat solek, losen dan pelindung matahari juga kadangkala boleh menyebabkan ruam pada kawasan muka. Ruam ini akan naik pada kawasan yang terjejas selepas sejam atau dua jam pendedahan.

    Dermatitis sentuh yang berlaku disebabkan alat solek perlu diperiksa oleh doktor. Oleh sebab itu, pastikan anda berjumpa ahli dermatologi secepat mungkin untuk mengenal pasti bahan yang menyebabkan sensitiviti pada kulit anda.

    Kesimpulan

    Banyak rupanya benda di sekeliling kita yang boleh menyebabkan alahan. Daripada sabun mandi hinggalah serangga seperti lipas dan tikus, semuanya berupaya untuk mencetuskan reaksi alergi jika kita tidak berhati-hati.

    Mungkin sukar untuk menjauhkan diri daripada menyentuh objek yang boleh menyebabkan alergi jika ia ‘tersembunyi’ seperti ini.

    Oleh itu, pastikan anda sentiasa peka ketika menggunakan objek di sekeliling setiap hari.

    Jika anda ada alami alahan, cepat-cepatlah berjumpa doktor untuk rawatan lanjut!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 29/08/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan