backup og meta

Takutnya Kena Kanser! Jangan Risau, Turunkan Risiko Barah Dengan 6 Langkah Ini!

Takutnya Kena Kanser! Jangan Risau, Turunkan Risiko Barah Dengan 6 Langkah Ini!

Kanser merupakan satu penyakit yang sukar untuk diramal. Walaupun nampak mustahil, ada banyak langkah yang boleh diambil untuk turunkan risiko barah. Tahukah anda, hampir 1/3 kematian yang berlaku disebabkan kanser berpunca daripada amalan merokok, berat badan berlebihan, pemakanan yang tidak sihat, dan kurangnya senaman.

Bukan itu sahaja, amalan yang sama juga boleh mendatangkan pelbagai mudarat terhadap tubuh badan manusia serta meningkatkan risiko penyakit kronik yang lain.

Jika anda mempunyai faktor risiko tertentu seperti mempunyai ahli keluarga yang menghidap kanser atau berat badan yang berlebihan, ada beberapa perubahan dari segi gaya hidup yang boleh membawa perbezaan besar dalam mencegah kanser.

Sempena Hari Kanser Sedunia, mari ikuti kupasan kami tentang langkah yang berkesan untuk turunkan risiko barah di dalam artikel di bawah.

Cara untuk turunkan risiko barah secara semula jadi

Sebenarnya, hampir 30% hingga 50% kanser boleh dicegah dengan mengelakkan faktor risiko tertentu.

Malah, kesan kanser tersebut juga boleh dikurangkan melalui pengesanan awal serta rawatan yang bersesuaian.

Bukan itu sahaja, banyak kanser yang boleh dirawat jika ia didiagnosis awal dan betul rawatannya.

Di bawah, kami senaraikan beberapa faktor risiko yang lazimnya boleh meningkatkan risiko kanser.

Walau bagaimanapun, ada faktor risiko, contohnya umur yang lanjut serta masalah genetik yang tidak boleh dielakkan.

Namun, ada beberapa faktor risiko yang boleh dicegah untuk turunkan risiko barah tertentu. Sebagai contoh:

1. Berhenti merokok untuk turunkan risiko barah

risiko barah

Amalan merokok merupakan penyebab utama kanser paru-paru.

Berbanding individu yang tidak merokok, perokok mempunyai risiko sebanyak 25 kali ganda untuk meninggal dunia disebabkan kanser ini.

Malah, amalan merokok juga merupakan punca kanser lain seperti kanser mulut dan tekak, esofagus, perut, kolon, hati, pankreas, buah pinggang dan banyak lagi.

Jelaslah amalan merokok lebih banyak membawa keburukan berbanding kebaikan.

Tidak dinafikan, berhenti merokok merupakan sesuatu yang sukar untuk dilakukan.

Walau bagaimanapun, ramai yang berjaya meninggalkan tabiat buruk ini dengan bantuan pakar. Malah, amalan merokok juga merupakan satu pembaziran. 

Jika anda perlukan pertolongan untuk berhenti merokok, dapatkan nasihat daripada doktor tentang cara yang terbaik untuk berhenti.

Doktor boleh mencadangkan beberapa langkah yang sesuai dengan kondisi serta bajet anda.

2. Makan makanan yang sihat

Pemilihan makanan yang sihat dapat membantu menurunkan risiko kanser. Sebagai contoh:

  1. Makan banyak buah-buahan dan sayur-sayuran. Lebihkan makanan jenis ini untuk turunkan risiko kanser.
  2. Pastikan berat badan sihat. Elakkan pengambilan makanan tinggi kalori termasuklah yang mengandungi gula yang tinggi dan lemak daripada sumber haiwan.
  3. Kurangkan pengambilan daging proses. Pengambilan daging yang diproses dalam jumlah yang banyak boleh meningkatkan risiko kanser tertentu.
  4. Banyakkan bergerak dan pastikan badan sentiasa aktif. Lakukan senaman selama 30 minit setiap hari, sekurang-kurangnya 150 minit seminggu. Senaman juga dapat mengurangkan risiko penyakit kronik yang lain seperti diabetes dan sakit jantung.

3. Pastikan berat badan dalam lingkungan yang sihat

risiko barah

Kajian menunjukkan, individu yang obes atau mempunyai berat badan berlebihan berisiko untuk mendapat kanser tertentu seperti kanser payudara, prostat, paru-paru, kolon dan juga buah pinggang.

Oleh sebab itu, cuba kawal berat badan anda melalui senaman yang kerap dan pemakanan yang sihat.

Selain itu, minum lebih banyak air. Kadangkala, ada yang keliru dan tidak tahu membezakan antara rasa lapar dan juga dahaga.

Selain bermanfaat untuk kesihatan, air kosong juga tidak mempunyai kalori dan tidak akan menambah berat badan anda.

3. Ambil vaksin untuk cegah kanser

Untuk mencegah kanser, anda perlulah mengambil vaksin tertentu bagi mengelakkan jangkitan virus.

Oleh sebab itu, vaksinasi amat penting untuk mengelakkan kanser. Sebagai contoh:

  1. Hepatitis B. Hepatitis B merupakan sejenis penyakit hati yang boleh menyebabkan individu jatuh sakit selama beberapa minggu. Ia juga boleh menyebabkan penyakit yang serius dan berlarutan sepanjang hayat.
  2. Human papillomavirus (HPV). Kanak-kanak berusia 11 dan 12 tahun amat digalakkan untuk mengambil vaksin HPV. Vaksin ini diberikan kepada anak gadis sebelum mereka terdedah dengan virus tersebut.

4. Turunkan risiko barah dengan mengelakkan stres

risiko barah

Tidak dinafikan, stres mempunyai kesannya yang tersendiri terhadap tubuh badan manusia. Ia juga mempunyai impak negatif terhadap sistem imun badan.

Pada masa yang sama, tekanan perasaan juga boleh menyebabkan masalah lain seperti pening kepala, kesukaran untuk tidur dan kegelisahan.

Selain itu, stres juga merupakan penyebab amalan-amalan yang tidak sihat seperti merokok, pengambilan minuman beralkohol, dan pemakanan yang tidak sihat.

Mana tidaknya, ramai yang akan melakukan semua amalan tidak baik ini sebagai satu cara untuk release stress!

Jadi, cuba kawal stres untuk turunkan risiko kanser. Lakukan aktiviti yang boleh mengurangkan tekanan perasaan seperti bersenam, luangkan masa dengan hobi, atau keluarga tersayang.

5. Kurangkan pengambilan alkohol

Banyak kajian yang menunjukkan bahawa pengambilan alkohol dengan kerap boleh meningkatkan risiko kanser mulut dan tekak.

Malah, banyak juga kajian lain yang mendapati bahawa alkohol merupakan dalang kanser hati, dan lebih daripada 100 kajian telah mendapati risiko kanser payudara berkait rapat dengan pengambilan minuman keras.

Oleh sebab itu, cegah kanser ini dengan cara mengurangkan pengambilan alkohol.

Ketahuilah bahawa pengambilan minuman keras ini lebih banyak membawa keburukan berbanding kebaikan.

6. Lindungi kulit anda

Kanser kulit merupakan salah satu kanser yang lazim di negara kita. Pendedahan terhadap sinar ultraungu (UV) dari matahari boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

Untuk turunkan risiko barah kulit, pastikan anda sentiasa memakai sunscreen untuk melindungi diri daripada cahaya matahari.

Selain itu, anda juga boleh memakai topi dan kaca mata hitam untuk melindungi diri daripada panas terik sang mentari.

#OpenYourMind #CelikKanser

[embed-health-tool-bmi]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Can cancer be prevented? https://www.cancerresearchuk.org/about-cancer/causes-of-cancer/can-cancer-be-prevented-0. Accessed December 27, 2021.
  2. Cancer. https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/cancer. Accessed December 27, 2021.
  3. Cancer prevention: 7 tips to reduce your risk. https://www.mayoclinic.org/healthy-lifestyle/adult-health/in-depth/cancer-prevention/art-20044816. Accessed December 27, 2021.
  4. Healthy Choices to Lower Your Cancer Risk. https://www.cdc.gov/cancer/dcpc/prevention/other.htm. Accessed December 27, 2021.
  5. HPV vaccine: Who needs it, how it works. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/hpv-infection/in-depth/hpv-vaccine/art-20047292. Accessed December 27, 2021.
  6. Risk Factors for Cancer. https://www.cancer.gov/about-cancer/causes-prevention/risk. Accessed December 27, 2021.
  7. 6 Steps to Help Lower Your Cancer Risk. https://www.cancer.org/latest-news/6-steps-to-help-lower-your-cancer-risk.html. Accessed December 27, 2021.

Versi Terbaru

03/02/2022

Ditulis oleh Nurul Aishah Jamaludin

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman

Diperbaharui oleh: Ruby Fernandez


Artikel Berkaitan

Kanser Payudara Penyakit Turun-Temurun? Tak Semestinya! Fahami Mutasi Gen Dahulu

Disahkan Ada Kanser? Tanya 9 Soalan Ini Kepada Doktor Anda


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nurul Aishah Jamaludin · Disemak pada 03/02/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan