backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan
Tanya Doktor
Simpan
Senarai kandungan

Kanser Kulit

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 12/10/2021

Kanser Kulit

Penyakit barah kulit merupakan kanser yang lazim berlaku di dunia. Selalunya, pertumbuhan abnormal atau kanser ini berlaku disebabkan pendedahan terhadap cahaya matahari.

Namun, barah kulit masih boleh terbentuk pada kawasan yang tersorok daripada cahaya.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kanser kulit melanoma menyumbang sebanyak 0.33% daripada seluruh kes kanser di Malaysia.

Penyakit barah kulit boleh dielakkan dengan cara mengehadkan pendedahan kepada sinaran ultraviolet.

Malah, kanser kulit juga boleh dirawat jika dikesan awal. Oleh sebab itu, pemeriksaan kendiri amat penting untuk mengesan barah kulit pada tahap awal.

Jenis

Apakah jenis-jenis kanser kulit?

Penyakit barah kulit

Terdapat 4 jenis penyakit barah kulit yang utama:

1. Karsinoma sel basal

Sel basal merupakan sel yang berbentuk bulat dan boleh dijumpai di bahagian bawah lapisan epidermis. Hampir 80% kanser kulit berpunca daripada sel jenis ini.

Kanser jenis ini selalunya akan berlaku pada kawasan kepala dan leher, namun ia boleh muncul pada mana-mana bahagian kulit.

Karsinoma sel basal merebak dengan perlahan dan jarang menjangkiti bahagian badan yang lain.

2. Karsinoma sel skuamus

Sebahagian besar lapisan epidermis terdiri daripada sel yang dikenali sebagai sel skuamus. Hampir 20% daripada kanser kulit berpunca daripada sel jenis ini.

Berbanding karsinoma sel basal, kanser kulit jenis ini lebih berisiko untuk merebak dan menjangkiti bahagian badan yang lain.

3. Kanser sel merkel

Kanser sel merkel merupakan sejenis kanser yang jarang berlaku dan amat agresif. Ia bermula daripada sel yang menghasilkan hormon di bawah permukaan kulit.

4. Melanoma

Melanoma merupakan kanser kulit yang paling serius dan selalunya bermula di dalam melanocytes, sel yang menghasilkan melanin.

Punca melanoma masih belum jelas, namun pendedahan terhadap cahaya matahari dapat meningkatkan risiko melanoma. 

Simptom

Apakah simptom dan gejala penyakit barah kulit?

Simptom kanser kulit mungkin berbeza mengikut jenis. Oleh sebab itu, setiap orang mungkin alami simptom yang berbeza.

Sebagai contoh, pastikan anda perhatikan simptom seperti:

  1. Lesi pada kulit.
  2. Tahi lalat yang tidak simetri.
  3. Lesi yang mempunyai permukaan yang tidak rata.
  4. Warna lesi atau tahi lalat yang abnormal seperti merah jambu, putih, biru atau merah.
  5. Diameter tahi lalat lebih besar daripada ¼ inci.
  6. Ada perubahan dari segi saiz, warna dan bentuk tahi lalat.

Punca

Punca penyakit barah kulit

Sebahagian besar kerosakan yang berlaku kepada sel kulit berpunca daripada sinar ultraviolet (UV) yang dijumpai di dalam sinaran matahari.

Walau bagaimanapun, pendedahan terhadap sinaran matahari bukanlah punca utama. Masih ada kanser kulit yang berlaku pada kawasan yang tersorok daripada matahari.

Ini membuktikan terdapat banyak lagi faktor lain yang boleh meningkatkan risiko penyakit barah kulit, contohnya pendedahan terhadap bahan toksik atau menghidap sebarang penyakit yang melemahkan sistem imun badan.

Faktor risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada penyakit barah kulit?

Penyakit barah kulit

Antara faktor yang boleh meningkatkan risiko kanser kulit adalah:

1. Kulit yang cerah

Sesiapa sahaja, tidak mengira warna kulit, boleh menghidap kanser kulit. Namun, individu yang mempunyai pigmen (melanin) yang rendah lebih berisiko untuk mengalami kerosakan kulit disebabkan radiasi UV.

2. Kulit selalu alami selaran matahari

Jika anda pernah mengalami selaran matahari yang teruk ketika kecil atau remaja, anda lebih berisiko untuk mengalami kanser kulit pada masa akan datang. 

3. Pendedahan terhadap cahaya matahari

Semua orang yang menghabiskan masa terlalu lama di bawah cahaya matahari boleh menghidap kanser kulit. Sebab itulah, kita perlu memakai pelindung matahari untuk melindungi kulit. 

4. Tinggal di kawasan cerah

Individu yang tinggal di kawasan cerah dan panas terdedah kepada lebih banyak cahaya matahari berbanding individu yang tinggal di kawasan yang lebih sejuk. Oleh sebab itu, mereka lebih berisiko untuk menghidap penyakit barah kulit.

5. Tahi lalat

Individu yang mempunyai tahi lalat yang abnormal (dysplastic nevi) lebih berisiko untuk mengalami kanser kulit. Tahi lalat ini mempunyai saiz yang lebih besar daripada biasa dan boleh bertukar menjadi kanser.

Diagnosis dan rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit didiagnosis?

Untuk melakukan diagnosis penyakit barah kulit, doktor mungkin akan melakukan pemeriksaan fizikal pada kulit anda. Walau bagaimanapun, ujian yang lebih lanjut mungkin perlu dijalankan untuk mengesahkan diagnosis tersebut.

Doktor juga mungkin akan melakukan biopsi kulit untuk menguji sama ada anda menghidap kanser kulit ataupun tidak.

Bagaimana pesakit dirawat?

Rawatan untuk kanser kulit mungkin berbeza mengikut jenis, saiz dan juga lokasi lesi. Kanser kulit yang bersaiz kecil mungkin tidak memerlukan rawatan yang lebih daripada biopsi kulit.

Selain itu, rawatan lain untuk kanser kulit termasuklah:

  1. Kemoterapi.
  2. Terapi radiasi.
  3. Terapi biologikal.
  4. Pembedahan.

Cara mencegah

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani penyakit barah kulit?

Penyakit barah kulit

Penyakit barah kulit boleh dicegah. Untuk melindungi diri, pastikan anda:

  1. Elakkan cahaya matahari pada waktu siang.
  2. Pakai pelindung matahari sepanjang tahun, walaupun pada hari mendung.
  3. Gunakan pakaian yang boleh melindungi anda daripada sinaran UV.
  4. Berhati-hati ketika makan ubat-ubatan yang membuatkan kulit menjadi sensitif.
  5. Periksa kawasan kulit dengan kerap dan laporkan sebarang perubahan kepada doktor.

Jika anda mengalami sebarang simptom kanser kulit, pastikan anda berjumpa doktor secepat mungkin. Pengesanan awal amat penting untuk mengubati sebarang jenis kanser.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 12/10/2021

advertisement iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

advertisement iconIklan
advertisement iconIklan