backup og meta

Tak Tahan Hidung Gatal Sebab Resdung, Ini Pilihan Ubat Boleh Beli Di Farmasi

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 02/02/2024

    Tak Tahan Hidung Gatal Sebab Resdung, Ini Pilihan Ubat Boleh Beli Di Farmasi

    Jika anda kerap mengalami simptom alergi rhinitis, anda boleh mendapatkan rawatan resdung yang bersesuaian secara over-the-counter (OTC). Ini bermaksud, anda boleh pergi ke farmasi berdekatan untuk mendapatkan ubat untuk rawat resdung yang dialami.

    Malah, kebanyakan ubat yang boleh didapati secara OTC adalah selamat dan mudah untuk dibeli.

    Walau bagaimanapun, mungkin sukar untuk pengguna kali pertama menentukan apakah ubat yang terbaik bagi merawat simptom resdung yang dialami.

    Oleh sebab itu, ada risiko untuk pesakit membeli ubat yang salah jika mereka pergi ke farmasi tanpa sebarang pengetahuan tentang penyakit resdung atau alahan rhinitis yang mereka alami.

    Jadi, sebelum anda membeli ubat di farmasi bagi merawat resdung, pastikan anda berjumpa dahulu doktor untuk sesi konsultasi ya.

    Baca lebih lanjut tentang Alahan di sini.

    Bagaimana ubat rawatan resdung OTC berfungsi?

    rawatan resdung

    Ubat yang anda beli di farmasi boleh merawat resdung yang dialami melalui dua cara. Pertama, ubat tersebut akan menghalang histamin daripada mencetuskan sebarang tindak balas alahan.

    Untuk pengetahuan anda, histamin merupakan sejenis hormon yang membuatkan anda mengalami simptom seperti hidung dan mata berair atau bersin selepas terdedah kepada alergen.

    Ubat ini turut dikenali dengan nama antihistamin yang boleh membantu anda untuk melawan simptom yang berlaku ketika anda mengalami reaksi alahan.

    Cara kedua pula adalah dengan menahan sistem imun daripada melepaskan histamin ke dalam badan. Selalunya, ubat jenis kortikosteroid bertindak dengan cara ini.

    Namun, kedua-dua ubat ini mungkin perlu digunakan bersama untuk merawat resdung yang paling efektif.

    Rawatan resdung: Antihistamin untuk melegakan alergi rhinitis

    Kepada pesakit resdung mengalami simptom seperti gatal mata, bersin atau hidung berair, antihistamin mungkin merupakan ubat OTC yang sesuai untuk anda.

    Antihistamin juga bagus untuk mereka yang inginkan kelegaan pantas.

    Walau bagaimanapun, untuk pengguna pertama kali, antihistamin boleh menyebabkan kesan sampingan seperti mengantuk dan rasa keliru yang berisiko untuk membuatkan pesakit terjatuh.

    Oleh sebab itu, sebelum anda membeli antihistamin di farmasi, pastikan anda rujuk dulu kepada ahli farmasi yang bertugas. Malah, sebagai pembeli, anda juga mungkin keliru untuk memilih kerana dosnya yang pelbagai.

    Penggunaan kortikosteroid untuk rawat resdung

    rawatan resdung

    Jika antihistamin tidak dapat melegakan simptom anda, anda boleh menggunakan semburan kortikosteroid untuk kesan yang lebih kuat.

    Memetik kenyataan Dr. Ahmad Sedaghat daripada laman sesawang Harvard Health Publishing, semburan kortikosteroid lebih berkesan jika dibandingkan dengan antihistamin lebih-lebih lagi untuk merawat hidung tersumbat.

    Walau bagaimanapun, tidak seperti antihistamin yang boleh memberikan kelegaan pantas, semburan kortikosteroid makan masa selama 2 hingga 4 minggu sebelum kesannya benar-benar boleh dirasai.

    Jika anda sedang mengalami simptom alergi rhinitis yang teruk, semburan kortikosteroid mungkin tidak dapat membantu anda.

    Semburan ini amat berguna untuk mereka yang mengalami alahan bermusim.

    Walau bagaimanapun, ia perlu diambil berdasarkan preskripsi doktor.

    Bila anda perlu berjumpa doktor bagi rawatan resdung?

    rawatan resdung

    Menurut Dr. Sedaghat, jika ubat OTC yang anda cuba tidak melegakan simptom anda atau membuatkan anda mengalami kesan sampingan yang tidak diingini, sudah sampai masanya untuk anda berjumpa dengan pakar ENT (ear, nose, and throat).

    Hanya pakar sahaja yang boleh mengenal pasti ubat apa yang sesuai untuk anda. Malah, untuk rawatan resdung, mereka juga boleh menentukan dos yang sesuai bagi masalah resdung yang anda alami.

    Kadangkala, doktor akan memberi preskripsi ubat yang dikenali sebagai leukotriene inhibitor untuk rawat resdung. Ubat ini boleh menghalang kesan sampingan alahan yang datang daripada sejenis bahan kimia yang dikenali sebagai leukotrienes.

    Walau bagaimanapun, itu tidak bermaksud ubat OTC tidak bagus atau tidak dapat melegakan simptom resdung. 

    Untuk kebanyakan orang, ubat tersebut masih lagi berkesan untuk membantu mereka bernafas dengan lebih mudah.

    Malah, antihistamin dan semburan kortikosteroid juga boleh melegakan simptom alahan rhinitis jika diambil dengan betul.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 02/02/2024

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan